Friday, October 31, 2014

Minta alih kubur bawah surau


  • Makam Pahlawan Hitam yang terletak di bawah bangunan Surau Kampung Tengah.Makam Pahlawan Hitam yang terletak di bawah bangunan Surau Kampung Tengah.

KUALA DUNGUN – Ramai warga komuniti tidak tahu Surau kampung Tengah atau dahulunya dikenali sebagai Masjid Kampung Tengah merupakan pusat pengajian agama di kalangan penduduk tempatan yang terkenal pada tahun 50 dan 60an dahulu.

Namun apa yang lebih misteri, di bawah surau berdinding papan itu terdapat satu makam bersejarah dikenali sebagai Makam Panglima Hitam.

Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Shamsudin Jusoh, Panglima Hitam merupakan seorang pendekar tersohor yang menjadi orang paling kanan kepada Pak Hitam Tambun yang juga seorang pahlawan Dungun yang terbilang.

Shamsudin berkata, kedudukan makam Panglima Hitam yang mempunyai kaitan dengan sejarah Dungun ini yang terletak di bawah lantai surau menimbulkan pelbagai tanda tanya selain persepsi negatif di kalangan masyarakat setempat yang mungkin berfikiran sempit.

Beliau berkata, dahulunya, makam ini terletak di kawasan berdekatan dengan surau, namun selepas bangunan surau ini dipindahkan beberapa meter ke arah daratan, maka secara tidak langsung makam ini berada di bawah surau yang dahulunya menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk belajar agama sekitar tahun 50an dan 60an.
“Kalau boleh kita minta pihak berkaitan dapat pindahkan segera makam ini ke lokasi lain yang lebih praktikal.

"Lagipun ia memberi kesukaran kepada pengkaji sejarah untuk menziarahi makam ini yang terletak di bawah bangunan,” kata Shamsudin.

Shamsudin yang juga seorang pesara guru berpandangan, jika proses memindahkan makam ini dapat dilakukan, beliau mahu makam ini dibaik pulih dan diletakkan dengan papan tanda sebagai maklumat kepada pelawat yang mungkin tidak mengetahui sejarah Pahlawan Hitam.

Katanya, usaha ini perlu bagi memastikan sejarah Dungun tidak pupus dan dapat diingati oleh generasi akan datang.

"Jika kita tidak bertindak sekarang, mungkin sebahagian monumen sejarah yang menjadi khazanah kita akan hilang.

“Ia sesuatu yang amat merugikan bangsa kita sendiri kerana sejarah orang kita akan dilupakan begitu sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: