Tuesday, October 28, 2014

Inspirasi Halloween 2014



KOSTUM Teenage Mutant Ninja Turtles mendapat permintaan tertinggi tahun ini.


PESTA hantu atau dikenali sebagai malam Halloween akan diraikan sebahagian besar masyarakat dunia, Jumaat ini. Kreativiti berpakaian berserta solekan yang menakutkan menjadi elemen terpenting pada malam tersebut.
Bagaimanapun, kostum hantu menyeramkan seperti puntianak dan zombi dalam radar antarabangsa atau pocong dan toyol di Malaysia agak lapuk untuk diperagakan. Tahun ini, kostum bertemakan karakter animasi dan adi wira global mengungguli senarai kostum Halloween popular 2014.
Seperti yang dijangka, kanak-kanak perempuan masih memilih kostum watak Ratu Salji (Elsa) daripada filem animasi Frozen. Karya agung terbitan Disney yang ditayangkan pada November tahun lalu itu masih meraih populariti luar biasa termasuk penjualan kostum karakter-karakternya.
Berdasarkan laporan Persekutuan Peruncitan Kebangsaan (NRF) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, kira-kira 2.6 juta kanak-kanak me­rancang untuk muncul dalam kostum Elsa, Puteri Anna dan Olaf Si Orang Salji pada malam Halloween.
Trend baharu
Laporan hasil gabungan pencari­an tertinggi bagi kostum menerusi Google, Yahoo dan Amazon itu turut menandakan kemunculan trend baharu Halloween yang sebelum ini dipelopori karakter berulang seperti kostum haiwan dan pari-pari.
Kreativiti menjadi keutamaan apabila membabitkan pemilihan kos­tum. Ketrampilan seperti hantu bukan lagi idea segar pada malam Halloween. Budaya pop, ahli politik dan peradaban sejarah menjadi inspirasi kepada individu dalam bereksperimen bagi menghasilkan kostum Halloween yang menggabung ciri fantasi dan realisme luar biasa.
Begitupun, kostum adi wira kekal mendominasi cita rasa orang dewasa dan kanak-kanak untuk digayakan sempena Halloween. Kostum Teenage Mutant Ninja Turtles kembali memikat perhatian ramai selepas kali terakhir ia meledak fenomena pada tahun 2004.
Power Rangers yang popular sekitar era 1990-an pula dilihat menjadi pilihan segelintir orang dewasa yang membesar dengan kartun itu.
Dalam segmen kostum wanita, selain watak puteri dongeng bergaun cantik, karakter fiksyen seperti Maleficent, Katniss Everdeen daripada filem berantai The Hunger Games, Cleopatra dan Poison Ivy turut menjadi pilihan. Sang jejaka pula tidak lari daripada kostum lanun, Batman dan Captain America.
Tampil elegan

KOSTUM filem animasi Frozen menjadi pilihan ramai untuk malam Halloween.


Namun menariknya, tahun ini fi­lem lakonan Leonardo DiCaprio, The Great Gatsby turut memasuki senarai kostum popular Halloween. Inspirasi fesyen 1920-an daripada karya nove­lis, F. Scott Fitzgerald yang diterbitkan pada tahun 1925 itu membantu kreativiti masyarakat moden untuk tampil elegan pada malam Hal­loween.
Barisan tuksedo vintaj digayakan watak Jay Gatsby (DiCaprio) dan dres anggun bersama skaf serta aksesori kepala yang dipakai Daisy Buchanan lakonan Carey Mulligan amat secocok untuk disarungkan pasa­ngan romantis.
Mereka yang agak nakal dan berjiwa gila-gila pula boleh memilih karakter seram yang sedikit ekstrem.
Jika berani, cuba tranformasi diri menjadi patung Annabelle, Emily Rose selepas dirasuk dalam filem The Exorcism of Emily Rose, Chucky si patung bernyawa daripada francais filem Child’s Play atau Esther, karakter dalam filem Orphan.
Orang Malaysia pula boleh memi­lih bermacam karakter unik terma­suk Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah, Bawang Putih dan Bawang Merah, Upin dan Ipin (kanak-kanak) serta Meriam lakonan Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: