Friday, October 31, 2014

Pian (Cecupak) Alami Gangguan Mental Kerana Gelaran Datuk


Pian Cecupak
PETALING JAYA: Pelawak Pian (Cecupak) disahkan mengalami gangguan mental selepas menerima gelaran Datuk daripada kumpulan puak Naning negeri itu  pada pertengahan tahun ini.

Pian atau  Rafik Raman, 45, berkata, gelaran itu benar-benar menyumbang kepada tekanan jiwanya sehingga masalah berkenaan tidak dapat dikawal.

“Terlalu banyak tekanan yang saya terima akibat gelaran itu termasuklah hinaan serta kata-kata kesat orang terhadap saya selama ini,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online.
Pada Mei lalu, Pian bersama dua teman artis iaitu Boy Iman dan penyanyi Nash (Lefthanded) telah menerima Darjah Jaksa Naning Melaka yang membawa Datuk daripada kumpulan puak itu.

Majlis pengurniaan darjah kebesaran itu dilakukan semperna hari keputeraan Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Undang Naning  Ke-21, Datuk Nordin Abd Jalil yang diadakan di A Famosa Resort, Melaka pada 4 Mei 2014.

Gelaran berkenaan tidak diiktiraf oleh mana-mana kerajaan negeri dan juga persekutuan.

Bagaimanapun Pian dalam kenayatannya sebelum ini memberitahu dia perlu menerima pengurniaan darjah itu sebagai menghormati pihak terbabit.
Dari kiri; Pian, Nash dan Boy Iman bergambar selepas menerima Darjah Jaksa Naning Melaka pada 4 Mei lalu.

Dalam pada itu Pian berkata, tuduhan dan kata-kata hinaan membuatkan dia menjadi murung dan selepas dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Ogos lalu, doktor mengesahkan dia menghidap masalah mental.

Kata Pian, disebabkan penyakit itu dia perlu mendapatkan rawatan selama lapan bulan selain dikehendaki menjalani rawatan kaunseling.

“Jadi saya terpaksa mendapatkan rawatan selama lapan bulan di HKL untuk ubat dan sesi kaunseling agar penyakit saya ini dapat dipulihkan," ujarnya.

Nafi Mengamuk Tidak Dipanggil Datuk

Sementara itu dalam perkembangan lain Pian menafikan dia mengamuk terhadap seorang jurufoto yang tidak memanggilnya Datuk dalam satu majlis di sebuah hotel di Ipoh minggu lalu.

Katanya, insiden itu berlaku disebabkan sikap kurang ajar jurufoto terbabit yang telah memarahinya kerana tidak berpuas hati terhadap perjalanan majlis yang dikendalikannya sebagai pengacara.

"Ya, memang ada perselisihan faham antara saya dengan seorang jurugambar sebuah organisasi namun ia bukan kerana disebabkan saya marah kerana saya tidak dipanggil Datuk.

"Ia adalah kerana tindakan jurugambar itu yang memarahi saya dahulu setelah dia tidak berpuas hati dengan pengurusan majlis. Walhal saya hanya mengacarakan majlis itu sahaja. Saya tiada kaitan dengan keseluruhan majlis itu.

"Itu fitnah kalau dia kata saya marah sebab tidak dipanggil Datuk. Saya langsung tidak kisah orang nak panggil saya apa pun.

"Yang penting ialah sikap hormat terutamanya oleh orang muda kepada orang yang lebih berumur daripada kita. Saya ni sudah umur 45 tahun dan dia orang muda, tidak bolehkah bercakap secara baik," soalnya.

Bagaimanapun, Pian berkata dia sudah menyelesaikan perkara tersebut dengan menghubungi ketua organisasi syarikat jurufoto berkenaan bertugas bagi menceritakan hal sebenar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: