Sunday, October 26, 2014

Razak Mohaideen Kembali Mengarah Selepas 2 Tahun Menyepi


Razak Mohaideen muncul dengan karya filem terbaharu selepas dua tahun berehat.
PETALING JAYA: Selepas dua tahun sepi daripada industri perfileman tempatan,  Datuk Prof. Madya Razak Mohaideen bakal muncul dengan filem arahannya yang ke-34 iaituMana Mau Lari (MML).

Razak Mohaideen berkata, filem tersebut menampilkan skrip asal tulisan novelis terkenal, Ahadiat Akashah yang membawa genre 'Road Movie'.

“Apabila mengarahkan sesebuah filem, saya sentiasa memastikan setiap karya yang dihasilkan mempunyai kelainan selain menampilkan genre yang berbeza-beza.

“Pembaharuan yang dibawakan menerusi filem MML misalnya, sedikit berbeza daripada filem-filem arahan saya terdahulu kerana ia menceritakan mengenai pengembaraan penggemar-penggemar motor berkuasa tinggi.

“Terdapat juga elemen komedi, seram dan fantasi agar penonton terhibur menyaksikannya," katanya kepada mStar Online.

Tambah pengarah yang popular dengan filem Mami Jarum itu, MML juga berjaya mendapatkan penajaan sebanyak empat buah motosikal berkuasa tinggi oleh Harley Davidson (Malaysia).

MML mengisahkan tentang geng Kassem Selamat yang ingin bercuti di Cowboy Town bagi meraikan kemenangan Abang Pen pada pertandingan “motor-cross”.

Bagaimanapun motosikal Harley-Davidson Abang Pen hilang dan empat sahabat geng Kassem Selamat itu membantunya memulakan misi mencari motor tersebut.


Sementara itu, barisan pelakon yang terlibat ialah Tauke (Jambu)sebagai Abang Pen, Syuk (Kapten), Yassin (King) dan Aliff Yasraff (Kyo).

Selain itu, pelakon lain seperti Saiful Apek, Delimawati, Dira Abu Zahar, Sathiya, Abu Bakar Omar, Tania Hudson, Ruminah Sidek dan Ropie Cecupak turut menjayakan filem tersebut.

MML yang merupakan filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 November depan. 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: