|
PENGACARA itu ibarat nakhoda kapal, yang selalu menjadi penentu hala tuju dan kesempurnaan pelayaran. Jika pincang kawalan nakhoda alamatnya karamlah bahtera yang berlayar. Begitu pepatah orang dahulu kala.
Sebesar itu tanggungjawab yang diletakkan di bahu seseorang pengacara yang menjadi kayu ukur keberkesanan, hala tuju dan kesempurnaan majlis, begitu juga besarnya debaran yang sedang berdentum di jantung lapan pengacara Anugerah Skrin tahun ini (ASK 2014).
Mereka ialah Fahrin Ahmad selaku pengacara utama dan bakal diregukan dengan enam orang pengacara jemputan; Fara Fauzana, Shukri Yahya, Zul Ariffin, Tasha Shilla, Amyra Rosli, Fiza Sabjahan dan Nabila Huda, yang ada antaranya masih hijau dalam lapangan pengacaraan televisyen atau acara anugerah seperti ASK 2014.
Hal itu tidak bermakna mereka mendapat tiket untuk melakukan kesilapan ketika berada di hadapan kamera yang bersiaran secara langsung pada 7 November depan malah, ruang itu tidak membenarkan mereka tumpas di hadapan ribuan pasang mata di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) nanti.
Dua acara besar Fahrin
Tentunya paling kuat yang merasakan gemuruh mengendalikan acara besar ialah Fahrin Ahmad. Selain ASK 2014, kurang seminggu daripada tarikh itu, pelakon drama bersiri Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu mengemudi Festival Filem Malaysia ke-26 pada 1 November.
“Cabaran itu sangat besar bagi saya yang bukannya berlatar belakangkan bidang pengacaraan. Justeru, mengacarakan dua anugerah dalam tempoh yang sangat singkat benar-benar menguji kemampuan saya sebenarnya, tambahan pula jadual penggambaran saya sekarang sangat padat.
“Saya berdepan faktor tekanan masa dan perbezaan dua acara anugerah. Risau sekiranya saya terbawa-bawa stail yang sama ketika anugerah sebelumnya ke dalam ASK 2014 nanti tetapi saya pasti dengan adanya garis panduan dan skrip daripada setiap produksi perkara itu tidak menjadi masalah besar.
“Secara peribadi saya melihat FFM lebih formal dan hanya digandingkan dengan seorang sahaja pengacaranya manakala, ASK 2014 pula bersifat santai dan perlukan sedikit pendekatan jenaka,” ujarnya yang baru pertama kali mengacarakan majlis besar seperti ASK 2014.
Fahrin mengakui pemilihannya sebagai hos pada dua majlis besar tersebut barangkali disebabkan oleh faktor dirinya kini sedang hangat dalam banyak produk yang ditayangkan dalam beberapa stesen televisyen.
“Memang klise setiap kali adanya drama yang sedang membabitkan seseorang pelakon itu ditayangkan di kaca televisyen, ketika itu juga namanya akan melonjak naik dan saya melihat situasi itu daripada sudut positif. Paling utama mengekalkan bagaimana saya menangani situasi ini agar saya tidak panik kalau nama saya kembali senyap kelak kerana itu satu kitaran,” jelasnya.
Shukri beranikan diri
Ketika ditawarkan untuk menjadi pengacara jemputan ASK 2014, pelakon yang popular menerusi drama rantaian Menjinak Ombak, Shukri Yahya tidak panik. Pendekatan yang diambil adalah memberanikan diri untuk mencuba perkara baharu dalam kerjayanya.
“Saya seorang pemalu dan menjadi pengacara di pentas tidak sama seperti berlakon. Kali ini saya perlu mencari kamera, bukan kamera mencari saya jadi saya bersedia dan terbuka menerima kritikan selepas ini.
“Ini pengalaman sulung saya dan sekiranya formula saya menjadi pengacara berkesan maka saya melihat ada potensi untuk mencuba lagi selepas ini,” ujarnya yang mengagumi karisma pengacara ASK tahun lalu, Nad Zainal.
Shukri yang bakal muncul menerusi telefilem Jalan Taubat dan drama rantaian Mahar Cinta Alia tidak lama lagi mengakui dia tidak menyangka dan terkejut apabila ditawarkan untuk menjadi pengacara jemputan anugerah itu tahun ini. Persiapannya, menyaksikan semula rakaman pengacaraan beberapa buah majlis anugerah yang pernah berlangsung sebelum ini sama ada dalam atau luar negara.
Percubaan kedua Amyra
Selepas muncul sebagai pengacara jemputan rancangan HLive yang juga bersiaran langsung pada awal minggu lalu, pelakon muda Amyra Rosli tidak menolak apabila ditawarkan untuk berkongsi pentas ASK tahun ini.
Minatnya dalam bidang pengacaraan sejak kecil juga menjadikan perasaan teruja gadis kelahiran Kuala Lumpur itu untuk mengasah bakat dan potensi lain yang dia miliki.
“Sepanjang hari sebelum berada di depan kamera menjadi pengacara rancangan HLive baru-baru ini saya gementar dan takut sekiranya membuat kesilapan namun sebaik memasuki set, perasaan itu bertukar menjadi seronok.
“Memang saya masih baharu dalam bidang lakonan dan untuk saya terjun pula ke bidang pengacaraan rasanya agak mustahil tetapi tawaran untuk menjadi pengacara jemputan anugerah besar seumpama ASK 2014 seperti bulan jatuh ke riba,” kongsi Amyra.
Kata Amyra, dia harus memaksa diri untuk maju ke hadapan dan mengatasi perasaan gementar apabila berdepan dengan orang ramai. Pelakon yang bakal muncul menerusi drama bersiri Suamiku Encik Sotong itu memberitahu, setiap hari adalah proses untuk dia belajar.
“Bahasa badan saya senang memberitahu sekiranya saya sedang gementar jadi perkara itu yang saya dahulukan untuk diperbaiki, saya perlu memaksa diri dan keluar daripada ruang keselesaan saya selama ini,” tambahnya yang teringin untuk mengacarakan rancangan berbentuk travelog.
Tasha harapkan Fahrin
Peluang sulung Tasha Shilla menjadi pengacara adalah ketika karpet merah Anugerah Blokbuster 2013 di Johor Bahru, Johor. Hampir sama dengan ASK 2014 yang bersiaran secara langsung, format itu tidak membenarkan Tasha mengulangi kelemahan yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Kalau saya seorang berdiri di atas pentas memang saya pun tidak yakin, perasaan cuak itu kadang-kala tidak terungkap dengan kata-kata. Tetapi syukur apabila saya difahamkan tugas saya menjadi pengacara jemputan bersama Fahrin Ahmad yang merupakan nama besar dalam industri.
“Harapan saya untuk melakukan yang terbaik dan mengelakkan daripada memalukan diri sendiri namun saya pasti dengan adanya sesi latihan beberapa kali sebelum acara berlangsung hal itu mudah-mudahan dapat dielakkan daripada berlaku,” kata Tasha yang percaya akan ada komen bercampur sama ada positif mahu pun negatif.
Setelah empat bulan mengacarakan rancangan Galaksi TV9, pengalaman itu sedikit sebanyak mematangkan Tasha dan memberikan keyakinan untuknya bercakap di hadapan kamera.
“Saya mahu belajar mengenai kamera untuk mengumpul pengalaman kerana berlakon dan mengacara tidak sama. Memang pada mulanya saya terkejut apabila ditawarkan menjadi pengacara jemputan malah untuk menjadi pengacara Galaksi pun perasaan takut untuk bercerita mengenai kontroversi teman-teman saya dalam industri sama masih belum hilang.
“Namun, saya melihat peluang ini sebagai tanggungjawab baharu dalam karier saya dan proses pembelajaran itu tidak akan terhenti pada satu peringkat sahaja,” katanya yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Tabir Zulaikha bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza dan Shahrizal Jaszle untuk slot Samarinda TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: