Wednesday, October 29, 2014

Keunikan perahu tradisional Poland



Marczewski terpaksa mengharungi sungai sehingga paras pinggang bagi melepaskan perahu Pychowka yang diberi nama Slawka itu.


DIPERBUAT daripada kayu berkilat, dilengkapi layar berwarna putih untuk memerangkap angin, perahu tradisional itu menyusur laju di Sungai Nil, Mesir.
Selepas berabad-abad dilupakan, perahu tradisional itu kembali diperkenalkan untuk menyelusuri Sungai Vistula yang terletak di bandar Warsaw, Poland.
Bagi memudahkan pelayar, perahu yang dikenali dengan nama Pychowka oleh masyarakat tempatan itu turut dilengkapi dengan ciri-ciri moden.
Pembuat perahu tersebut, Jacek Marczewski berkata, Pychowka ciptaannya mempunyai sedikit persamaan dengan Feluccas iaitu perahu yang sering digunakan oleh masyarakat Mesir pada suatu masa dahulu.
Katanya, sungai Vistula sangat unik dan perahu yang digunakan juga perlu mempunyai ciri-ciri yang sama.
Bagi menggelak berlakunya sebarang kemalangan ketika majlis pelancaran yang diadakan di Stadium Nasional itu, perahu sepanjang 8.5 meter tersebut diiringi oleh pihak polis sepanjang perjalanan.
Ketika majlis pelancaran perahu tersebut, Marczewski terpaksa mengharungi sungai sehingga paras pinggang bagi melepaskan perahu yang diberi nama Slawka iaitu sempena nama mediang ibunya.
“Ia direka dengan bentuk yang menarik dan kukuh. Ia juga mempunyai layar sebesar 12 meter persegi yang dipasang pada tiang setinggi lima meter,” katanya.
Dia juga menggunakan tiga jenis kayu berbeza bagi membina perahu tersebut iaitu akasia untuk bingkai, oak (busur) dan pokok tirus (badan perahu).
“Kami membina perahu ini berdasarkan reka bentuk perahu tradisonal yang digunakan untuk mengangkut barang dan memancing di Sungai Vistula.
“Pychowka yang lebih besar pula digunakan untuk mengorek pasir atau mengangkut barang dari Krakow ke Gdansk,” ujar Marczewski.
Kereta api
Sejak abad ke-17, Pychowka sering digunakan untuk mengangkut gandum, kentang dan tekstil namun, kewujudan landasan kereta api pada lewat abad ke-19 menyebabkan jalan air tidak lagi digunakan.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai Sungai Vistula, Marczewski menganggap ia sebagai ganas dan sentiasa berubah-ubah.
Ujarnya, kawasan yang dalam boleh menjadi cetek dari hari ke hari dan pulau dipenuhi pasir boleh lenyap selepas beberapa musim.
Bagaimanapun, Marczewski tidak hanya mahu menyelusuri Sungai Vistula tetapi dia bercita-cita belayar di Sungai Bug yang terletak antara sempadan Poland dan Ukraine serta Sungai Order berhampiran Jerman.

Tiga jenis kayu berbeza digunakan untuk membuat perahu Pychowka.


Disamping itu, dia dan pembantunya, Lukasz Perkowski berazam untuk belayar pada Festival de Loire.
Festival yang berlangsung di Orleans, Perancis itu merupakan tempat peminat-peminat perahu layar di seluruh Eropah berkumpul.
Perkowski yang merupakan pereka seramik itu menggunakan kedai seorang tukang kayu yang terletak berhampiran Sungai Vistula untuk membina Pychowka.
Dia mengasah kemahirannya membina Pychowka ketika membaiki perahu-perahu kecil yang dirampas oleh pihak polis daripada pemburu haram.
“Perahu ini mempunyai lantai yang rata, jadi ia stabil dan mustahil untuk berlaku sebarang kejadian berbahaya.
“Ciri-ciri ini membolehkan Pychowka melepasi kawasan sungai yang mempunyai pasir atau berbatu dengan mudah,” ujar Perkowski.
Ujarnya, ia juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan perahu ini hanya boleh digerakkan dengan menggunakan kuasa angin.
“Vistula mempunyai reputasi hebat sebagai salah satu sungai berbahaya dan amat digeruni oleh para pelayar.
Tekanan
“Memiliki 1,000 kilometer panjang, sungai yang merentasi gunung Tatra di selatan ke utara delta di Pantai Baltik, Poland itu tidak lagi sesesak seperti dahulu,” ujarnya.
Tambah menarik, kini Pychowska semakin diminati oleh masyarakat yang tinggal di bandar sebagai salah satu cara untuk menghilangkan tekanan.
“Perkara utama yang perlu anda lakukan ialah masuk ke dalam perahu dan gerakkannya ke tengah sungai.
“Anda masih berada di sebuah bandar yang didiami oleh lebih satu juta penduduk, namun ia berbeza sama sekali.
Katanya, pelayar hanya perlu belayar selama lebih satu jam dari bandar Warsaw dan mereka akan mula merasai ketenangan serta kedamaian selepas melihat keindahan alam semula jadi di kawasan sekeliling.
“Ini bermakna, orang ramai kini boleh keluar bercuti pada bila-bila masa yang mereka mahukan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: