Tuesday, October 28, 2014

Hijab sutera asli Fareeda


SETIAP corak diterhad untuk 50 pelanggan terawal.


PENGGAYAAN tudung memainkan peranan penting untuk membentuk penampilan yang cantik dan kemas bagi seorang muslimah. Namun, penggayaan kain tudung selendang panjang umpamanya memerlukan teknik melilit yang kadang-kadang merumitkan sesetengah individu, apatah lagi buat mereka yang pertama kali menggayakan stail tersebut.
Tudung jenama terkenal, Fareeda memperkenalkan tudung sarung berfesyen yang lebih praktikal terutama untuk muslimah bekerjaya.
Terbaharu, Fareeda memperkenalkan rekaan tudung sarung dengan fabrik sutera asli yang diminati ramai kaum wanita. Pengenalan itu merupakan cetusan idea pengasas Fareeda, Faridah Zakaria selepas melihat kecantikan dan kesesuaian fabrik tersebut untuk dipadankan dengan rekaan-rekaan Fareeda, terutamanya paten sifon Fareeda Nour Sara dan Fareeda Nour Sofea.
“Fareeda telah pun memasarkan tudung fabrik sutera asli iaitu Nour Sara Silk, Nour Sofea Silk dan Khadeeja Silk pada awal bulan lalu sempena menyambut kedatangan tahun baharu. Kami menerima sambutan luar biasa daripada peminat tudung Fareeda yang sememangnya menanti-nantikan tudung sarung kain sutera kerana kebiasaan fabrik istimewa digunakan untuk membuat baju kurung bagi majlis-majlis berprestij.
“Tudung sutera Fareeda kini menjadi fenomena baharu dalam kalangan peminat selepas paten Fareeda Aisya dan Fareeda Mariya,” jelas Pengarah Fareeda, Mawar Abdul Karim ketika ditemui di Bangunan Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Eksklusif
Menjadikannya lebih eksklusif, setiap corak pada tudung sutera itu akan dipasarkan sebanyak 50 item sahaja. Ia bermakna, hanya seramai 50 orang pelanggan terawal mempunyai corak tudung sutera Fareeda yang sama. Mawar memberitahu, corak yang telah dikeluarkan tidak akan dihasilkan semula walaupun mendapat permintaan ramai daripada pelanggan bagi mengekalkan nilai eksklusifnya.
KAIN sutera asli Fareeda diimport khas dari Korea, Itali dan Turki.


Fabrik sutera yang digunakan diimport khas dari Korea, Itali dan Turki. Sehingga kini, sebanyak 30 jenis corak tudung telah dikeluarkan. Corak-corak yang ditawarkan terdiri daripada corak bunga-bungaan, harimau bintang dan abstrak.
Mawar berkata, tudung baharu Fareeda turut memberikan peluang kepada peminatnya untuk menggunakan kreativiti masing-masing dalam menggayakan bahagian selendang belakang tudung. Jelasnya, rekaan terbaharu ini boleh digayakan dengan empat cara iaitu sama ada untuk kemaskan selendang ke sisi bahu, disematkan dengan kerongsang atau membiarkannya sahaja.
Mengulas lanjut, Pegawai Komunikasi Korporat dan Pemasarannya, Suhaili Mohamad berkata, rekaan terbaharu tudung Fareeda itu juga membawa identiti eksklusif menerusi kerongsang yang menghiasi bahagian kiri tepi tudung.
Keunikkan yang ditawarkan untuk setiap rekaan tudung Fareeda boleh dilihat menerusi kerongsang yang direka khas oleh Faridah mengikut pemilihan warna yang dipadankan dengan tudung. Terdapat juga pilihan kerongsang yang diperbuat daripada batu Swarovski.
“Kami melengkapkan penggayaan tudung dengan hiasan kerongsang dengan pelbagai bentuk seperti bentuk hati, bunga dan bersegi.
“Keistimewaan kerongsang ini merupakan salah satu cara untuk orang ramai mengenal pasti ketulenan tudung Fareeda selain penilaian daripada segi fabrik digunakan dan kemasan jahitan.” jelasnya.
Tudung Fareeda Khadeeja, Nour Sofea Silk dan Nour Sara Silk dijual pada harga bermula daripada RM200 di butik-butik eksklusif Fareeda.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: