Tuesday, October 28, 2014

'Nafas' baharu buat pelajar


  • Selepas jejantas lama ini ditutup, pelajar berdepan bahaya untuk melintas jalan sehingga menempatkan seorang anggota rela bagi mengawal lalu lintas.Selepas jejantas lama ini ditutup, pelajar berdepan bahaya untuk melintas jalan sehingga menempatkan seorang anggota rela bagi mengawal lalu lintas.

KAMPAR – Lebih 3,000 pelajar di empat sekolah, di sini tidak perlu lagi menggadai nyawa untuk menyeberangi Jalan Ipoh – Kuala Lumpur apabila sebuah jejantas baharu akan dibina di kawasan itu tidak lama lagi.

Jejantas yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta akan dibina bagi menggantikan jejantas usang yang telah ditutup sejak enam bulan lalu.

Empat sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS Kampar serta SMK dan Sekolah Jenis Kebangsaan Pei Yuan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad berkata, projek berkenaan bakal dilaksanakan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai tentang risiko keselamatan ketika melintas jalan raya yang sempit dan sibuk.

Menurutnya, jejantas terbabit tidak selamat digunakan dan ditutup berikutan sering dilanggar kenderaan yang melebihi had ketinggian.

“Aduan ini sudah dipanjangkan ke ibu pejabat dan sudah menerima maklum balas. Kami sudah merangka sebuah jejantas baharu yang dianggarkan kos RM1.5 juta untuk diluluskan.

“Buat masa ini, kami menjalankan siasatan lanjut di kawasan itu untuk mengambil tindakan sewajarnya yang boleh membantu orang ramai termasuk pelajar-pelajar untuk melintas dengan selamat,” katanya.

Dr Safry Kamal berkata, isu keselamatan perlu mendapat kerjasama daripada masyarakat terutama ibu bapa bagi memantau keselamatan anak-anak mereka.

“Difahamkan terdapat anggota Rela ditempatkan untuk membantu memimpin pelajar-pelajar ini melintas selain terdapat lintasan pejalan kaki di lampu isyarat berhampiran.

“Jadi, kesemua pelajar digalakkan untuk melintas jalan melalui dua inisiatif itu dan tidak melintas sendirian tanpa dipimpin oleh orang dewasa,’ katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan, Rahmad Ahmad, 37, berkata, jejantas itu kerap dilanggar oleh lori melebihi had ketinggian dan kejadian terbaru membabitkan lori balak menyebabkan jejantas itu senget.

“Kemalangan juga sering berlaku di hadapan sekolah ini dan membahayakan pejalan kaki.  Ketiadaan kemudahan ini berisiko kepada pelajar-pelajar untuk melintas berikutan ia merupakan jalan utama sehingga ada kala menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Diharapkan pihak berkenaan dapat mempercepatkan kelulusan pembinaan jejantas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: