Setelah dilarang untuk mengadakan pertemuan bersama pelajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Selangor pada 18 Oktober lalu, penerbit filem dan penulis novel sensasi, Raja Azmi sekali lagi menerima nasib yang sama apabila penyertaannya untuk memberi ceramah sempena ArtFest iaitu satu festival seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini dibatalkan.
Terkejut dengan pembatalan pada saat-saat akhir itu, Raja Azmi meluahkan rasa kecewanya apabila pihak pengurusan UiTM tidak memberi sebarang alasan kukuh berkaitan pembatalan tersebut.
Haknya dinafikan oleh pihak UiTM atas alasan dia seorang selebriti yang penuh dengan kontroversi peribadi. Mengakui sangat terkilan, Raja Azmi menyifatkan sesetengah pihak tidak profesional dalam menangani perkara berkenaan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama penulis novel Black Widow yang pernah mencecah jualan sebanyak 70,000 naskhah pada tahun 1993 itu.
Kosmo!: Bolehkah Raja Azmi ceritakan apakah yang sebenarnya berlaku mengenai pembatalan penyertaan anda dalam festival seni UiTM?
Raja Azmi: Saya diundang untuk berdialog dengan pelajar UiTM dan berkongsi pengalaman terutamanya dalam bidang penulisan sempena ArtFest anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist UiTM di Shah Alam. Namun, setelah saya tiba ke pekarangan lokasi festival tersebut pada 26 Oktober lalu, saya menerima sepucuk surat memaklumkan bahawa penyertaan telah dibatalkan. Saya tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang sesi dialog bersama pelajar-pelajar tersebut. Saya berasa sangat terkilan dan tidak dihormati apabila pihak pengurusan bertindak sedemikian dengan membatalkan slot saya pada saat-saat akhir.
Adakah anda diberikan alasan kukuh oleh pihak pengurusan UiTM mengenai pembatalan tersebut?
Tidak ada sebarang alasan kukuh yang diberikan, cuma, setelah saya sampai, salah seorang wakil daripada pihak pengurusan datang kepada saya dan memberitahu bahawa pihak atasan tidak mahu saya memberikan sebarang ceramah. Dia juga memberitahu bahawa kontroversi peribadi saya sebelum ini merupakan antara faktor kenapa saya dibatalkan untuk menyertai program tersebut.
Apakah reaksi anda setelah diperlakukan sebegitu rupa?
Saya rasa pembatalan ini merupakan sesuatu yang sungguh tidak adil. Selain daripada tidak menghormati saya sebagai seorang tetamu jemputan, mereka juga menjejaskan kredibiliti saya sebagai seorang penulis novel.
Apakah tujuan sebenar anda bersetuju untuk menyertai dialog tersebut?
Saya diminta oleh wakil pelajar untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penulisan sejak 10 tahun lalu. Selain itu, saya juga bersetuju untuk memberi ulasan terhadap karya filem saya iaitu …Dalam Botol dan mempromosikan novel terbaharu saya berjudul Karkuma. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman kepada golongan muda yang merupakan golongan pelapis dalam memperjuangkan seni negara.
Setelah perkara itu berlaku, adakah anda serik untuk menerima jemputan ceramah daripada mana-mana institusi pengajian tinggi lagi?
Saya tidak akan sesekali berputus asa. Bagi saya, biarlah sesetengah orang cuba untuk menutup periuk nasi saya, namun, hanya saya sahaja yang tahu perkara sebenar dan niat ingin berkongsi pengalaman.
Selain daripada sibuk dengan aktiviti promosi untuk novel Karkuma, apa perkembangan terbaharu anda dalam cabang seni lain?
Setakat ini saya ingin berehat dalam menerbitkan filem, saya menumpukan sepenuh konsentrasi terhadap bidang penulisan. Saya juga kini dalam rangka untuk mengadakan konsert jelajah yang melibatkan beberapa penggiat seni tanah air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: