Thursday, October 30, 2014

Signifikan Welcome To The Railworld Japan



Cuaca di Jepun pada pertengahan Oktober lalu tidak menentu. Pada hari rombongan media Malaysia tiba di negara Matahari Terbit itu tanggal 13 Oktober lalu, penduduk Tokyo disarankan untuk tidak melakukan aktiviti luar kerana jabatan kaji cuaca meramalkan Taufan Phanfone akan melanda bandar raya tersebut.
Namun, ada sepasukan produksi yang bergabung tenaga menerbitkan sebuah program travelog berjudul Welcome To The Railworld Japan perlu melunaskan beberapa episod mereka di sana.
Pasukan tersebut terdiri daripada empat individu rakyat Malaysia daripada produksi Primeworks Studio Sdn. Bhd.. Mereka ialah Penerbit, Ahmad Khairi Zulkifli, 33, Penolong penerbit, Mohd. Zahir Zainuddin, 30, Penulis skrip, Widyawati Sharkawi, 29 dan hos program, Henry Golding, 27 tahun.
Mereka dibantu dari segi teknikal oleh 10 orang lagi merupakan rakyat Jepun yang begitu teruja dan antusias untuk menyudahkan baki penggambaran program tersebut. Mereka ialah Pengarah Eksekutif AX-ON Inc merangkap Penerbit Bersekutu Welcome To The Railworld Japan, Hajime Sato, Pengarah Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Nippon TV, Taro Ozawa, Penerbit, Jun Fujii dan Tetsuzan Aomi, Penolong Penerbit, Sumiyo Kobayakawa, Haruka Ui dan Ken Ouura, Pengarah Fotografi, Tsutomu Yokose, Penolong Fotografi, Koki Ikehara dan dua orang jurualih bahasa, Aileen Chang dan Susie Yang.
Kehadiran empat media Malaysia ke negara itu adalah untuk sama-sama terlibat menyaksikan mereka menyudahkan beberapa episod yang dirakamkan di sekitar Tokyo termasuk di Tokyo Skytree yang merupakan menara tertinggi di Jepun yang dibina pada tahun 2010.

BUKAN sekadar sebuah travelog ‘kosong’ program ini turut menyelami budaya masyarakat Jepun.


Ironi, ada banyak perkara yang istimewa mengenai program yang dihoskan oleh Henry Golding tersebut. Antara yang membanggakan ialah ia merupakan program terbitan Malaysia dengan jenama Welcome To The RailWorld yang diterbitkan produksi sama pada tahun 2010.
Travelog tersebut bagaimanapun telah menarik minat dua syarikat gergasi di Jepun iaitu Nippon Television Network Corporation dan Sumitomo Corporation untuk diterbitkan dalam versi pengembaraan di Jepun yang kemudian dinamakan sebagai Welcome To The Railworld Japan selepas formatnya dipersembahkan kepada mereka. Sementelah ia begitu mirip dengan program sedia ada yang diterbitkan dan ditayangkan di Nippon TV selama 22 tahun sejak tahun 1992, Next Stop, Discovery.
Program 10 episod yang dirancang tayangannya pertengahan Januari tahun depan ini juga dijadikan sandaran oleh dua syarikat tersebut untuk ditayangkan di saluran 8TV sebagai platform memperkenalkan Jepun kepada Malaysia khususnya dan negara Asia lain seperti Singapura amnya.
Selama empat hari mengikut produksi tersebut melunaskan kerja mereka, dapat dilihat ia bukan sekadar kerjasama yang tidak melibatkan emosi. Sebaliknya, keakraban yang terbina di antara mereka dapat dilihat sangat harmoni, tidak ubah seperti keluarga. Ternyata, budaya atau komunikasi tidak pernah membataskan sebuah kerjasama yang dijalinkan dengan cukup baik.
Jalinan tersebut dipintal kemas selama lebih sebulan bekerjasama menyudahkan Welcome To The Railworld Japan yang membawa mereka bergerak ke seluruh pelusuk negeri Jepun, merentas utara dan selatan negeri itu demi menyajikan sebuah program travelog yang berbaloi untuk ditonton.

HENRY turut berpeluang menjadi ‘ninja’ yang cukup sinonim dengan masyarakat Jepun.


“Komunikasi tidak pernah menjadi halangan untuk kerjasama kami berjalan lancar, biarpun diakui kami menggunakan dua juru alih bahasa untuk memudahkan kerja. Saya kira, satu-satunya faktor yang selalu mengganggu kelancaran kerja kami ialah cuaca yang tidak menentu. Selebihnya, kami sudah menjadi seperti keluarga,” ujar Pengarah Eksekutif AX-ON Inc merangkap Penerbit Bersekutu Welcome To The Railworld Japan, Hajime Sato dalam pertemuan bersama media Malaysia mengenai program tersebut.
Bagaimanapun jelas Hajime, faktor cuaca yang tidak menentu juga bukan alasan untuk mereka membatalkan hasrat menjalankan rakaman seperti biasa. Tempoh sekitar 45 hari penggambaran, jadual disusun dengan baik. Sebanyak sembilan destinasi terbaik di Jepun yang dapat dikunjungi menerusi perkhidmatan kereta api seperti Hokkaido, Shikoku, Kanto, Okinawa dan Tokyo dapat dirakamkan seperti yang telah dirancang.
Bercakap lebih lanjut tentang signifikan program tersebut diadaptasi ke dalam versi Jepun, Pengarah Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Nippon TV, Taro Ozawa memberitahu kerana negara Jepun memang cukup terkenal dengan penggunaan perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan awam paling popular di negara mereka. Justeru, pihak Nippon TV dan Sumitomo melihat melalui travelog tersebut, ia akan menjadi tarikan utama buat pelancong mengunjungi Jepun dan menggunakan perkhidmatan kereta api mereka yang efisyen.
“Dalam masa yang sama, selain menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama, travelog ini juga diselitkan dengan banyak perkara seperti budaya atau makanan Jepun kepada audiens,” katanya lagi.
Ditanya mengapa tidak menggunakan tenaga produksi sendiri dan hos dari negara mereka untuk mengendalikan program tersebut, Taro yang mengakui Malaysia merupakan negara nombor satu pilihan rakyat Jepun melancong menjelaskan, mereka sengaja memilih orang luar kerana persepsi khalayak luar dan penduduk tempatan terhadap negara mereka sendiri berbeza.
Katanya: “Sejak awal memang kami tertarik untuk mengekalkan tenaga produksi asal dan Henry sebagai hos kerana mahu orang luar meneroka sendiri keistimewaan yang ada tentang negara kami dari segi pengangkutan, budaya serta makanan.
“Jika kami menggunakan anak tempatan misalnya, barangkali pada mata mereka sesebuah destinasi yang ingin ditonjolkan itu tidak menarik pada mata mereka kerana sudah berasa ia satu perkara biasa, tetapi tidak bagi orang luar seperti pengunjung yang selalu melihat destinasi yang mereka kunjungi dalam konteks yang berbeza. Malah, melalui Welcome To The Railworld Japan, kami memaparkan banyak destinasi yang tidak disarankan oleh pihak agensi pelancongan misalnya sebagai destinasi wajib singgah jika ke negara kami.”
Ubah persepsi

HENRY GOLDING masih menjadi pilihan Nippon TV dan Sumitomo Corporation untuk mengendalikan Welcome To The Railworld Japan yang diadaptasi daripada Welcome To The Railworld.


Sementara itu, bagi Khairi, peluang yang diberi pihak Nippon TV dan Sumitomo kepada mereka untuk menerajui program tersebut dilihat sebagai satu penghormatan buat anak tempatan meneroka dan belajar tentang ilmu bekerjasama dengan produksi luar. Lebih membanggakan, mereka diberi kebebasan untuk menentukan fokus program tersebut dan dua pihak syarikat itu hanya membantu dari segi teknikal.
Menyifatkan kolaborasi mereka sebagai satu kerjasama yang menguntungkan kedua-dua belah pihak, dia menjelaskan perkara yang mengujakan tentang Welcome To The Railworld Japan ialah bagaimana penonton atau pelancong boleh menggunakan perkhidmatan kereta api sebagai akses utama untuk sampai ke seluruh pelusuk negara tersebut termasuk menggunakan perkhidmatan kereta api paling laju di dunia, Shinkansen.
“Perkhidmatan kereta api Shinkansen yang dipaparkan dalam program ini merupakan antara tarikan utama Welcome To The Railworld Japan selain bagaimana kami membawakan banyak pengalaman di Jepun yang mengujakan bagi menarik minat penonton melancong ke sini,” ujarnya.
Ditebak Jepun selalu disifatkan sebagai sebuah negara yang mahal untuk dikunjungi, pantas dia menjawab: “Saya percaya perkara utama yang perlu dilakukan oleh semua pelancong ke mana-mana negara sekali pun ialah dengan mempunyai pengurusan kewangan dan perancangan yang betul.
“Tunggu sehingga kalian saksikan Welcome To The Railworld Japan dan kalian akan tahu bahawa untuk melancong ke sini dengan menggunakan kereta api, menginap di hotel atau menikmati makanan mereka, tidak semahal seperti yang disangkakan. Kami juga menyelitkan banyak tip tentang bagaimana untuk menikmati negara Jepun dengan sebaiknya,” katanya.
Pengalaman baharu
Tidak dapat disembunyikan, individu yang paling teruja mengenai program ini ialah Henry. Katanya yang tidak sabar untuk menanti tayangan travelog tersebut, pengalaman menggunakan perkhidmatan kereta api terutama Shinkansen begitu bernilai buatnya.
Sementelah kesempatan untuk berada di sesebuah lokasi yang mempunyai latar cerita berbeza memberi banyak kenangan manis buatnya.
“Biarpun ia berlandaskan konsep yang sama seperti saya kendalikan dahulu, hakikatnya Welcome To The Railworld Japan membawa saya mengembara lebih jauh daripada satu negeri ke negeri yang lain dengan latar budaya yang berbeza. Lebih menarik pengalaman mengembara menaiki Shinkansen.
“Di Hokkaido misalnya, kami bertemu dengan suku masyarakat kuno mereka di sana, manakala tentulah pengalaman yang berbeza saya perolehi di bandar raya seperti Tokyo yang serba moden.
“Ya, biarpun penat kerana waktu kerja kami sangat padat dan hampir hanya menginap sehari di sesebuah hotel sebelum bergegas ke destinasi seterusnya, hubungan baik umpama keluarga yang terjalin di antara kami menghapuskan rasa lelah itu. Saya tidak sabar untuk melihat hasilnya kelak dipertontonkan kepada umum nanti,” ujar Henry yang kini menetap di Singapura.
Bakal ditayangkan selama setengah jam, Welcome To The Railworld Japan dijadualkan menemui penonton pada pertengahan Januari 2015 di saluran 8TV setiap hari Khamis pukul 9.30 malam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: