Wednesday, October 29, 2014

Keluarga baharu kucing jalanan

Purata kucing jalanan yang diberikan kepada pengunjung menerusi program itu dianggarkan berusia tiga hingga lapan bulan. – Gambar hiasan


KUNJUNGAN Aliff Izzuddin Azmi, 21, bersama rakannya ke Festival Merdeka Ooo…57 di Jalan Raja, Kuala Lumpur yang terletak di hadapan mercu tanda ibu negara iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka baru-baru ini pada asalnya untuk melihat jualan pakaian daripada label tempatan.
Ketika melewati deretan gerai-gerai di festival itu, pandangannya tertancap ke arah kucing-kucing di dalam sangkar. Di gerai S.I Home Shelter itu, kelihatan ramai pengunjung mengambil gambar dan mengusap seekor kucing berwarna coklat seberat 10 kilogram (kg) yang diberi nama Adan.
Selain itu, seekor kucing berwarna putih dan oren yang berjaya diselamatkan daripada jangkitan sporotrikosis (sporo) diberi nama Dompot juga mencuri perhatian pengunjung.
Sebagai seorang insan yang menyayangi haiwan comel itu, Aliff juga tidak melepaskan peluang mengusap kucing-kucing di gerai itu.
“Saya diberitahu oleh pihak gerai iaitu S.I Home Shelter bahawa kucing-kucing jalanan ini diberikan kepada orang ramai dalam program pengambilan kucing angkat. Tanpa berfikir panjang, saya berminat untuk mengambil seekor anak kucing yang berusia dalam lingkungan tiga bulan yang dipamerkan di gerai itu,” ujar pelajar Diploma Elektrik, German-Malaysian Institute kampus Bangi, Selangor itu.
Anak kucing yang berwarna saduran kelabu dan putih itu diberi nama Tom oleh Aliff. Ketika berada di gerai itu, Aliff turut membeli makanan, bekas makanan dan pasir dari gerai S.I Home Shelter untuk kucing baharunya.
Kesihatan

Muhamad Razeef (enam dari kanan) bersama sukarelawan S.I Home Shelter yang terlibat dalam program pengambilan kucing angkat baru-baru ini.


Bagi Aliff yang kini memelihara empat ekor kucing, dia menggemari kucing jalanan berbanding kucing baka kerana ia lebih aktif.
Usai mengisi borang perjanjian pengambilan kucing angkat, Aliff mendapat sedikit penerangan mengenai kesihatan haiwan itu daripada pengasas S.I Home Shelter, Muhamad Razeef Che Shamah, 33.
“Muhamad Razeef meminta saya untuk selalu mengemaskinikan tahap kesihatan Tom kepadanya dengan menghantar gambar Tom dari semasa ke semasa melalui aplikasi pesanan ringkas, WhatsApp,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Program pengambilan kucing angkat yang dianjurkan oleh S.I Home Shelter dalam Festival Merdeka Ooo…57 baru-baru ini bertujuan mencari pemilik baharu untuk haiwan tersebut. Selain itu, ia juga merupakan salah satu cara untuk membantu kucing-kucing jalanan mendapat tempat perlindungan, penjagaan kesihatan dan sumber makanan yang sempurna.
Purata umur kucing yang diberikan kepada orang ramai dalam program itu antara tiga hingga lapan bulan. Muhamad Razeef memberitahu, tujuan program kucing angkat S.I Home Shelter dijalankan bagi mengurangkan populasi haiwan tersebut yang dijaga di sebuah rumah sewa di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.
Sebanyak 202 ekor kucing jalanan ditempatkan di rumah itu sejak dua tahun lalu. Daripada jumlah itu, hanya 30 ekor anak kucing yang dibawa ke Festival Merdeka Ooo…57 untuk program kucing angkat.
“Kesemua kucing di S.I Home Shelter datang dari jalanan termasuk yang akan diberikan kepada orang ramai. Selain itu, kediaman S.I Home Shelter semakin hari semakin padat. Dalam acara selama dua hari ini, sambutan orang ramai amat menggalakkan,” kata Muhamad Razeef yang dibantu seorang pembantu. Pada hari pertama, sebanyak 19 ekor anak kucing mendapat pemilik baharu.
“Melalui program ini, saya berharap dapat membantu mengurangkan populasi kucing terbiar di jalanan.
“Ini merupakan salah satu cara saya untuk berdakwah kerana haiwan juga mempunyai perasaan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! dalam program kucing angkat di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Jelas Muhamad Razeef yang melakukan kerja-kerja menyelamat kucing terbiar sejak lapan tahun lalu, kebanyakan anak kucing yang mendapat pemilik baharu menerusi program itu diambil dari jalanan dua minggu sebelum festival itu.
Pemilik baharu kucing itu juga akan menandatangani borang perjanjian dan mereka perlu mematuhi 12 peraturan yang telah ditetapkan oleh S.I Home Shelter.
Bagi kucing yang telah mendapat suntikan vaksin, pemilik baharu hanya perlu membayar sebanyak RM35 manakala RM120 untuk kucing yang telah dimandulkan dan boleh membawa pulang haiwan tersebut.
Sementara itu, kucing yang berusia bawah tiga bulan pula diberi percuma kepada yang berminat.
Cerita Muhamad Razeef yang merupakan peniaga kebab dan roti john di pasar malam sekitar Shah Alam dan Subang, Selangor masyarakat dewasa ini kebanyakannya memahami prinsip menghargai sebuah nyawa walaupun hanya seekor kucing.
Kasih sayang

Gerai S.I Home Shelter diserbu pengunjung yang bertanyakan prosedur dan langkah-langkah untuk mengambil kucing jalanan yang dipamerkan.


Perkara itu terbukti apabila masyarakat di Malaysia semakin terbuka mengutip kucing terbiar untuk dijadikan haiwan peliharaan di kediaman mereka.
“Jika dahulu, ramai yang ingin membela kucing baka kerana mempunyai bulu dan fizikal yang cantik. Tiada sebab untuk membezakan kucing baka dan kucing kampung atau jalanan. Sebaliknya, kucing jalanan lebih mesra, manja dan menghargai kasih sayang yang dicurahkan pemiliknya.
“Saya menghidap lelah yang teruk tetapi berupaya menjaga kucing terbiar. Kepada pemilik baharu program kucing angkat, saya memberi panduan kepada mereka agar menjaga keadaan rumah perlu sentiasa bersih dengan pengudaraan yang baik. Saya juga mengamalkan konsep pembersihan najis kucing pada kadar segera di S.I Home Shelter,” ujarnya.
Selain kucing terbiar di kawasan Shah Alam, Muhamad Razeef turut mengutip haiwan terbiar dan teraniaya di beberapa lokasi lain hasil maklumat rakan-rakan di laman Facebooknya.
Setakat ini, dia pernah ke Johor Bahru, Johor, Kemaman, Terengganu dan Pulau Pinang untuk menyelamatkan kucing terbiar yang dijangkiti pelbagai penyakit antaranya sporo, parvovirus, feline leukemia virus dan hernia.
Adan yang dikutip Muhamad Razeef di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru, Johor dua tahun lalu merupakan maskot S.I Home Shelter ketika menyertai acara rasmi.
Selain Muhamad Razeef, seramai 13 orang rakan yang dikenali menerusi laman Facebook membantunya mengendalikan program kucing angkat S.I Home Shelter di Festival Merdeka Ooo…57.
S.I Home Shelter juga menjual suplemen untuk kesihatan haiwan tersebut apabila ia berpindah milik kepada pemilik baharu. Sebanyak 30 helai baju-T S.I Home Shelter berwarna kuning dengan mesej Stop Animal Abuse, Adopt Don’t Buy dijual pada harga RM30 juga mendapat sambutan pengunjung.
Selain memelihara kucing jalanan yang terbiar, S.I Home Shelter turut menyediakan perkhidmatan teksi haiwan kesayangan (pet taxi) dan penjagaan haiwan peliharaan.
Muhamad Razeef akan mengambil dan menghantar haiwan peliharaan ke klinik atau destinasi tertentu mengikut permintaan pelanggan untuk perkhidmatan pet taxi. Penjagaan haiwan peliharaan pula merupakan perkhidmatan S.I Home Shelter ke rumah pelanggan untuk memberi makan, membersih dan memberi makanan kepada kucing sekiranya pemilik tiada di rumah.
Sementara itu, salah seorang sukarelawan yang membantu program kucing angkat S.I Home Shelter, Adilla Ishak, 40, menjelaskan penyertaannya dalam acara itu bertujuan untuk membela kucing-kucing jalanan dengan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai peranan mereka.
Penjagaan
Menurut wanita yang menetap di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor itu, ramai pengunjung yang berminat untuk mengambil kucing jalanan sebagai haiwan peliharaan mereka. Namun, tidak ramai yang tahu mengenai kaedah penjagaan kucing yang betul.
“Sukarelawan di gerai memberi penerangan mengenai kaedah vaksin agar si comel tidak mudah dijangkiti penyakit. Kebanyakan pemilik kucing kurang arif mengenai perkara asas pengurusan haiwan kesayangan mereka.
“Pada hari pertama program itu dijalankan, ramai yang berminat untuk mengambil kucing S.I Home Shelter. Walaupun program ini hanya melibatkan kucing jalanan pengunjung tidak henti-henti mengunjungi gerai ini,” ujarnya yang bekerja di sebuah syarikat insurans di ibu negara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: