Tuesday, October 28, 2014

Hidangan ikan patin Temerloh di Shah Alam


  • Aina menunjukkan masak lemak tempoyak patin yang menjadi kegemaran pelanggan.Aina menunjukkan masak lemak tempoyak patin yang menjadi kegemaran pelanggan.

[DIKEMASKINI] TIDAK perlu kembara hingga ke Pahang untuk menikmati hidangan asli ikan patin masak tempoyak dan variasi resipi popular negeri Tok Gajah kerana Restoran
Temerloh Catering di Kompleks Dataran Automobil di Seksyen 15, Shah Alam pasti memenuhi selera pengunjung yang bertandang.

Jejak sahaja kaki di premis ini pastinya aroma tempoyak membangkit selera pengunjung untuk menikmati makan tengah hari bertemakan hidangan popular dari Temerloh yang terkenal dengan keenakan ikan patin.

Satu-satunya restoran di Lembah Klang yang menghidangkan menu ikan-ikan sungai yang segar menjadikan Temerloh Catering tidak lekang daripada kunjungan pelanggan setiap hari.

Restoran masakan asli yang menghidangkan 30 menu istimewa dari hari Isnin hingga Ahad bermula jam 8.30  pagi hingga 6 petang pastinya setiap sajian yang ditawarkan tidak akan dapat dinikmati di kedai lain.

Pemiliknya, Aina Yahya, 61, berkata, bagi menjaga kualiti setiap sajiannya ikan patin mas, patin buah dan patin sangkar diambil sendiri dari Temerloh selang dua hari.

“Pengalaman 20 tahun mengusahakan perniagaan katering dan minat mencuba menjadi nadi kepada kejayaan hari ini.

“Temerloh Catering kini berdiri dengan dua buah cawangan iaitu bermula di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh sekitar lapan tahun lalu dan operasi di Shah Alam kira-kira empat tahun,” katanya.

Aina berkata, tanpa pakej hidangan ditetapkan membolehkan pelanggan bebas memilih hidangan mengikut selera sendiri misalnya ikan kerai goreng dan masak lemak, ikan baung tempoyak, jelawat masak lemak, keli salai masak lemak, opor daging, pari asam pedas, sambal tempoyak pucuk ubi dan juga sambal hitam Pahang.

Tambahnya lagi, selain itu sebagai pemecah selera sajian ulaman dan sayuran kampung juga turut tersedia untuk dinikmati bersama sambal tempoyak dan juga sambal belacan serta air asam.

“Bagi menu masak lemak tempoyak patin sangkar RM10 seketul, patin buah RM20 seketul manakala patin mas RM25 seketul.

“Selain itu, untuk ikan baung, jelawat dan kerai harga bermula RM18 hingga RM25 untuk setiap seketul,” katanya.

Bagi penghilang dahaga dan pedas pelanggan boleh memesan minuman air lemon soda, timun soda dan air naga yang sering mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: