Sunday, October 26, 2014

Akaun sudah cecah RM8,000


  • sinar dihati

MELAKA - Bapa kepada kanak-kanak yang menderita akibat masalah usus sejak dilahirkan, Muhammad Akmarul Haikal Affizan, 8, kini sudah mempunyai kira-kira RM8,000 untuk menanggung kos menjalani pembedahan di Munich, Jerman.

Menurut ibu kanak-kanak itu, Naima Yuzi, 31, jumlah itu didapati dalam akaun bank suaminya, Affizan Sarif dipercayai hasil sumbangan orang ramai selepas kisah penderitaan anaknya disiarkan dalam media.

Naima melahirkan rasa syukur tidak terhingga atas keprihatinan masyarakat terhadap anaknya itu yang akan diterbangkan ke Munich bagi menerima rawatan di sebuah hospital pakar di sana.

Menurut Naima, dia sekeluarga akan berangkat 3 November depan dengan kos perubatan ditanggung sepenuhnya hospital berkenaan hasil kerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Cuma yang kami perlukan adalah kos bagi membiayai perbelanjaan kami sekeluarga di sana yang dianggarkan berjumlah RM30,000,” katanya yang tinggal di Taman Sri Duyong 2 di sini.

Sinar Harian pada 19 Oktober lalu melaporkan penderitaan Muhammad Akmarul Haikal yang mengalami  Chron’s Disease  iaitu sejenis penyakit usus terkeluar.

Keadaan itu mengakibatkan dia tidak dapat membuang air besar secara normal, sementara perutnya membengkak serta punggungnya mengalami bengkak dan bernanah.

Menurut Naima, sewaktu Muhammad Akmarul Haikal dilahirkan, dia mengalami muntah-muntah, manakala perutnya membuncit.

Doktor yang merawatnya pada awalnya menyatakan ia adalah normal, bagaimanapun sehingga usianya enam bulan, dia kerap mengalami demam manakala setiap kali membuang air besar najisnya bercampur darah.

Selepas menerima rawatan di Hospital Melaka akhirnya kes itu dirujuk kepada PPUM yang kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan sebuah hospital pakar di Jerman.

Kes Muhammad Akmarul Haikal juga dirujuk kepada Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz yang kemudiannya mengaturkan pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 1540-2635-5020 (Affizan Sarif) atau menghubunginya di talian 018-3913380.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: