|
BARANGKALI malam tadi, malam terindah buat si empunya nama, Sharifah Sakinah. Bergelar tunangan kepada lelaki yang berjaya mencuri hatinya, pelakon yang mesra disapa Sakinah itu kini sedang melewati fasa baharu dalam hari-hari yang mendatang.
Hari ini juga, dia menjalani kehidupan hari pertamanya sebagai insan yang sudah ditanda untuk dijadikan peneman hati kepada jejaka kacak bernama Aliff Adha Jamil, 26.
Perkenalan mereka boleh dikatakan cukup singkat. Sungguhpun begitu, tempoh dalam menyemai kasih yang cuba dibina bukanlah menjadi kayu ukur kepada keutuhan cinta mereka.
“Saya mengenali dia menerusi seorang kawan. Ketika itu kami bertemu di satu set penggambaran pada awal tahun ini apabila dia mengikut kawannya ke lokasi.
“Jadi dari situ, saya mula mengenali dirinya,” kongsi pelakon berusia 25 tahun itu kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Bermula dari detik pertama melihat Aliff, dalam senyap-senyap, hati Sakinah sebenarnya sudah berbunga-bunga.
Dia tidak tahu kenapa bayangan lelaki yang bekerja sebagai juruterbang di salah sebuah syarikat penerbangan tempatan itu sering menerpa dalam fikirannya.
Apa yang pasti, Sakinah berasakan lelaki berkulit sawo matang itu ada daya pemikat tersendiri.
“Sebenarnya, saya yang memulakan langkah pertama untuk berkenalan dengan dia.
“Saya menghubunginya menerusi mesej. Ketika itu, dia terkejut apabila dapat tahu orang yang mesej itu merupakan saya. Mungkin dia pelik kenapa saya hantar mesej kepadanya.
“Bukannya apa, saya beritahu dia yang saya boleh jadi jurulatih jika berminat untuk menyertai aktiviti kelas senaman zumba saya.
“Tak sangka pula bermula dari situ, kami sering berhubungan. Itu yang tersangkut,” seloroh Sakinah ketika menceritakan detik awal perkenalannya.
Penampilan sederhana
Daripada sekadar usik-mengusik menerusi panggilan telefon, pelakon Hotel Mania itu kemudian mula menyelami hati budi jejaka itu.
Pertemuan demi pertemuan, saban hari momen itu membuatkan hati Sakinah semakin dekat kepadanya. Dia tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan yang menerpa dalam dirinya ketika itu. Anggapannya mudah, barangkali itu erti bahagia.
“Apa yang boleh saya katakan, saya tertarik dengan personaliti yang ada padanya. Dia seorang yang sangat sempoi dan merendah diri.
“Bukan itu sahaja, dia juga jenis lelaki yang tak suka ‘cover macho’ seperti kebanyakan lelaki. Kalau saya keluar berjalan dengannya, dia pakai selipar jepun sahaja,” luah anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Ditanya adakah tunangnya itu memenuhi kriteria lelaki yang dicari selama ini, Sakinah memberitahu, dia tidak pernah meletakkan ciri khusus dalam mencari teman hidup.
“Saya tak pernah pula nak letak ciri-ciri lelaki yang saya impikan. Saya jenis yang tidak kisah dari segi fizikal luaran.
“Sama ada dia berjambang ke atau tidak, saya tidak pernah tetapkan. Bagi saya, apa yang penting hati budi seseorang itu yang betul-betul ikhlas dalam sebuah perhubungan,” katanya.
Serasi bersama
Cerita Sakinah, Aliff yang dikenalinya tidak sampai setahun itu dilihat sebagai seorang yang cukup memahami dirinya.
“Kalau tanya saya dari segi minat atau lain-lain, kami memang tidak ada persamaan. Apa yang seronoknya, saya berasakan kami ini ‘satu kepala’, mungkin ada keserasian. Saya pula jenis yang gila-gila, jadi kalau kami bertemu asyik nak gelak sahaja,” katanya.
Jelas Sakinah, Aliff juga disifatkan sebagai seorang yang cukup penyabar dan mampu bertahan dengan kerenah dirinya yang kadang kala membuatkan orang sekeliling pening.
“Biasanya dalam perhubungan, memang kita tak boleh lari daripada momen bergaduh. Cuma, yang peliknya, sepanjang saya mengenali dirinya, kami belum pernah lagi bergaduh.
“Kadang-kadang, saya sengaja buat perangai nak buat dia marah, konon-konon nak menguji dirinya, tetapi dia sikit pun tak pernah marah. Dia pandai mengawal diri saya,” cerita Sakinah lagi.
Bukan itu sahaja, menurut Sakinah, tunangnya itu juga seorang yang berperwatakan matang dan suka mengajaknya untuk menghadiri majlis-majlis yang sebelum ini jarang dihadirinya.
“Perangai dia macam bapa-bapa. Suka pergi menghadiri majlis kenduri dan dia akan bawa saya sekali untuk mengikutinya.
“Bukan apa, biasanya jarang orang lelaki muda nak jumpa jenis yang suka pergi majlis-majlis kenduri seperti dia. Jadi, sejak berkawan dengan dia, saya kerap kali juga mengikutinya,” ujar pelakon Biar Mimpi Sampai ke Bintang itu.
Alam rumah tangga
Pelakon yang pernah mencetuskan kontroversi akibat menayang perut di laman sosial itu memberitahu, dia kini sudah bersedia daripada segala aspek untuk mengakhiri zaman bujangnya dalam waktu terdekat.
“Sebenarnya kalau ikutkan, saya tak terfikir nak mengikat tali pertunangan pun. Kalau boleh terus bernikah. Perkara yang baik lagi cepat dilaksanakan, lagi baik.
“Bagaimanapun, apabila difikir balik, kena jugalah ikut adat. Itu yang bersetuju untuk buat majlis pertunangan,” kongsinya.
Tambah Sakinah, dia juga merancang untuk menamatkan zaman bujangnya pada 28 Mac tahun depan.
“Kami sudah bercadang untuk melangsungkan majlis perkahwinan nanti pada Mac tahun depan sempena genap setahun perhubungan kami. Angka 28 itu tidak mempunyai maksud apa-apa pun di sebaliknya.
“Cuma kebetulan pada waktu itu merupakan masa yang bersesuaian untuk membuat tempahan termasuklah dewan yang bakal digunakan,” katanya yang memberitahu, buat masa sekarang maklumat terperinci mengenai majlis perkahwinannya nanti akan diberitahu pada awal tahun depan.
Sungguhpun keputusan untuk mengakhiri zaman bujangnya itu dilihat secara tiba-tiba, Sakinah merasakan ia satu keputusan yang tepat.
“Bagi saya, pada umur saya sekarang, sudah cukup sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Sementara dah ada orang serius nak menjadikan saya isterinya, kenapa perlu saya ambil masa lagi.
“Lagipun, di pihak saya sendiri, saya berasakan dialah orangnya kerana dia mampu kawal diri saya,” katanya yang memberitahu tunangnya itu sentiasa menyokong kerjayanya sebagai pelakon.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: