Thursday, October 30, 2014

Belajar subjek Sejarah SPM cara kreatif



Para pelajar perlu membuat persiapan yang rapi kerana mata pelajaran Sejarah merupakan kertas wajib lulus dalam SPM. – Gambar hiasan


MEMAHAMI keperluan pelajar yang inginkan kaedah mengulang kaji yang lebih efektif, menarik dan mudah difahami, Astro Tutor TV SPM melancarkan sebuah program televisyen pendidikan baharu iaitu Infografik SPM Sejarah bermula 1 Oktober lalu.
Program yang disiarkan setiap hari pada pukul 6.30 petang di Saluran 603 itu menampilkan cara pembelajaran melalui gabungan infrografik kinetik, penceritaan animasi yang turut dibantu dengan penerangan oleh suara latar.
Berdurasi selama 15 minit, ia memaparkan persembahan visual rangkuman bab-bab utama mata pelajaran Sejarah berdasarkan sukatan pengajian yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Ketua Bahagian Pendidikan Astro, Vickie Lai berkata, program tersebut memudahkan proses pembelajaran dan ulang kaji, terutamanya bagi golongan pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui kaedah moden dan kreatif.
“Kami memahami situasi segelintir pelajar yang menghadapi kesukaran untuk memahami dan mengingati fakta-fakta mata pelajaran Sejarah dan ia adalah kertas wajib lulus. Lantaran itu, kami di Astro telah bekerjasama dengan barisan Guru Cemerlang Sejarah yang berpengetahuan luas bagi merangka kandungan akademik yang relevan dan efektif,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Vickie menambah, program tersebut menggunakan konsep infografik visual kinetik yang lengkap dengan ikon-ikon sebagai isyarat visual dan adunan pelbagai warna untuk membantu daya memori para pelajar.
Infografik mata pelajaran Sejarah memfokuskan kepada bab-bab pilihan untuk peperiksaan SPM, antaranya, Kemerdekaan: Lahir negara berdaulat, Malayan Union: Satu penjajahan, Pilihan raya: Hak dan tanggungjawab rakyat dan Globalisasi satu cabaran.
Selain penerangan dan nota, tahap pemahaman para pelajar juga akan diuji melalui rangkaian soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang disertakan skema jawapan di setiap penghujung segmen.
Pada penghujung rancangan, satu ‘soalan hangat’ yang terdiri daripada soalan subjektif berdasarkan struktur soalan peperiksaan sebenar akan diajukan kepada para penonton dan mereka boleh mendapatkan skema jawapan dalam laman sesawang rasmi Astro Tutor TV, www.tutortv.com.my.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: