|
MELIHAT panorama Gunung Kinabalu pasti membuatkan sesiapa saja tidak berkedip mata. Malah, ia seakan-akan melambai-lambai sesiapa sahaja untuk menakluknya.
Namun, gunung yang memanjang di Banjaran Crocker itu bukan sahaja memerlukan seorang pendaki yang memiliki kemahiran dan kecekalan tinggi malah perlu membuang ego diri.
Mengikut perkiraan, jarak perjalanan cuma 8.5 kilometer (km) tetapi menawarkan pendakian menegak setinggi 3,075.2 meter.
Kiraan itu diambil dari perjalanan Timpohon Gate yang berketinggian 1,830 meter dari paras laut dengan puncak tertinggi di Asia Tenggara itu yang dikenali sebagai Low Peak iaitu 4,905.2 meter.
Episod seperti keluhan lesu dan penat, kejang serta ‘meminta nyawa’ adalah perkara biasa dilontarkan oleh para pendaki setiap kali mencuba laluan yang dirintis oleh dua pendaki pertama iaitu seorang penduduk tempatan kaum dusun iaitu Gunting Lagadan dan Gabenor British di Labuan, Sir Hugh Low.
Tolak pelawaan
Kedua-dua perintis terbabit mengambil masa selama tiga minggu untuk membuka jalan tersebut. Atas kejayaan mereka merintis laluan itu, nama kedua-duanya disemadikan di papan tanda dan puncak. Kedua-dua lokasi ini menjadi kegilaan para pendaki merakamkan gambar setiap kali berjaya menawan gunung terbabit.
Bagi Loo Hun Ching, 27, pendakian tersebut amat menyeronokkan kerana berpeluang melihat pelbagai fauna seperti pohon periuk kera bersaiz gergasi selain lumut hijau yang masih basah dek air embun.
Menurut Eksekutif Makanan dan Minuman Pusat Perubatan Mahkota (MMC) Melaka itu, kewujudan fauna tersebut secara tidak langsung menghilangkan rasa penat apatah lagi ketika melalui trek pendakian batu granit yang tersusun secara semula jadi seperti menaiki tangga.
“Keadaan trek di sini agak licin kerana cuaca yang sentiasa lembab dan basah serta berkabus yang memerlukan kita berhati-hati setiap kali melangkah.
“Tapi saya rasa sangat gembira sebab dapat bersama-sama mendaki pada program ini,” katanya yang ditemui semasa pendakian ke Gunung Kinabalu baru-baru ini.
Di sebalik bentuk badan Hun Ching yang agak sederhana dengan ketinggian 160 sentimeter dan berat 54 kilogram (kg), kekuatannya tidak boleh dinilai dari aspek fizikal.
Buktinya, apabila anak kelahiran Ipoh, Perak itu gagah mengangkat bebanan sehingga 15kg. Ia merupakan satu bebanan yang agak berat bagi seorang wanita yang mendaki dari Timpohon Gate ke Laban Rata dengan ketinggian menegak 1,522 meter.
Malah, dia juga menolak pelawaan porter atau pengangkut barang yang sering kali memujuk dan menasihatinya agar menggunakan perkhidmatan mereka bagi memudahkan pendakian.
“Secara psikologi dan fizikal, saya telah cukup bersedia untuk pendakian setelah menjalani latihan selama enam bulan sejak bulan Februari lalu.
“Letih memang letih tetapi saya cuma lakukan rentak langkahan seperti dipelajari sebelum ini sambil menikmati kehijauan alam diiringi bunyi cengkerik,” seloroh anak kedua daripada empat beradik itu.
Ujian pendakian
Jawapan yang diberikan oleh Hun Ching kemudiannya disokong oleh Ketua Ekspedisi, Anas Md. Nor, 43, yang memberitahu sesi pemilihan telah dilakukan terhadap 52 peserta MMC bagi memilih hanya 20 peserta yang berkualiti termasuk pendaki gantian sempena ulang tahun ke-20 MMC tahun ini.
Ujarnya, setiap peserta diuji dari segi ketepatan masa, semangat setia kawan dan kekuatan fizikal individu.
“Ujian kelayakan telah dilakukan di Taman Botanical Melaka yang memerlukan setiap peserta melakukan larian sejauh 8km dengan membawa bebanan seberat 10kg bersamaan sekampit beras setiap seorang.
“Selain itu, peserta turut diuji dengan pendakian condong 45 darjah di Bukit Beruang dengan bebanan yang sama. Semua ini dilakukan sejajar dalam memastikan kesemua peserta dipilih sampai ke puncak Gunung Kinabalu,” katanya.
Anas menerangkan, setiap peserta yang telah dipilih menjalani prapendakian dengan mendaki Gunung Ledang di Johor serta Gunung Angsi, Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, menyedari setiap individu mempunyai kekuatan yang berbeza, setiap peserta MMC dipecahkan kepada empat kumpulan yang terdiri daripada empat hingga lima peserta.
Motivasi
Bagi Nor Mohd. Fairuz Satibi, 31, yang ditugaskan sebagai ketua kumpulan D dan bertindak sebagai gate keeper memerlukannya berada di kedudukan terakhir dalam kumpulan.
Menurutnya, tindakan itu bagi memastikan kelancaran perjalanan pendakian seterusnya mengelakkan pendaki yang tercicir biarpun telah disediakan jurupandu arah atau malim gunung oleh Taman-Taman Kinabalu.
“Memang kadang-kadang ada rasa ingin berada di hadapan tetapi kita bergerak secara berkumpulan dan harus membuang rasa ego bahawa kita adalah kuat dan pantas.
“Sebaliknya, kesemua kekuatan itu digunakan dalam membantu ahli pasukan terutama dalam aspek komunikasi, memberikan semangat di samping merasai keseronokan mendaki,” katanya.
Pada program yang julung-julung kali dianjurkan MMC itu, kesemua 20 peserta ekspedisi termasuk empat doktor pakar berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu antara pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi pada 21 Ogos lalu.
Kejayaan itu diperoleh selepas mereka dibenarkan memulakan pendakian terakhir ke Low Peak dari Laban Rata bermula pada pukul 6 pagi selepas gagal mendaki pada waktu lazim iaitu pukul 2.30 pagi kerana faktor hujan lebat.
Dalam menempah nama sebagai antara peserta yang berjaya, Nur Zulaiqha al-Juhari, 23, merasa amat teruja kerana dapat menikmati pemandangan indah dari puncak terbabit.
Bagaimanapun, gadis periang yang meminati warna biru laut itu turut mengakui agak gayat terutama ketika melihat laluan yang ditempuh sewaktu dalam proses menuruni semula ke kawasan permulaan pendakian iaitu
Timpohon Gate.
“Sebaik menuruni puncak, hujan agak lebat ditambah dengan kabus tebal membuatkan penglihatan agak terbatas.
“Keadaan menjadi lebih genting apabila melalui kawasan curam di lereng gunung selepas pusat pemeriksaan Sayat-Sayat memerlukan kami memegang erat tali kerana jika tersalah langkah akan mengundang risiko yang tinggi,” ujar Eksekutif Pemasaran MMC itu.
Zulaiqha memberitahu, sepanjang program terbabit dia belajar banyak perkara terutama ketahanan psikologi dan semangat yang ditunjukkan oleh jurupandu arah dan porter yang sentiasa gagah merintangi laluan di gunung terbabit.
“Sudahlah sejuk, penat dan lapar ditambah hujan lebat menjadikan pendakian lebih sukar. Treknya juga sentiasa menegak.
“Sehubungan itu, saya menjadikan kekuatan porter sebagai motivasi sepanjang pendakian ini sambil dibantu oleh rakan-rakan,” ujarnya.
Biarpun hanya memerlukan dua hari pendakian berbanding gunung-gunung lain di negara ini yang memakan masa lebih lama, aspek keselamatan amat ditekan terutama apabila berhadapan dengan cuaca sejuk sehingga 3 darjah Celcius.
Keadaan ini menyebabkan pendaki mengalami kesejukan yang amat sangat sehingga menusuk tulang. Seluruh anggota terasa kebas dan rasa amat sukar untuk bernafas yang merupakan gejala penyakit altitud. Justeru, pakar saraf bedah MMC, Dr. Wong Wee Yen menegaskan, teknik pernafasan yang betul adalah menggunakan hidung berbanding mulut.
Katanya, penggunaan mulut akan membuatkan udara yang disedut adalah sejuk dan membuatkan tekak sentiasa kering dan sukar bernafas.
“Semakin kita mendaki semakin nipis oksigennya. Apabila oksigen yang disedut tidak betul dan tidak mencukupi kepala akan menjadi pening, mual, terasa mahu tidur dan berhalusinasi.
“Otak merupakan organ yang tinggi metaboliknya. Secara umumnya, dalam masa tiga minit jika otak tidak menerima oksigen, ia boleh menyebabkan seseorang koma dan mengalami kematian otak dalam masa lima minit selepas itu,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: