Thursday, October 30, 2014

Rezeki dari buah keranji


  • Minah mendapatkan bekalan buah keranji daripada orang kampung yang memanjat pokok itu di kawasan hutan.Minah mendapatkan bekalan buah keranji daripada orang kampung yang memanjat pokok itu di kawasan hutan.

KUALA BERANG - ‘Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu, suruh makan engkau makan, suruh mengaji engkau tidak mahu’.

Bait-bait pantun tersebut pastinya sering didengari, namun begitu hakikatnya mungkin masih ramai yang tidak mengenali spesies buah nadir ini.

Bagaimanapun, bagi pengunjung pasar pagi atau lebih dikenali sebagai Hari Giliran di Kuala Berang, buah keranji atau turut dipanggil buah keradih sudah tentu mengetahui buah hutan ini memandangkan ia dijual kebanyakan peniaga warga emas apabila tiba musimnya.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, terdapat kira-kira lima peniaga yang menjual buah hutan ini sebagai sumber rezeki di samping sayur-sayuran kampung biarpun sekadar beralaskan tikar dan bersila menunggu kehadiran pembeli.

Berkongsi kisah, seorang peniaga dari Kampung Sekayu, Minah Omar, 62, berkata, sejak 20 tahun lalu mencari rezeki berniaga di Hari Giliran, dia tidak ketinggalan turut menjual buah keranji apabila tiba musimnya.

“Biasanya buah ini akan ada selepas musim buah-buahan berakhir dan sebagaimana sebelum ini, makcik beli dengan orang kampung yang panjat pokok tersebut di kawasan hutan lalu dijual di Hari Giliran ini sebagai tambahan kepada sayur serta hasil kampung yang dijual di sini.

“Sekali beli, makcik ambil sekitar 20 gantang dan kalau dibandingkan, harganya memang meningkat berbanding dulu. Sekarang ini, makcik jual RM6 secupak dengan beratnya sekitar 500 gram tetapi banyak diperoleh kerana buah keradih ini ringan.

“Rasa buah ini masam-masam manis dan senang untuk dimakan iaitu dengan hanya memicit kulitnya sahaja sebelum dikemam seperti makan gula-gula. Keistimewaan buah ini ialah tahan lama sekali gus kurangkan risiko rugi kerana ia tidak busuk.

“Walaupun pelbagai peringkat umur datang beli buah keradih ini namun tidak dinafikan kebanyakan generasi muda tidak mengenali buah ini dan bertanya pada makcik.

Malah, ada dalam kalangan mereka sekadar tahu buah keranji daripada pantun empat kerat sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, nenek lapan cucu ini berkata, demi mencari rezeki halal dia ke Kuala Berang berniaga di Hari Giliran (Rabu dan Sabtu) menaiki Toyota Hilux termasuk peralatan dengan kadar bayaran RM30 memandangkan dia tidak mempunyai kenderaan sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: