Sunday, October 26, 2014

Koleksi Baju Anak Scha-Awal Lebih 200 Helai


Awal dan Scha bersama Lara pada majlis aqiqah dan cukur jambul anak mereka di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara pada Sabtu.
PETALING JAYA: Pengacara Awal Ashaari mendedahkan anak sulungnya bersama aktres Scha Al-Yahya iaitu Lara Alana yang baru berusia dua bulan sudah mempunyai koleksi pakaian kira-kira lebih 200 helai.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 33, berkata, kebanyakan koleksi pakaian anaknya itu semua daripada hadiah-hadiah yang diberi rakan-rakan dan keluarga.

"Sudahlah dapat hadiah daripada kawan-kawan dan keluarga, saya dan Scha pun apabila membeli-belah, pantang nampak baju-baju budak yang cantik, kami beli.

"Sampaikan ada baju yang tak sempat nak pakai sebab dah tak muat. Kalau baju lebih daripada 200 helai, kasut Lara pula ada dalam 15 pasang," katanya.

Awal ditemui pada majlis aqiqah dan cukur jambul anaknya di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara di sini pada Sabtu.

Tambah Awal, gara-gara seronok membeli barangan anak, dia dan isteri pula tidak kisah jika tidak berbelanja untuk diri masing-masing.

Sementara itu mengenai majlis aqiqah dan cukur jambul Lara, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 32, berkata, ia sebuah majlis sederhana dengan kehadiran kira-kira 200 tetamu sahaja.
Antara selebriti yang hadir ialah Dynas Mokhtar, Lisa Surihani, Zulin Aziz dan Sherry Alhadad.
Kata Scha, majlis itu juga diibaratkan seperti 'acara kahwin semula' buat dia dan Awal memandangkan ia dilihat seperti sebuah majlis perkahwinan.

"Ini semua idea Awal. Katanya dah alang-alang ada pelamin, apa salahnya kita 'feeling' kahwin lagi...hahaha.

"Kerana itu juga kami memakai pakaian berwarna putih. Apa-apapun, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Kami membuat persiapan majlis ini sejak tiga hingga empat minggu lalu.

"Tambah pula kami memilih tarikh hari ini (Sabtu) bagi mengambil kesempatan bersempena dengan sambutan Awal Muharram 1436," ujarnya.



Dalam perkembangan lain, Scha juga tidak sangka apabila akaun Instagram anaknya yang baru dibuka secara umum pada Jumaat lalu telah menerima lebih daripada 60,000 pengikut.

"Sebenarnya Awal sudah membuka akaun Lara ketika saya masih mengandung lagi. Cuma ia tidak boleh dibuka secara umum.

"Tetapi apabila akaun itu dibuka secara umum, tidak sangka pula ramai yang menjadi pengikut Lara dan dalam masa sehari lebih 60,000 pengikut. Yang menariknya, pengikut-pengikut lara kebanyakannya menghormati akaun itu di mana tiada yang memberi komen berunsur menjual produk," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: