Tuesday, October 28, 2014

Ketagih pil khayal usia 15 tahun


  • Sesal yang tidak terungkap dengan kata-kata, Ita kini merindui anaknya selepas terpisah kerana menjalani hukuman.Sesal yang tidak terungkap dengan kata-kata, Ita kini merindui anaknya selepas terpisah kerana menjalani hukuman.

TRAGEDI menyayat hati apabila kehilangan putera sulung yang lemas di sebuah pantai di Terengganu, masih ‘hijau’ ingatannya.

Niat di hati bukanlah mahu melawan takdir, namun bekas penagih yang hanya mahu dikenali sebagai Ita ini pernah merasakan menyesal dan menyalahkan diri sendiri atas kejadian malang menimpa anaknya itu.

Banyak masa juga, wanita berusia 36 tahun ini terfikir, mungkinkah insiden itu adalah peringatan ALLAH SWT terhadapnya, mengingatkan dia atas segala kekhilafan dilakukannya selama ini.

Dilahirkan dalam keluarga besar, Ita mempunyai 11 beradik, tiga daripadanya lelaki dan selebihnya perempuan. Bapanya seorang nelayan dan ibunya pula suri rumah tangga.

Cerita Ita, dia mula berjinak-jinak dengan pil khayal seawal usia 15 tahun. Ketika itu akuinya, dia terpengaruh dengan ajakan rakan dan mula mengambil pil khayal dipanggil ‘Arjon’.

“Arjon dijual dengan harga RM10, tujuh biji.  Masa itu saya hanya suka-suka ambil pil tersebut untuk rasa khayal, namun lama-kelamaan saya ketagihan. Dari situlah bermulanya episod duka lara dan segala titik noda yang berlaku di dalam hidup saya,” katanya sebak.

Ita berkata, kerana malu disebabkan hidup miskin, dia mengambil keputusan berhenti sekolah semasa di tingkatan tiga. Segala ilmu yang pernah diajar oleh gurunya itu ditinggalkan, akan tetapi tabiat ketagihan dibawa sehinggalah dia mendirikan rumah tangga pada usia 16 tahun.

“Pada awal usia perkahwinan, saya mengambil keputusan berhenti menagih tetapi suami saya pula yang lebih ‘hebat’ dalam hal ini. Dia juga penagih dadah jenis heroin dan kerana terbiasa dengan tabiat dulu, saya turut sama cucuk untuk memasukkan dadah dalam badan saya,” ujarnya lagi.

Kehidupan mereka berterusan begitu sehingga dikurniakan empat anak. Suatu hari, Ita dikejutkan dengan kedatangan seorang jiran sekampung yang memaklumkan anaknya lemas ketika mandi bersama tiga sepupunya.

“Sebelum itu, saya dengar suara dia bermain-main di halaman rumah. Sekejap sangat, tiba-tiba seseorang datang beritahu anak saya lemas,” katanya yang tinggal di kawasan perkampungan nelayan dan berhampiran dengan pantai lokasi anaknya lemas.

Ketika itu dia menyesal kerana berasakan tidak menjaga anaknya itu dengan baik sehingga terpaksa ditenangkan abang-abangnya supaya menerima perkara itu sebagai takdir ALLAH SWT yang ada hikmah di sebaliknya.

Pun begitu, penyesalan yang dirasakan hanyalah seketika saja. Ita masih meneruskan tabiat ketagihannya sehingga pada suatu hari, dia rasa betul-betul gian dadah.

“Apabila terlalu ketagih, otak tidak dapat berfikir dengan waras. Saya perlukan duit untuk dapatkan dadah. Saya balik ke rumah untuk meminta wang daripada ibu tetapi dia tiada di rumah.

“Saya kemudian mengambil pisau dengan niat mahu menjual pisau itu kepada peniaga keropok di kawasan kejiranan kampung saya. Sekali lagi nasib tidak menyebelahi saya apabila orang yang saya cari untuk jualkan pisau itu tiada di rumah,” katanya yang kemudiannya terserempak dengan seorang kana-kanak perempuan berusia 7 tahun, anak penduduk kampungnya.

Ita meragut rantai leher yang dipakai kanak-kanak itu sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal. Dia kemudiannya menjual rantai berkenaan untuk mendapatkan bekalan dadah yang terlalu diinginkan itu.

Kelegaan dapat melampiaskan giannya itu bagaimanapun tidak kekal lama. Ita berjaya ditahan polis dua minggu selepas kejadian.

“Sekarang saya di sini, di sebalik tirai besi kerana perlu menjalani hukuman empat tahun penjara seperti yang telah diputuskan penghakiman dunia. Ini baru hukuman dunia tetapi saya tetap syukur kerana terpilih untuk berada di sini.

“Inilah tempat saya, tempat yang mengingatkan semula siapa diri saya dan dari mana lahirnya saya. Mengembalikan semula saya kepada Yang Maha Pencipta. Saya bukan sahaja kehilangan seorang anak, malah saya juga hilang suami apabila diceraikan,” katanya mengakhiri cerita perjalanan hidupnya sebelum menghuni Penjara Pengkalan Chepa, di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: