Tuesday, October 28, 2014

Tarikan isteri pandai berniaga

KANGAR – Wanita warganegara Thailand yang memiliki kemahiran perniagaan yang baik merupakan antara faktor utama mereka digilai oleh lelaki Malaysia hingga ramai antara mereka sanggup berkahwin sekali lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama dan Pembangunan Sumber Manusia Perlis, Khairi Hassan yang memaklumkan hal itu berkata, wanita-wanita di negara Gajah Putih itu hidup berdikari dengan membuka perniagaan restoran, butik kecantikan dan salun rambut.
“Keistimewaan itu yang menyebabkan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an nekad menikahi wanita Thailand yang berusia 20 tahun ke atas,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Selain itu, Khairi membe­ritahu, faktor sampingan yang turut mendorong warga tempatan berbuat demikian ialah pesona yang dimiliki oleh wanita di sana yang mempunyai wajah yang jelita dan penampilan lebih elegan.
“Ada juga yang mendakwa kononnya mereka lebih pandai menjaga hati suami berbanding wanita tempatan,” katanya.
Khairi berkata, pihaknya menerima lebih 3,000 permohonan pernikahan semula pasangan yang bernikah di Selatan Thailand di seluruh negara setiap tahun.
Meskipun denda seba­nyak RM1,000 dikenakan kepada setiap individu, itu ternyata tidak menghalang gejala terus berlaku kerana nilai denda itu mampu dibayar.
“Perkara ini terjadi sebab si lelaki takut untuk beritahu hasratnya berkahwin kepada isteri tua ma­sing-masing. Ada juga pasangan yang tidak dapat restu daripada keluarga,” jelasnya.
Antara lokasi-lokasi pernikahan popular pasangan Malaysia di Thailand ialah di masjid-masjid sekitar Songkhla, Narathiwat, Pattani dan Sadao.
Khairi berpendapat, sekiranya suami mahu berpoligami kerana ingin mengelak daripada melakukan perkara maksiat, tujuan itu perlu dicontohi.
“Namun, sekiranya suami hanya ­ingin mengambil kesempatan untuk berpoligami dan menambah isteri tanpa memaklumkan kepada isteri pertama, kedua atau ketiga hanya atas dorongan nafsu, ia suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
“Jangan ambil kesempatan kerana urusan pernikahan ini melibatkan hukum agama Islam,” katanya.
Khairi menambah, walaupun syarat poligami di Perlis tidak memerlukan kebenaran isteri pertama, namun ha­nya tiga peratus lelaki negeri ini yang berkahwin lebih seorang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: