Sunday, October 26, 2014

Tagih kehidupan baharu


Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.


MUNGKIN benar kata orang, kisah silam yang berlaku dalam kamus kehidupan seseorang mampu mengajar mereka untuk menjadi insan yang lebih sempurna.
Mengambil berkat kemuliaan Awal Muharam yang merupakan bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah), Zulkifli Mohd., 18, yang merupakan salah seorang penghuni rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) berikrar untuk berhijrah dari kehidupan lalu.
Simbolik dengan keda­tangan bulan baharu itu semalam, Zulkifli menjadikan tarikh tersebut sebagai titik tolak kepada permulaan kehidupan baharu dan berazam untuk memperbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik.
Zulkifli dimasukkan ke pusat tersebut awal Februari tahun lalu akibat masalah ketagihan dadah yang serius.
Menurut remaja yang berasal dari Negeri Sembilan itu, kedatangan Awal Muharam pada tahun ini diharap dapat membuka lembaran baharu dalam kehidupannya pada masa akan datang selain membuang jauh noda-noda hitam yang pernah menghantui kehidupan lampaunya.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan normal seperti orang-orang lain.
“Saya tidak sangka, saya kini seperti dilahirkan semula seper­ti sehelai kain putih yang suci, biarpun sebelum ini saya pernah hanyut dengan keseronokan dunia,” katanya ketika ditemui di rumah Perkid, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.
Mengimbau kembali kisah tersebut, anak kedua daripada empat orang adik beradik itu menceritakan, dia terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah seawal usia 13 tahun.
“Saya diperkenalkan dengan najis tersebut sewaktu hari pertama saya menjejakkan kaki di sekolah menengah.
“Oleh kerana terpengaruh dengan ajakan kawan dan pera­saan ingin mencuba yang begitu menebal dalam diri, saya akhir­nya tewas dan sejak dari hari itu, saya mula berani mencuba pelbagai jenis dadah yang lain,” jelasnya.
Ujar Zulkifli, bermula dengan najis ganja, menghidu gam dan syabu, dia kemudian terus ha­ny­ut sehingga berani mengambil dadah jenis heroin.
“Walaupun diri saya kotor dan penuh dengan najis, namun tiada seorang pun ahli keluarga berjaya menghidu kegiatan tidak bermoral saya ini.
“Rahsia tersebut berjaya disimpan sehingga saya berumur 16 tahun, sebelum ditangkap dalam satu sekatan jalan raya kerana ujian air kencing menunjukkan saya positif dadah,” ujarnya.

Bukan sekadar aspek kerohanian, kecergasan fizikal juga turut diambil kira dalam proses pemulihan.


Menyesal
Jelas Zulkifli, disebabkan kejadian tersebut, dia meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun sebelum dihantar ke pusat pemulihan.
Bagaimanapun, disebabkan oleh najis dadah sudah sebati dalam diri, Zulkifli mula kembali ke tabiat lama sebaik sahaja dibebaskan daripada pusat tersebut.
“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana diberi peluang kedua dan mampu berubah selepas keluarga menghantar saya ke sini.
“Jika dahulu saya langsung tidak ambil peduli tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim, namun kini saya mampu mengubah kehidupan saya menjadi insan yang lebih berguna,” jelasnya.
Apa yang pasti, Zulkifli ber­azam untuk menebus kembali segala kekecewaan yang dilakukan terhadap keluarganya dahulu.
Sama seperti Zulkifli, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, Mohd. Naim, 29, juga pernah kecundang dalam hidup akibat penyalahgunaan najis dadah.
Bagaimanapun, jelas Naim, dia bernasib baik kerana ketagihannya itu mampu dicegah awal dan tidak melarat sehingga terpaksa merempat di kaki jalan.
“Saya membesar seperti remaja-remaja yang lain.
“Namun, disebabkan saya mudah terpengaruh dengan apa yang dilakukan rakan, saya terpesong dan terpalit sama dengan najis dadah,” ujarnya.
Jelas Naim, biarpun terjebak dengan pengambilan pil kuda hampir 10 tahun, namun rahsia tersebut berjaya disimpan rapi.
Bagaimanapun, ujar anak sulung daripada tiga beradik itu, dia nekad untuk berubah dan membayar kembali setiap kesilapan yang pernah dilakukan terhadap ibu bapanya.
“Bayangkan angkara dadah, duit gaji yang saya perolehi lebih RM4,000 sebulan lebur begitu sahaja tanpa mengirimkan satu sen pun kepada ibu dan ayah di kampung.
“Mana tidaknya, setiap hari saya membelanjakan lebih RM150 untuk membeli pil kuda. Jika sehari tidak dapat, hidup saya tidak keruan dan terasa seperti mahu mati,” jelasnya.
Disebabkan itu, dia nekad untuk mengubati penyakitnya dan menjadi penghuni pusat pemulihan itu sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, perubahan ketara dalam hidup selain pendedahan yang mendalam terhadap agama, Naim nekad untuk terus menetap dan berbakti di rumah tersebut sehingga kini.
“Dahulu memang saya tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid, apatah lagi untuk menunaikan solat, namun kini semuanya mampu saya tunaikan dengan kerelaan hati,” jelasnya.

REMAJA perempuan bermasalah menjalani latihan jasmani pada sebelah petang untuk menguatkan fizikal mereka.


Batu loncatan
Berbeza dengan remaja-remaja lain, Zulfadzli Muhammad, 16, pula menyambut kedatangan Awal Muharam melalui perspektif yang berbeza.
Menurut remaja berkulit hitam manis itu, kedatangan tahun baharu pada tahun ini diharapkan mampu menjadi batu loncatan untuk dirinya memperbaiki hubungan kekeluargaan selain memperbaiki diri untuk menjadi anak yang berguna.
“Saya mula berkelakuan liar selepas kematian ibu sewaktu berumur sembilan tahun.
“Bermula dari saat itu saya mula terlibat dengan masalah sosial dan sering ponteng sekolah untuk melepak serta melibatkan diri dengan aktiviti lumba haram,” jelasnya.
Ujar anak kedua daripada empat beradik itu, dia juga pernah lari dari rumah dan meme­cah masuk rumah bapanya untuk mengambil barangan bernilai lebih RM5,000.
“Saya malu untuk apabila memikirkan segala tindakan bodoh yang saya lakukan dahulu.
“Disebabkan perkara itu, saya rasa terasing dan sehingga kini keluarga saya tidak mahu bercakap dengan saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, anak kelahiran Johor Bahru itu percaya pada barisan ayat yang sering diungkapkan dalam peribahasa Melayu, air dicincang tidak akan putus.
Ujar Zulfadzli, dia percaya lambat laun hasratnya untuk berbaik dan kembali semula semula ke pangkuan keluarga pasti tercapai.
“Saya mahu jadi contoh kepada adik-beradik saya yang lain.
“Saya tidak mahu ada di antara mereka yang mengikut jejak langkah saya sebelum ini,” ujarnya.
Insaf
Kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan badan binasa.
Begitulah yang dialami gadis kelahiran Ban­ting, Selangor, Fatimah Ahmad, 16, yang menyesali perbuatannya, namun dia terpaksa akur kerana nasi sudah menjadi bubur.
Fatimah hilang kehormatan diri disebabkan terlalu percaya dengan kekasih hati yang baru dikenali menerusi laman sosial.
“Semua itu berlaku dengan pantas dan mungkin kerana terlalu sayang dengan lelaki yang pandai bermain kata-kata itu.
“Bagaimanapun saya bernasib baik kerana ahli keluarga menyedari sikap liar saya dan kini beransur pulih daripada kegagalan hidup lalu,” jelasnya.
Cerita anak kedua daripada empat beradik itu, dia begitu menyesal kerana tidak menjaga kehormatan diri dengan betul.
“Saya tidak tahu apa nasib saya akan datang.
“Namun, apa yang pasti, saya berazam untuk membersihkan nama keluarga dengan membuat sesuatu yang boleh membanggakan mereka,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: