Friday, October 31, 2014

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan


PERCERAIAN melalui li’an amatlah jarang direkodkan di Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, terdapat kes individu yang cuba menafikan pertalian darah antara bapa dengan anak disebabkan keengganannya untuk membayar nafkah.
Namun, dalam realiti kehidupan berkeluarga, terdapat juga aduan suami menuduh isteri melakukan hubungan seksual bersama lelaki lain, berlaku curang atau bapa tidak mahu mengakui anak kandungnya.
Pembuktian tuduhan tersebut tidak dilakukan mengikut standard hukum syarak biasa iaitu empat orang saksi lelaki. Ini kerana, tuduhan melakukan penzinaan adalah tuduhan yang sangat berat dan jika tiada bukti, orang yang membuat tuduhan boleh dikenakan hukuman khadaf iaitu 80 sebatan sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Nur.
Bagaimanapun, tuduhan ini dikecualikan jika berlaku dalam kalangan pasangan suami isteri.
Li’an dari sudut bahasa bermaksud sumpah. Perceraian melalui li’an ini disyariatkan melalui firman Allah dalam surah al-Nur ayat 6 hingga 10 yang bermaksud:
Orang lelaki yang menuduh isterinya berzina, sedang tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan itu) hanya dirinya sendiri, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, sebanyak empat kali, sesungguhnya dia orang-orang yang benar; dan yang kelima (hendaklah dia berkata): laknat Allah jika dia orang-orang yang dusta. Bagi menghindarkan hukuman seksa isteri (yang kena tuduh) itu, dia bersumpah dengan nama Allah, sebanyak empat kali, yang suaminya telah berdusta; yang kelima (hendaklah dia berkata); laknat Allah jika suaminya orang-orang yang benar.
Ayat di atas menerangkan tentang prosedur yang perlu diambil oleh pasangan suami isteri jika benar-benar bermaksud untuk menamatkan perkahwinan melalui cara tersebut.
Ini merupakan satu lagi bentuk perceraian. Hakim Mahkamah Syariah boleh menamatkan perkahwinan itu setelah suami dan isteri mengangkat sumpah li’an mengikut prosedur seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran.
Kesan sumpah

PASANGAN yang bercerai secara li’an berhadapan laknat Allah SWT. – Gambar hiasan


Kesan daripada perbuatan tersebut, kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri rela dilaknat oleh Allah sekiranya tuduhan yang dibuat adalah tidak benar. Hakim Mahkamah Syariah akan memberi amaran kepada kedua-dua pihak tentang kesan sumpahan mereka sekiranya suami ingin meneruskan upacara tersebut.
Setelah upacara tamat, mereka tidak boleh berkahwin semula atau rujuk kembali. Peruntukan mengenai perceraian melalui li’an ini telah muatkan dalam Undang-undang Keluarga Islam. Berdasarkan peruntukan itu, pasangan suami isteri yang telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, Hakim Syarie hendaklah memerintahkan mereka difarakkan dan dipisahkan serta hidup berasingan selama-lamanya.
Dalam kes menafikan nasab pula, upacara li’an akan berlangsung sejurus selepas kelahiran bayi tersebut. Jika sebaliknya berlaku, mahkamah tidak akan melayan sebarang tuntutan.
Pernah direkodkan dalam kes tuntutan menafikan nasab anak dibuat di Mahkamah Syariah selepas bapa kepada bayi tersebut meragui sah taraf anak yang dilahirkan kurang sembilan bulan.
Bagaimanapun, mahkamah menolak penafian tersebut kerana ianya dibuat setelah sekian lama anak itu dilahirkan dan tidak ada keraguan yang munasabah untuk mengatakan bahawa anak tersebut boleh dikategorikan sebagai anak tidak sah taraf.
Peruntukan di atas bertujuan memberi pengajaran kepada manusia supaya mengamalkan hidup berakhlak dan saling menjaga kehormatan diri dan rumah tangga. Ini kerana, jenayah seksual di luar perkahwinan adalah jenayah yang amat berat dan boleh merosakkan keturunan manusia serta menjejaskan kebajikan anak tersebut.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: