Thursday, October 30, 2014

Uniknya Kampung Kelantan di Muar


  • Persimpang masuk ke Kampung Kelantan di Jalan Tunku Bendahara, Muar.Persimpang masuk ke Kampung Kelantan di Jalan Tunku Bendahara, Muar.

MELEWATI Jalan Tunku Bendahara, Muar, di sini, pasti akan menimbulkan persoalan kepada sesiapa sahaja apabila terlihat papan tanda yang tertulis Selamat Datang Ke Kampung Kelantan di persimpangan jalan tersebut.

Pastinya mereka akan tertanya-tanya bagaimana sebuah negeri di pantai timur boleh dijadikan sebagai nama kampung di Muar.

Memang agak sukar untuk membongkar sejarah kampung itu kerana ramai generasi lama untuk dijadikan rujukan mengenai Kampung Kelantan sudah meninggal dunia.

Penulis mendapatkan bantuan daripada seorang kanak-kanak untuk menjejaki satu-satunya orang lama kampung tersebut yang masih hidup iaitu Pak Andak, yang telah sudi menceritakan serba sedikit sejarah Kampung Kelantan.


Pengasas kampung asal Kelantan

Pak Andak atau nama sebenarnya, Muhammad Jambul, 85, memberitahu, nama kampung berkenaan adalah bersempena dengan negeri kelahiran pengasas kampung itu iaitu arwah bapanya yang berasal dari Kampung Pecah Durian, Pasir Mas, Kelantan, berhijrah ke Muar untuk mencari pekerjaan.

Bapanya, Jambul Othman, berhijrah ke daerah ini bersendirian sebelum diikuti adik beradik dan saudara mara yang lain.

“Arwah bapa meneroka kawasan ini yang dahulunya hutan belantara dan membina rumah menggunakan kulit kayu serta upih pinang.

“Di sinilah arwah bapa bertemu dengan arwah ibu yang juga berasal dari Kelantan. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan enam cahaya mata dan semua anak dilahirkan di sini (Kampung Kelantan, Muar),” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, peringkat awal selepas diteroka, kampung ini hanya terdapat kurang daripada 10 rumah yang semuanya saudara mara arwah bapa.

Bagaimanapun Muhamad berkata, lama kelamaan bilangan penduduk semakin bertambah dan kini mencecah kira-kira 400 orang selepas hampir 100 tahun usia kampung tersebut.


Penduduk kerja kampung

“Pada masa itu, semua penduduk melakukan kerja kampung seperti menebang balak dan memungut hasil hutan untuk dijual di bandar bagi memperoleh wang.

“Walaupun keadaan ketika itu agak teruk ditambah pula dengan kehadiran penjajah, namun disebabkan banyak sumber yang boleh dijadikan mata pencarian mendorong  ramai penduduk negeri Kelantan berhijrah ke sini,” katanya.

Bapa tujuh anak itu berkata, semua penduduk yang menetap di kampung berkenaan adalah berasal dari Kelantan dan di antara mereka mempunyai pertalian persaudaraan.

Menurutnya, dia  juga melalui zaman sukar sewaktu kecil  dan remaja kerana kehadiran penjajah  British dan komunis menyulitkan lagi kehidupan penduduk Kampung Kelantan ketika itu.

“Penduduk tidak boleh bebas bergerak kerana takut dengan ancaman komunis serta tidak ketinggalan lihat ramai penduduk meninggal dunia akibat dibunuh komunis dengan kejam.

“Saya menebang balak bersama rakan di kawasan Air Hitam sehingga Pagoh. Kami beramai-ramai menarik balak menggunakan pengangkutan khas untuk dijual ke bandar,” katanya.


Kawasan kampung kini membangun

Muhammad berkata, suasana  kampung itu berbeza berbanding dahulu yang dikelilingi dengan pokok getah dan  kini dipenuhi pula dengan perumahan baharu.

Katanya, Muar semakin membangun dan turut mengenai tempiasnya ke kawasan itu apabila banyak petempatan baharu  berhampiran kampung ini dibuka menyebabkan Kampung Kelantan kelihatan sedikit terpinggir.

“Saya bangga dengan kemajuan ini, namun kadang-kadang berasa khuatir mengenangkan nasib kampung ini pada masa akan datang.

Adakah kewujudan kampung ini dapat dikekalkan atau sebaliknya,”katanya.

Katanya, meskipun komuniti Kelantan di kampung tersebut kebanyakkan membesar di daerah itu dan bukan negeri asal  mereka, tetapi budaya masyarakat negeri itu yang mementing tali persaudaraan tetap sama.

“Kesemua penduduk kampung ini adalah saudara dan sebab itu  hubungan mereka sangat akrab.

“Jika dahulu kebanyakkan penduduk di sini keturunan negeri Kelantan tetapi situasi hari ini sudah berbeza yang sebahagian berasal  daripada negeri lain serta berhijrah ke kampung tersebut,”katanya.

Pak Andak berkata, sebagai generasi paling  tua di kampung berkenaan, sudah tentunya dia mengharapkan Kampung Kelantan akan terus kekal di daerah itu sebagai satu kampung unik yang terdapat di Muar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: