Tuesday, October 28, 2014

Abstrak identiti budaya Sarawak


LUKISAN abstrak yang dihasilkan Jack membawa seribu satu makna, cerita, pergerakan dan subjek yang gagal dilihat dengan pandangan mata kasar.


BEBERAPA lapisan warna yang dioles pada kanvas kelihatan kusam tanpa sebarang pengertian yang unik mahupun imej yang menarik.
Kepelbagaian campuran tompokan warna yang menghiasi kanvas menyebabkan Jack Ting Mui Chii yang lebih mesra disapa sebagai Jack dianggap sebagai pelukis abstrak kontemporari.
Namun, jika setiap lukisan abstrak itu diteliti, ia membawa seribu satu makna, cerita, pergerakan dan subjek yang gagal dilihat dengan pandangan mata kasar.
Demikian keunikan sentuhan tangan pejuang khazanah dan budaya Sarawak berusia 46 tahun itu mengekspresikan rasa cintanya terhadap bumi kenyalang melalui lukisan abstrak.
Dilahirkan di Sibu, Sarawak, anak sulung daripada empat beradik itu meminati dunia lukisan sejak di usia kanak-kanak.
Pada awal penglibatannya, karya beliau sering berkisarkan kepada pemandangan alam flora dan motif corak hidupan liar terutama burung kenyalang dan burung ruai.
Pada tahun 1990-an, Jack melanjutkan pengajian di Kolej Seni Kuala Lumpur dan memperoleh Diploma Seni Halus dua tahun kemudian.
Sejak daripada tahun itu, bermulalah karier beliau sebagai anak seni yang sering mengangkat nilai kebudayaan etnik di Sarawak dalam setiap karyanya.
Sama seperti pelukis-pelukis yang seusia dengannya, Jack semakin bebas berkarya dan tidak lagi terikat dengan lukisan berbentuk subjek ketika di zaman remajanya.
“Ketika zaman kolej dahulu, saya hanya gemar bereksperimentasi dengan menggabungkan dua subjek berbeza bagi menghasilkan lukisan yang unik.

JACK meminati dunia lukisan sejak di usia kanakkanak


Mencabar
“Contohnya, saya menggabungkan dua penari sebagai subjek dan menambah beberapa lakaran imej bulat dan bujur supaya ia tampak seperti sebuah lukisan yang berbeza tetapi ia mudah dilihat oleh pemerhati.
“Saya mahukan sesuatu yang dapat mencabar kemampuan diri dan pengumpul lukisan,” katanya yang gemar melukis abstrak berdasarkan tarian ngajat tampi, pergerakan bulu kenyalang dan motif flora fauna.
Jack gemar menggunakan material cat minyak dan akrilik dalam menghasilkan sesebuah karya.
Selain abstrak motif, isu pertembungan modenisasi dan kebudayaan tradisional antara aspek yang dibincangkan dalam karyanya.
Bagi memastikan setiap karya ‘bernyawa’ komposisi lakaran subjek amat penting. Jack hanya mula melakar jika kesemua idea siap diadun dalam minda sebelum diterjemahkan pada kanvas.
Katanya, jika dahulu dia memulakan lukisan dengan lakaran halus, namun kini dia lebih selesa mewarnakan kanvas dengan pelbagai rona.
Kali terakhir mengadakan pameran solo empat tahun lalu di Quill 9, Petaling Jaya, Selangor. Kini, Jack dalam proses menghasilkan pelbagai karya baharu sebagai persediaan melakukan pameran solonya.
Masih di peringkat perancangan, Jack memberitahu bahawa dia tidak sabar untuk kembali aktif di medan seni.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: