Friday, October 31, 2014

Bingkisan buat Izwan Pilus


Saya berharap, dengan adanya rakaman semula Kembali Senyum yang dimuatkan dalam album sulung saya ini, ia dapat mengubat kerinduan para peminat terhadap Izwan Pilus – ARIL


TANGGAL 20 Januari 2012 meninggalkan catatan duka apabila penyanyi yang popular dengan lagu Kembali Senyum, Izwan Pilus dijemput Ilahi. Beliau meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus dan jangkitan kuman dalam darah. Kematian penyanyi itu bukan sahaja dirasai oleh peminatnya, bahkan meninggalkan kesan mendalam kepada penyanyi Khairul Azam Pilus atau lebih popular dengan panggilan Aril.
Sebagai adik, pemergian abang kandungnya itu satu kehilangan besar dalam hidupnya.
Terpanggil untuk mengenang kembali saat-saat manis bersama arwah abangnya, naib juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu merakamkan kembali lagu Kembali Senyum dan dimuatkan ke dalam album sulungnya, Aril.
“Terdapat banyak cerita di sebalik lagu Kembali Senyum,” tutur Aril membuka bicara ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya di No Black Tie, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Lirik lagu ini ditulis oleh Izwan untuk saya sebelum saya menyertai AF. Pada waktu itu, saya banyak menyanyi secara underground. Izwan ada meminta saya untuk mengambil lagu itu sebagai lagu baharu saya.
“Tetapi, apabila membaca kembali lirik yang ditulis olehnya, saya rasakan lagu itu tidak begitu sesuai dengan muzik yang saya bawakan. Lalu lagu itu dinyanyikan sendiri oleh Izwan. Saya masih simpan lirik tersebut sehinggalah saya terdengar semula lagu Kembali Senyum nyanyian arwah yang dimainkan di radio. Saya terdetik untuk menyanyikan semula lagu itu," kata Aril.
Namun, menurut Aril, sebagai satu kelainan, versi baharu lagu yang pernah mempopularkan nama arwah abangnya itu telah mendapat sentuhan daripada AG Coco dari segi susunan semula muzik.
“Saya hanya ada seorang abang. Dia yang banyak memberikan nasihat sewaktu saya mula-mula mahu menceburkan diri dalam bidang muzik dahulu.
“Sebagai seorang adik, merakamkan lagu ini merupakan salah satu cara untuk saya mengenang segala nasihat dan tunjuk ajar yang pernah diberikan. Lagipun, saya percaya masih ada peminat yang merindui arwah.
“Saya berharap, rakaman semula Kembali Senyum dapat mengubat kerinduan para peminat terhadap Izwan Pilus,” katanya lagi.
Selepas lima tahun
Melanjutkan perbualan mengenai album pertamanya, Aril berkata, dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan album tersebut kerana mengikuti pasaran dan perkembangan muzik semasa.
“Jika kita lihat perkembangan industri muzik pada masa kini, pendengar lebih suka membeli single berbanding sebuah album penuh.
“Saya telah merakamkan hampir 20 buah single selepas saya keluar dari AF. Rasanya sekarang merupakan masa yang tepat untuk menghimpunkan lagu-lagu yang pernah popular dulu dan beberapa lagu baharu ke dalam sebuah album,” ujar Aril yang awalnya merancang menerbitkan album tersebut sekitar hujung tahun lalu.
Album yang mendapat sentuhan komposer-komposer terkenal seperti AG Coco dan Kunci Demak itu turut menampilkan lagu yang pernah menaikkan namanya suatu masa dahulu, Menatap Matamu.
Menurut Aril, dia pernah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusannya kerana memintanya merakamkan lagu berkenaan.
Tanpa disangka, lagu tersebut menjadi satu sebab, kenapa dia masih kekal relevan dan diingati oleh para peminatnya.
“Sejujurnya saya memang tidak gemarkan lagu itu (Menatap Matamu), tetapi, setelah mendapat respon yang sangat menggalakkan daripada pendengar, saya mula sedar bahawa pilihan lagu oleh pihak pengurusan memang satu perkara yang tepat.
“Mungkin kita tidak gemarkan sesebuah karya, tetapi, pihak pengurusan lebih tahu apa yang terbaik untuk seseorang artis,” ujar Aril yang kini lebih percaya kepada kehendak pasaran muzik berbanding selera atau pilihan seseorang penyanyi secara individual.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: