• Pemilihan Sara Ali kurang tepat?

LAMA menyepi daripada bidang seni pastinya kemunculan pelakon berusia 24 tahun ini dinantikan peminat seni tempatan.

Namun, tidak seperti yang diduga, penampilannya menerusi drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna (MJATS) mendapat kritikan hebat daripada penonton drama tersebut.

Malah, sebelum ini pernah timbul dakwaan yang mengatakan empunya nama Siti Sarah Hairi Ali atau lebih dikenali sebagai Sara Ali ini bermasam muka di lokasi penggambaran drama berkenaan.

Turut diakui pengarah MJATS, Shuhaimi Lua bagaimanapun beliau enggan memajangkan lagi isu tersebut dan menyifatkan kelakuan aktres itu banyak dipengaruhi watak Mel yang angkuh dan dingin dengan orang di sekelilingnya.

"Memang ada masalah sikit dengan krew apabila dia tiba-tiba bertindak begitu, tetapi tidak lama dan segalanya kembali lancar apabila dia mula bercakap dengan kami," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Sara Ali sebagai teraju utama, akui Shuhaimi, pada awalnya memang pihaknya menyedari ia kurang menepati selera penonton dan sambutan drama itu agak dingin.

"Kalau nak bandingkan dengan karya asal memang sukar. Kami memilih Sara Ali kerana yakin watak tersebut sesuai dengannya.

"Mungkin minggu pertama dan minggu kedua, penonton masih menyesuaikan diri dengan setiap karakter yang dicipta.

"Tetapi sekarang mereka sudah boleh menerimanya. Apa yang menggembirakan, pihak stesen televisyen memberitahu MJATS mendapat rating tertinggi sekarang iaitu sekitar 3 juta penonton.

"Saya yakin kekuatan cerita ini banyak mempengaruhi rating," jelasnya drama tersebut sudah memasuki episod terakhir Isnin ini.

MJATS disiarkan di slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3 dan turut dibintangi pelakon Tasha Shilla, Amy Mastura, dan Ika Nabila.