Tuesday, October 28, 2014

Sari kebanggaan wanita India



CANTIK sari yang disarung Sangeeta Krishnasamy pada sesi fotografi bersama Stailo baru-baru ini. Sari klasik merah menyala bersulam benang emas dan perak itu membentuk keperibadian klasik kepada diri Sangeeta.
Kanchipuram yang bererti sari tradisi kebanggaan wanita India itu dijahit tangan sepenuhnya dan merupakan satu pelaburan berharga dalam kalangan orang-orang waktu dahulu.
Dikhabarkan, sari klasik berbenang emas sering dijadikan hantaran perkahwinan kepada pengantin perempuan.
Selain menjadi perlambangan kemewahan, ia juga dikatakan boleh dileburkan dan emas leburan itu kemudiannya dijual pada harga tinggi.
Sangeeta sendiri memiliki sari antik mencecah RM8,000 dan dia masih menyimpan rapi persalinan berharga itu.
Bagi Sangeeta, sari klasik masih mengungguli pilihannya kerana pakaian itu dihasilkan secara teliti dan terperinci. Bagaimanapun, dia tidak mengetepikan tarikan yang dimiliki sari-sari rekaan moden. Bahkan, trend baharu sari masa kini dipengaruhi besar cita rasa wanita semasa.
Usai berbicara tentang sari, Sangeeta mula memperkenalkan diri dengan lebih mendalam. Namanya mungkin asing kepada kebanyakan rakyat Malaysia. Namun, profil karier seninya sudah meniti di bibir orang India tempatan.
Anak jati Kuala Lumpur berusia 29 tahun itu bermula sebagai model untuk beberapa iklan televisyen. Antara komersial yang pernah dijayakan termasuklah untuk kempen Hari Pahlawan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.
Wanita dari Seputeh itu hanya mula serius dalam dunia lakonan pada tahun 2009. Percubaan sulungnya adalah menerusi sebuah drama Tamil terbitan RTM.

KIRA-KIRA 10 buah filem telah dibintangi Sangeeta.


Filem Tamil
Langkahnya terus kemas apabila dia terpilih memegang peranan kecil dalam filem Tamil yang dihasilkan sepenuhnya produksi dari India berjudul Goa.
Hanya selepas filem Zha, sebuah karya kolaborasi Malaysia dan India pada tahun 2011 ditayangkan, kelibat Sangeeta dipandang serius dalam industri hiburan India tanah air. Ia dianggap sebagai batu loncatan kepada Sangeeta untuk terus menderap pantas dalam dunia seni.
Sepanjang tempoh lima tahun penglibatannya dalam bidang lakonan, Sangeeta telah menjayakan hampir 10 buah filem. Malah, tahun ini disifatkan sebagai tahun paling cemerlang kepadanya. Dua filem lakonannya, Vetti Pasanga dan Vennira Iravugal meraih sambutan hangat penonton tempatan dan turut mendapat komen positif daripada pengkritik tanah air.
Filem Vennira Iravugal misalnya, dipilih untuk memenangi Anugerah Khas Juri bagi kategori Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Tamil di Norway. Jenamanya juga dijangka akan terus meledak susulan tayangan filem berjudul Love in Malaysia yang menyaksikan Sangeeta sebagai teraju utama pada bulan depan.
“Tahun 2014 bukan sahaja memberi kejayaan memuaskan kepada saya. Namun, ia juga tahun yang subur bagi industri perfileman Tamil tanah air.
“Bayangkan, kali terakhir filem Tamil tempatan mendapat perhatian ramai adalah pada tahun 2011 menerusi Appalam arahan Afdlin Shauki.
“Kemudian industri kembali suram disebabkan ramai penggiat filem kita kurang yakin untuk berkarya. Ditambah pula dengan persaingan filem Tamil antarabangsa, memang sukar untuk kita memecahkan tembok tersebut. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini situasi itu berjaya diubah. Malah lebih ramai masyarakat kita memilih untuk menonton filem Tamil di pawagam,” kata Sangeeta dengan bersemangat.
Dalam asyik mengulit kejayaan yang digapai, Sangeeta masih sempat mempersiapkan diri untuk menghadapi hari-hari mendatang. Mengakui belum puas menikmati hidup sebagai anak seni, Sangeeta tidak mengabaikan perancangan masa depan dirinya jika dia mahu meninggalkan dunia glamor suatu hari nanti.
KELUARGA Sangeeta akan bersembahyang seawal pukul 3 pagi pada hari Deepavali.


Peguam
Dahulu, Sangeeta pernah bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis. Namun, mendiang ayahnya terlebih awal mengatur hidup anak kedua daripada empat adik-beradik itu dengan menghantarnya ke Universiti London (kampus Malaysia) dalam jurusan undang-undang.
Sejujurnya, Sangeeta kurang berkenan dengan pilihan ayahnya itu. Begitupun semasa pengajian, dia yakin bahawa ayahnya membuat satu keputusan tepat. Berbekalkan kelulusan itu, Sangeeta tidak keberatan sekiranya suatu hari nanti dia memilih untuk melepaskan kerjaya sebagai pelakon dan terjun ke dalam bidang guaman.
Jika tidak, dia berhasrat untuk berbudi sebagai aktivis dengan menyertai pasukan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengimbas kembali penglibatannya dalam dunia lakonan, Sangeeta pernah mendapat tentangan daripada ibunya yang merupakan bekas jurusolek dan model.
“Mungkin disebabkan pengalaman lalunya, dia bimbang saya menjalani hidup tidak stabil tanpa jaminan. Tambahan pula bekerja dalam bidang ini memerlukan mental yang kuat, tetapi sekarang dia sudah menerima pilihan saya kerana dia tahu, saya mempunyai perancangan masa depan yang konkrit,” kata Sangeeta sambil tersenyum.
Sebelum ini, Sangeeta bersama rakannya melaksanakan perancangan membangunkan sebuah kolej khusus untuk jurusan perundangan. Bagaimanapun, President College, Kuala Lumpur yang kini berdiri megah di ibu kota itu menjadi institusi kepada pelajar aliran Sains dan ia kini diuruskan sepenuhnya oleh sahabat Sangeeta.
Kini, selain sibuk dengan penggambaran, Sangeeta juga sedang aktif bekerjasama dengan Aaride International iaitu sebuah syarikat antarabangsa yang mengeluarkan produk berteraskan pencegahan penyakit. Persetujuan kerjasama itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan penghidap kanser dan leukimia di negara ini yang kebanyakannya tidak tahu punca mereka mendapat penyakit tersebut.
Menerusi beberapa kempen kesedaran, orang ramai akan didedahkan kepada kesan yang diakibatkan oleh gelombang elektromagnet dalam rutin harian termasuk penggunaan telefon bimbit.
Kesihatan bagi Sangeeta amat penting dalam menjamin kelancaran hidup. Rejim pemakanan misalnya, ditumpukan kepada diet makanan organik sahaja. Malah, sejak tiga bulan lalu, dia menjalani kehidupan sebagai seorang vegetarian dan bercadang untuk meneruskan amalan tersebut. Makanan segera dan yang diproses telah ditinggalkan. Sangeeta lebih selesa menyediakan sendiri sajiannya.
Hari Deepavali juga tidak menyekatnya untuk menjaga pemakanan. Bagaimanapun, dia masih memberikan kelonggaran pada hari perayaan tersebut. Muruku misalnya, makanan ringan yang sukar ditolak Sangeeta ketika berkunjung ke rumah saudara-maranya.
SANGEETA mula aktif dalam bidang seni pada tahun 2009.


Ketti urundai
Namun, sebenarnya makanan yang paling digemari Sangeeta setiap kali Deepavali ialah ketti urundai. Ia merupakan sejenis kuih berbentuk bulat yang teramat keras. Rasanya seperti tepung dan sedikit manis. Kuih tersebut sangat dibenci orang muda kerana ia mesti dipecahkan menggunakan penukul kecil sebelum boleh dimakan.
“Saya sukakannya sebab ia kurang lemak, menyihatkan dan sedap,” ringkas Sangeeta menjelaskan perbezaan kuih itu dengan sejenis lagi pemanis popular iaitu laddu.
Ritual Deepavali yang dilakukan Sangeeta hanya berkisar di Kuala Lumpur. Kampungnya terletak di Kepong dan rumah sepupu serta saudara-maranya juga di sini.
Cuma tradisi yang diteruskan sehingga kini adalah ke kuil Batu Caves pada pagi hari perayaan. Namun sebelum itu, ibunya terlebih awal membangunkannya adik-beradik untuk bersembahyang di rumah pada pukul 3 pagi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: