Thursday, October 23, 2014

Waspada taska diragui status


  • RozitaRozita

SEREMBAN – Tidak kurang 50 taman asuhan kanak-kanak (taska) di negeri ini diragui, sekali gus boleh mengundang risiko terhadap keselamatan anak-anak.

Presiden Taska Negeri Sembilan, Rozita Kamil sehubungan itu berkata, ibu-bapa perlu menyemak terlebih dahulu status taska dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum membuat keputusan menghantar anak mereka.
“Ibu bapa jangan keliru dengan istilah berdaftar, bukan sekadar perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi juga JKM bagi memastikan pengusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Berdasarkan maklumat diperolehi, hanya 166 taska yang berdaftar di negeri ini.  Sebab itu ibu-bapa sangat digalakkan mendapat maklumat daripada JKM terlebih dahulu,”katanya.
Mengenai kes-kes kemalangan atau kematian yang berlaku di taska, beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kebanyakannya  berlaku di taska tidak berdaftar dengan JKM.
Menurutnya, JKM diharap dapat membuat pemantauan secara berterusan dan bukan hanya apabila berlakunya sesutau kejadian tidak diingini di taska.

“Saya sangat berharap JKM dapat menjadikan kita sebagai kumpulan sokongan mereka bagi membolehkan kita pergi ke taska, pusat jagaan dan tadika membuat pemantauan,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak boleh menghalang ibu-bapa daripada memilih taska tidak berdaftar yang yuran dikenakan lebih murah, namun risiko keselamatan anak-anak lebih tinggi.

Selain itu, katanya, setiap pengasuh perlu dipastikan memiliki sijil kursus asuhan kanak-kanak bagi melayakkan mereka bekerja di taska.

“Kursus ini penting bagi memberi pengetahuan berhubung soal penjagaan anak-anak di taska yang bukan sekadar tentang soal penjagaan, tetapi juga merangkumi aktiviti dijalankan dan suasana persekitaran taska.

Malah, katanya,  ibu-bapa juga digalakkan membuat tinjauan mengejut ke taska anak-anak bagi memastikan pengusaha mematuhi SOP ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: