Tuesday, October 28, 2014

Sakinah, Aliff jatuh cinta pandang pertama


SHARIFAH SAKINAH dan Aliff Adha menjadikan perbezaan karakter masing-masing sebagai pelengkap dalam menjalani hubungan bersama.


“SAYA mula jatuh hati dengan Aliff sewaktu pertama kali berjumpa dan bertentang mata dengannya selepas diperkenalkan oleh seorang rakan sekitar bulan Februari lalu,” getus pelakon Sharifah Sakinah ringkas usai majlis pertunangannya bersama jejaka bernama Aliff Adha Jamil, 26, di kediaman keluarganya di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tuan empunya nama, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 25, dilihat begitu bijak merahsiakan rencana cintanya bersama Aliff daripada pengetahuan khalayak umum. Tanpa ‘angin kencang’, pelakon telemovie Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu terus mengumumkan tarikh pertunangannya beberapa minggu lalu.
Berbicara tentang bunga-bunga cinta yang berputik antara mereka berdua Sakinah berkata, ianya bermula selepas Aliff menyertai program senaman dan kesihatan anjurannya, Fitnessakinah.
“Kami berdua berjumpa setelah diperkenalkan oleh seorang kawan rapat. Selepas berjumpa, kami kemudian bertukar-tukar nombor telefon dan terus berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas.
“Waktu itu, Aliff tidak sekurus ini dan badannya kelihatan sedikit berisi. Saya terus menawarkan diri untuk melatih dan menolongnya untuk menurunkan berat badan.
“Daripada perkenalan itu, saya mula jatuh hati padanya. Alhamdulillah, saya berasa sangat gembira apabila kami telah diikat sebagai pasangan tunang secara rasmi pada malam ini,” ujarnya sambil memberitahu program kesihatannya itu sedikit sebanyak membuka laluannya bertemu dan mengenali jejaka yang kini bergelar tunangnya.
Persefahaman
Ketika ditanya adakah tidak terlalu awal bagi mereka menjalinkan ikatan pertunangan sekali gus bakal menamatkan zaman bujang pada 28 Mac tahun hadapan, Sakinah berkata, jika kedua-dua belah pihak sudah bersedia, tiada apa yang perlu dilengahkan lagi.
“Selepas berkenalan dan menjalinkan hubungan rapat, kami berasa masing-masing telah menunjukkan tanda keserasian. Justeru, apabila Aliff melamar bulan lalu, saya terus bersetuju.
“Saya tidak kisah jika ada yang mengatakan ikatan pertunangan ini terjalin terlalu pantas. Bagi saya, apabila Aliff sudi melamar saya, bermakna dia telah bersedia untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya,” ujar Sakinah lagi.
Walaupun senggang masa enam bulan sebelum bergelar isteri kedengaran terlalu pendek, Sakinah tidak terlalu memikirkan tentang persediaannya sebelum mendirikan rumah tangga.
Malah, adik kepada pelakon Sharifah Shahirah itu memberitahu, apa yang lebih penting adalah komunikasi serta persefahaman yang ditonjolkan oleh kedua-dua mereka.
“Proses belajar memasak dan mengatur rumah tangga boleh dipelajari selepas kami berkahwin nanti.
“Apa yang penting adalah rasa percaya yang dibina antara satu sama lain. Selepas faham memahami, barulah kita boleh hidup secara harmoni. Lagipun, belajar memasak dan mengemas rumah bersama-sama bukankah lebih manis?,” jelasnya sambil tertawa.
Faham karier

IBU kepada Aliff, Datin Rodzi Abdullah sedang menyarungkan cincin pertunangan ke jari Sakinah.


Melihat kepada personaliti kedua-dua pasangan itu, ternyata Aliff tampak lebih pendiam jika dibandingkan dengan Sakinah. Namun, setiap kali buah hatinya itu menuturkan sesuatu perkara yang lucu, pasti bibirnya tidak lekang daripada memekarkan senyuman.
Ditanya apa istimewanya Sakinah pada mata Aliff, juruterbang syarikat penerbangan FireFly itu berkata, selain bersifat kelakar, Sakinah merupakan seorang gadis yang sederhana dan tidak mudah merajuk.
“Sepanjang mengenalinya, Sakinah merupakan seorang gadis yang baik. Jika ada sebarang masalah, kami sering duduk berbincang bersama.
“Lagipun, kami berdua jenis suka berterus-terang. Apa yang kami suka atau tidak, kami akan suarakan supaya masing-masing tidak berkecil hati,” kata Aliff yang tidak akan menghalang tunangnya itu untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon pada masa akan datang.
Meriah
Mengimbau kembali acara tersebut, majlis pertunangan Sakinah dan Aliff pada malam itu diraikan dengan penuh meriah.
Pelamin rekaan Adiputra Decor yang terletak di sudut tengah ruang tamu dihias cantik dengan ratusan kuntuman bunga ros kuning sepadan dengan tema warna-warna pastel yang dipilih oleh pasangan itu.
Pada majlis tersebut, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa tepak sirih, sirih junjung, sepasang kain, kain telekung dan kek.
Pihak perempuan pula membalas dengan tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada jambangan sirih junjung, cincin, sepasang kain, set wangian, buah-buahan dan dua dulang manisan.
Bagi memulakan majlis, Datuk Wira Jamil Osman, bapa kepada Aliff yang mewakili pihak lelaki menyampaikan sepatah dua kata sebelum perbincangan tentang pertunangan anaknya dimulakan.
Kemudian, ibu kepada Aliff, Datin Rodzi Abdullah meneruskan majlis berkenaan dengan menyarungkan cincin ke jari manis Sakinah.
Turut hadir ibu dan bapa Sakinah, Sharifah Zubaidah Syed Alwi dan Syed Abu Bakar Syed Abd. Rahman serta kedua-dua kakaknya, Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar dan Sharifah Shahirah.
Pada malam itu, teman rapat Sakinah, Jihan Muse, Marsha Milan Londoh, Siti Saleha dan Liza Abdul turut terlibat sebagai pengiring.
Antara rakan artis yang hadir memeriahkan majlis termasuklah pengarah Michael Ang serta pengacara dan pelakon Raja Azura.
Keluarga Sakinah dan Aliff telah bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 28 Mac 2015.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: