Wednesday, October 29, 2014

Amyra Rosli lebih matang


  • Nur Amira Izzati atau lebih dikenali sebagai Amyra Rosli.Nur Amira Izzati atau lebih dikenali sebagai Amyra Rosli.

BEBERAPA bulan lalu pelakon remaja ini menjadi tumpuan apabila kisah cintanya bersama aktor Dazrin Kamaruddin, putus di tengah jalan.

Namun, siapa sangka atas sokongan keluarga serta rakan tercinta, aktres cantik ini tampak tenang dan kuat berhadapan perkara tersebut.

Buktinya, empunya nama  Nur Amira Izzati atau lebih dikenali sebagai Amyra Rosli, ini mampu meneruskan kehidupan dan kariernya dengan baik selepas peristiwa itu.

Mengakui mahu melupakan kisah lamanya, duta produk Aura White ini memberitahu, dalam usianya yang baru sahaja mencecah ke angka 23 ini, dia seharusnya mengutamakan masa hadapan.

"Saya masih muda, walaupun apa yang berlaku pernah membuatkan saya kecewa pada awalnya, tetapi semua itu ujian yang telah mematangkan saya.

"Pengalaman yang menyakitkan mengajar saya menjadi seorang yang lebih tabah," katanya.

Jelas bintang Astana Cinta Aleesa ini, fokus utamanya kini hanyalah kerjaya selain keluarga.

"Syukur sangat sebab banyak tawaran lakonan yang diterima walaupun masih ramai pelakon berbakat dalam industri kita.

"Mungkin sekarang zaman saya, jadi saya perlu memberikan komitmen sebaik mungkin untuk terus mencipta nama," ujarnya.

Di tanya adakah dia berpuas hati dengan lakonannya setakat ini, menurut Amyra, sebagai pelakon yang masih hijau, dia sekadar memberi apa yang dituntut dalam tugasannya.

"Bila mendapat sesuatu karakter itu saya akan pastikan ia benar-benar dijiwai. Lagipun saya sudah banyak memainkan pelbagai jenis watak seperti gadis psiko, gedik, sopan dan gadis kampung.

"Walaupun tidak sehebat pelakon senior tetapi sedikit sebanyak ia membantu saya menampilkan kelainan dalam setiap drama yang dibintangi," jelasnya.


Sering memberontak?

Muncul menerusi drama terbaru yang merupakan adaptasi novel hasil tulisan Syikin Zainal, Suamiku Encik Sotong, Amyra berkata, peranannya sebagai Erica memberi sudut baru dalam lakonannya.

"Erica seorang yang sangat keras kepada dan sering memberontak. Apa yang dia tahu, semua orang perlu mengikut cakapnya sahaja.

"Agak sukar sebenarnya menjadi Erica lebih-lebih lagi ia sangat berbeza dengan diri saya," katanya.

Menurutnya lagi, dia juga bimbang karakter tersebut dipertikaikan oleh penonton yang telah membaca karya tersebut.

"Apabila melakonkan watak sebuah adaptasi novel, penonton akan meletakan harapan tinggi kepada kita.

"Kerana itu saya perlu menjayakan dan memastikan lakonan saya menjadi, lebih-lebih lagi ramai yang menantikan drama ini," jelasnya.

Berkongsi mengenai gandingannya bersama Shaarnaz Ahmad, akui Amyra, ia merupakan kali pertama mereka disatukan dalam sebuah drama.

"Awalnya bimbang juga kerana dia nampak garang dan tegas orangnya. Tetapi semua itu berjaya diatasi kerana dia sebenarnya sangat kelakar terutamanya bila menjadi encik sotong.

"Banyak peristiwa lucu yang terjadi sewaktu penggambaran dan semuanya berjalan dengan lancar," katanya masih sibuk dengan penggambaran drama tersebut.

Sedikit perkembangan terbarunya, anak sulung daripada empat beradik ini berkata, dia bakal muncul sebagai hos undangan bagi beberapa program hiburan tempatan.

"Sebenarnya memang saya minat mengacara cuma buat masa ini fokus saya masih kepada lakonan. Apa pun, jika ada masa terluang saya tidak menolak untuk menerima undangan mengacara," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: