MESKIPUN banyak lebuh raya dibina dan laluan ekspres giat dibina di pusat-pusat bandar, namun kesesakan lalu lintas masih berlaku dan keadaannya semakin teruk.
Nampaknya, orang ramai memilih memandu sendiri walaupun harga petrol dan kadar tol dinaikkan. Menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), hanya 20 peratus penduduk bandar menggunakan pengangkutan awam. Jika ini berterusan, usaha kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon seperti yang diperjuangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi inisiatif Sains Untuk Tindakan (S2A) tidak tercapai.
Apakah faktor yang menyebabkan orang ramai tidak mahu menaiki pengangkutan awam seperti bas, Transit Aliran Ringan (LRT), tren dan teksi walaupun pilihan itu ternyata lebih murah?
Berdasarkan maklum balas yang diperoleh daripada laman web sosial, seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Irina Muis mengakui dirinya sebagai pengguna pengangkutan awam tegar selama bertahun-tahun.
Keselamatan
“Saya rasa susah, sesak, lama tunggu, penat dan takut bila gunakan pengangkutan awam. Tambahan pula susah nak dapat tempat duduk. Kalau naik kereta sendiri tak terikat dengan masa. Kalau jam sekali pun, kita dalam kereta lebih selesa,” katanya.
Keselamatan kereta dan keperluan keluarga menjadi keutamaan bagi Jaja Karim berkata: “Bila naik LRT kena parking berdekatan stesen LRT tapi bimbang pula kereta kena pecah atau curi. Kena ambil anak pula lepas kerja, terkejar-kejar sangat.”
Seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Mhh Meow pula berkongsi pendapat yang berbunyi sedikit keras.
“Pengangkutan awam tak cekap. Kalau naik bas, nak kena naik teksi pula, kalau tidak, memang tak sampai. Kalau naik teksi insya-Allah sampai terus tapi lelaki pun takut balik tengah malam, apa lagi perempuan,” katanya.
Keselesaan, lokasi, keanjalan masa, keperluan dan keselamatan antara sebab utama ramai yang tidak mahu menggunakan khidmat pengangkutan awam.
Seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini, 30, memberitahu pengalaman berulang-alik dengan bas hampir setiap hari semasa belajar di universiti sedekad lalu menyebabkan dia serik menaiki pengangkutan awam.
“Bayangkan berhimpit-himpit dalam bas, kena berdiri pula dari Perhentian Bas Klang ke Shah Alam. Perjalanan selalunya satu jam lebih sebab kesesakan lalu lintas di Federal Highway. Nak naik komuter, stesen jauh dari kampus, kena ambil teksi pula. Teksi tahu sajalah, ada yang tidak jujur, caj mahal dan tidak pakai meter,” ujarnya.
Noraini bagaimanapun, lebih selesa memandu Viva kesayangannya meskipun terpaksa menempuh kesesakan.
Bagaimanapun punca utama mengapa ramai tidak mahu menaiki pengangkutan awam ialah faktor keselamatan selain lokasi yang kurang sesuai.
Misalnya, stesen komuter atau perhentian bas yang sunyi kerana terletak agak jauh dari pusat aktiviti orang ramai.
S. Kisho Kumari, 29, pernah diragut dua kali sepanjang dua tahun pertama beliau bekerja di Bernama.
“Pengangkutan awam tidak akan membawa anda sehingga ke depan pintu masuk. Anda masih perlu berjalan lagi untuk sampai ke destinasi,” kata gadis dari Tapah, Perak ini.
Dia pernah disamun ketika berjalan dari perhentian bas untuk pulang ke rumah. Saya perlu ambil masa kira-kira 10 minit berjalan untuk sampai ke rumah. Bas hanya berhenti di jalan utama. Pada masa itu saya memang tiada pilihan terpaksa jalan kaki seorang diri,” ceritanya.
Menurutnya, kali kedua dia diragut selepas turun bas untuk ke pejabat. Kali ini rantai lehernya menjadi sasaran peragut motosikal. Meskipun cubaan ragut itu gagal, peristiwa itu masih berbekas di ingatannya sehingga menyebabkan Kisho agak fobia untuk menaiki bas.
Dia kini menggunakan kereta dan cuma sesekali sahaja menaiki pengangkutan awam.
Cabaran
Noraini dan Kisho, yang boleh dikelaskan sebagai golongan berpendapatan sederhana mungkin masih mampu untuk menampung kos kenaikan harga petrol.
Namun, bagaimana pula mereka yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam?
Inilah yang menjadi cabaran bagi SPAD iaitu membangunkan satu sistem pengangkutan awam di negara ini yang bersepadu, cekap dan selamat.
Badan itu yang ditubuhkan pada tahun 2010 mewujudkan pelan Pembangunan Berorientasikan Pengangkutan yang dikenal pasti sebagai satu daripada pelan tindakan utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan.
Menurut Timbalan Pengurus Besar Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPAD, Nor Fanim Mohd. Amin, proses menambah baik sistem pengangkutan awam sedia ada di Malaysia ke tahap yang cemerlang seperti di Hong Kong, mengambil masa yang lama dan beliau sendiri tidak berani untuk menyatakan satu jangka masa tertentu.
SPAD menetapkan sasaran 40 peratus penduduk bandar akan mengguna pengangkutan awam menjelang 2030 berbanding 20 peratus pada masa kini, kata Nor Fanim kepada pemberita pada siri syarahan Veritas Metropolis TOD Development for Kuala Lumpur baru-baru ini.
Badan itu menggalas tugas berat mengkoordinasikan agensi-agensi berkaitan pengangkutan darat termasuk kerajaan tempatan dan syarikat pemaju bagi mencapai matlamat itu.
Dari segi dasar, suruhanjaya berkenaan mengenal pasti lima imperatif strategik untuk membantu mencapai sasaran berkenaan.
Salah satu yang menjadi keutamaan ialah meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam.
Imperatif lain termasuklah meningkatkan sambungan pengangkutan awam bagi penduduk bandar dan akses ke kawasan luar bandar, memastikan perkhidmatan pengangkutan awam pada kos berpatutan, mengukuhkan peringkat-peringkat perkhidmatan, mengurangkan kesesakan dan pencemaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: