Thursday, October 30, 2014

Saling ‘curi’ kepakaran



SELAIN mengangkat penceritaan terhadap penggunaan kereta api, travelog ini turut merakamkan budaya dan aktiviti masyarakat Jepun.


Berbeza budaya, latar belakang dan cara kerja nyata tidak menjadi satu kekangan buat dua produksi ini bergabung. Empat daripadanya dengan diketuai oleh penerbit dan pengarah dari Malaysia, Ahmad Khairi Zulkifli, manakala 10 lagi dari Jepun yang juga bukan calang-calang orang di belakang tabir, kolaborasi mereka berjalan sempurna dalam melunaskan projek adaptasi Welcome To The Railworld kepada Welcome To The Railworld Japan.
Berbicara dengan Pengarah Fotografi yang terlibat merakamkan syot-syot menarik di dalam program travelog tersebut, Tsutomu Yokose memberitahu secara amnya tidak banyak perbezaan budaya kerja di antara kedua-dua buah negara ini. Namun, akuinya, dalam kerjasama yang dijalinkan, dia dapat ‘mencuri’ kepakaran mengendalikan kamera jenis C300 yang jarang digunakan pekerja di sebalik tabir di negara tersebut selain penggunaan sistem Atomos yang melancarkan kerja mereka.
“Jika mahu dicakap tentang kekangan komunikasi, ia tidak menjadi masalah besar. Budaya kerja kami juga tidak banyak berbeza. Hanya dari segi teknikal, saya dapat mencuri ilmu baharu apabila menggunakan kamera jenis C300 yang tidak pernah digunakan di sini. Pada kebiasaannya, kami menggunakan kamera jenis HD 7 untuk merakamkan syot-syot di dalam program yang dilakukan.
“Selain penggunaan kamera yang berlainan jenis, sistem Atomos iaitu sistem yang lebih efisyen di mana rakaman terus dapat disunting di dalam kamera memudahkan kerja kami. Ini merupakan satu pengalaman yang bagus untuk kami di sini,” ujar Tsutomu yang telah 15 tahun menjadi jurukamera.
Ditanya tentang lokasi paling sukar untuk dirakamkan sepanjang program tersebut menjalani penggambaran, jurukamera yang pernah mendapat pendidikan di Amerika Syarikat ini memberitahu dengan kerjasama yang baik dari semua kru, tidak terdapat kesukaran besar untuk melakukan penggambaran, termasuk penggambaran di kawasan Gunung Fuji yang menjadi salah satu destinasi yang dipaparkan di dalam Welcome To The Railworld Japan.

Kru produksi bergambar kenangan di hadapan Tokyo Skytree yang menjadi lokasi terakhir penggambaran.


Sementara itu, bagi produksi dari Malaysia, mereka mengakui bahawa disiplin dan ketepatan masa menjadi pokok utama mereka begitu menghormati rakan produksi dari Jepun itu.
Ujar Khairi, mereka hanya berhubung melalui aplikasi Skype selama sebulan sebelum memulakan penggambaran.
“Sebaik semua perkara dipersetujui, kami berangkat ke Jepun sejak penghujung Ogos lalu dan melakukan penggambaran di semua lokasi yang telah dipilih dan ia berjaya dijalankan mengikut perancangan serta jadual asal. Hanya sesekali jadual penggambaran dirombak atas faktor cuaca termasuk taufan,” ujarnya.
Terdapat sembilan buah destinasi menarik yang dirakamkan untuk Welcome To The Railworld Japan. Di beberapa destinasi termasuk Tokyo sendiri, produksi tersebut memilih beberapa pusat tarikan pelancong seperti menara kedua tertinggi di dunia, Tokyo Skytree yang terletak di Sumida, Tokyo dan makan malam di dalam Yakatabune Hirai iaitu rumah bot Jepun yang memberi peluang pengunjung menikmati panorama malam bandar raya Tokyo.
Selain dua destinasi tersebut, pihak media Malaysia yang berkunjung ke sana turut dibawa melawat ke muzium kereta api The Railway Museum di Onari, Saitama City sekali gus menjadi signifikan dengan program Welcome To The Railworld Japan yang berteraskan pengangkutan ini.
Ini kerana muzium itu mempunyai koleksi kesemua kereta api yang pernah digunakan sebelum ini termasuk kesemua kereta api peluru Shinkansen yang menjadi pengangkutan utama dan kebanggaan rakyat di negara Matahari Terbit itu.
Tidak cukup dengan hanya merakamkan penggambaran di beberapa tempat bersejarah, Welcome To The Railworld Japan turut memaparkan satu-satunya destinasi wajib singgah bagi pelancong yang datang ke Jepun untuk mencari hiburan santai, Robot Restaurant. Terletak di daerah Shinjuku, konsep yang ditonjolkan restoran ini cukup sesuai untuk kelompok peminat anime dan karakter animasi Jepun.
Semua paparan tersebut dapat disaksikan sebaik Welcome To The Railworld Japan mula disiarkan pada pertengahan Januari tahun hadapan sebanyak 10 episod di saluran 8TV.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: