Tuesday, October 28, 2014

Berita gembira menanti Akmarul


  • Muhammad Akmarul HaikalMuhammad Akmarul Haikal

MELAKA - Usaha untuk mengumpul dana sebanyak RM30,000 bagi menampung perbelanjaan pembedahan Muhammad Akmarul Haikal Affizan, 8, yang mengalami masalah usus terkeluar, dijangka dapat dicapai dalam masa terdekat ini.

Keyakinan itu disuarakan Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, Amir Hamzah Aziz yang memberitahu, kutipan terkini sehingga semalam sudah mencecah RM15,000 hasil sumbangan orang ramai.

Ditambah beberapa pihak lagi yang menyatakan hasrat untuk membantu, sekali gus mencerahkan peluang untuk Muhammad Akmarul Haikal menjalani pembedahan di Munich, Jerman.

Amir Hamzah yang turut terlibat dalam usaha membantu mengumpulkan dana itu berkata, lebih menggembirakan apabila ada yang turut menyatakan hasrat untuk menanggung keperluan keluarga kanak-kanak berkenaan ketika di Jerman.

"Ada beberapa pihak sudah menyatakan hasrat untuk menyumbang bagi menampung keperluan dana yang masih tidak mencukupi.

“Kita juga dapat khabar gembira apabila anak sebuah keluarga yang menetap di Munich, Jerman sudah menyatakan kesudian menampung keperluan keluarga kanak-kanak terbabit sepanjang berada di Jerman nanti," katanya yang memberitahu, akan mengumumkan sesuatu pada pada sidang media yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Naima Yuzi, 31, berkata, dia sekeluarga melahirkan rasa syukur tidak terhingga atas keprihatinan rakyat Malaysia terhadap anaknya yang akan diterbangkan ke Munich untuk menerima rawatan di sebuah hospital pakar di sana.

Menurut Naima, dia sekeluarga akan berangkat 3 November depan dengan kos perubatan ditanggung sepenuhnya hospital berkenaan hasil kerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Kami mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada orang ramai yang membantu, kepada pihak media terutama Sinar Harian yang banyak membantu kami sekeluarga,” katanya yang tinggal di Taman Sri Duyong 2 di sini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mengenai penderitaan Muhammad Akmarul Haikal yang mengalami Chron’s Disease iaitu sejenis penyakit usus yang terkeluar.

Keadaan itu telah mengakibatkan dia tidak dapat membuang air besar secara normal sementara perutnya membengkak serta punggungnya mengalami bengkak dan bernanah.

Selepas menerima rawatan di Hospital Melaka, akhirnya kes itu dirujuk kepada PPUM yang kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan sebuah hospital pakar di Jerman.

Kes Muhammad Akmarul Haikal juga dirujuk kepada Pembela BN Melaka yang kemudian mengaturkan pihak untuk mendapatkan dana.

Orang ramai yang mahu membantu Muhammad Akmarul Haikal boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bapanya, Affizan Sarif (1540-2635-5020).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: