Saturday, October 25, 2014

Pokok kurma kini hiasi landskap Lumut


  • Mohamad Shahril (kiri) menanam pokok kurma di sekitar Kompleks Pelancongan Lumut.Mohamad Shahril (kiri) menanam pokok kurma di sekitar Kompleks Pelancongan Lumut.

LUMUT - Majlis Perbandaran Manjung (MPM) melaksanakan penanaman pokok kurma di sekitar kawasan Lumut sebagai satu usaha penjenamaan Lumut sebagai bandar pelancongan dan maritim.

Penolong Pegawai Pelancongannya, Mohamad Shahril Salihan berkata, sebagai permulaan pihaknya menanam sebanyak 10 pokok kurma di sekitar Kompleks Pelancongan jaluran pesisir Lumut.

Menurutnya, jika usaha tersebut membuahkan hasil positif, ia akan diteruskan lagi di kawasan lain di sekitar Lumut.

“Ini adalah antara kita dalam penjenamaan Bandar Lumut sebagai bandar pelancongan dan maritim.

“Selain daripada produk sedia ada, kita berharap dengan adanya pokok kurma ini, ia akan membantu menarik lebih ramai pelancong datang ke sini,” katanya ketika ditemui pelancaran projek tanaman kurma itu semalam.

Sebanyak 10 pokok kurma iaitu lima jenis kurma Ajwa dan lima jenis lagi kurma madu ditanam untuk projek tersebut.

Katanya, MPM berharap penanaman pokok kurma berkenaan adalah sebagai satu usaha perubahan landskap baharu dan menjadi promosi untuk tanaman kurma di negara ini.

“Sebelum ini kita juga menanam beberapa jenis pokok dalam kategori pokok Palma seperti pokok kelapa di sekitar kawasan Lumut bagi menimbulkan suasana laut dan pantai.

“Ini adalah sebagai penambahan kepada jenis pokok berkenaan dan kita berharap Lumut menjadi antara lokasi tanaman pokok kurma yang boleh dijadikan contoh,” katanya.

Beliau berkata, projek tanaman kurma berkenaan boleh dikatakan sebagai projek perintis kepada MPM sebelum diteruskan di lokasi lain.

Katanya, beliau yakin MPM adalah pihak berkuasa tempatan pertama di Perak mengusahakan tanaman itu sebagai landskap untuk mengindahkan dan menambah tarikan orang ramai.

Menurutnya, jika projek itu berkata, ia akan diteruskan di lokasi lain di sekitar Lumut supaya bersesuaian dengan tema iaitu bandar pelancongan dan maritim.

“Kita juga harap ia boleh dijadikan contoh kepada kawasan lain untuk menambah landskap mereka dengan tanaman pokok kurma,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: