Wednesday, October 29, 2014

Rezeki murah dengan Hyperact – Ronnie


HYPERACT kini dalam rangka promosi album terbaharu mereka, Impian dengan mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe bermula November depan.


Umum mengetahui mengenai konflik dalaman yang dialami oleh kumpulan rock, Hyperact sehingga ada sesetengah pihak yang menyebarkan khabar angin mengenai perpecahan kumpulan yang popular menerusi lagu Hanya Aku itu.
Khabar angin tersebut menjadi semakin serius apabila vokalis kumpulan tersebut, Ronnie baru-baru ini dipercayai telah menandatangani kontrak perjanjian untuk berdiri secara solo sekali gus meninggalkan kumpulannya itu.
Bagaimanapun, khabar angin tersebut masih samar-samar kerana belum ada kata putus daripada vokalis kumpulan tersebut. Enggan berteka-teki, Kosmo! cuba mendapatkan vokalis bersuara serak-serak basah itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Kosmo!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Ronnie akan meninggalkan kumpulan Hyperact?
RONNIE: Khabar angin tersebut sama sekali tidak benar. Mungkin ia merupakan salah faham. Saya tidak pernah terlintas untuk meninggalkan kumpulan ini apatah lagi untuk menandatangani kontrak untuk berdiri secara solo dalam industri seni. Saya masih memerlukan Hyperact dan sehingga kini, belum ada khabar mengenai mana-mana anggota dalam kumpulan kami mahu tarik diri.
Anda selalu dilihat menyampaikan lagu secara solo di beberapa buah majlis undangan nyanyian. Adakah itu menjadi salah satu penyebab peminat merasakan anda ingin tampil sebagai penyanyi solo?
Saya menyanyi secara solo disebabkan permintaan pihak pengurusan ataupun pihak penganjur. Di dalam kontrak juga membenarkan saya melakukan persembahan solo tanpa anggota Hyperact yang lain. Namun, pada masa yang sama saya tidak pernah melupakan komitmen saya terhadap kumpulan ini. Kami masih lagi menjalankan latihan seperti dahulu dan saya sangat menghargai persahabatan antara kami kerana kami telah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi.
Adakah anda akan menghalang sekiranya salah seorang anggota Hyperact mahu mengundur diri?
Saya tidak pernah menghalang sesiapa sahaja untuk pergi meninggalkan kumpulan ini. Saya tidak tahu apa yang mereka fikirkan, jika mereka hendak pergi, saya tidak akan menghalang. Namun, apa yang menjadi kepastian ialah saya tidak akan meninggalkan kumpulan ini buat masa sekarang.
Anda tidak ingin meninggalkan kumpulan ini. Adakah anda merasakan tidak yakin untuk berdiri secara solo?
Sebelum ini saya pernah berdiri dalam industri seni sebagai seorang penyanyi solo. Namun, impaknya tidaklah sehebat saya bersama kumpulan ini. Disebabkan hal tersebutlah saya merasakan lebih baik saya kekal bersama kumpulan ini dan bersama-sama memperjuangkan aliran muzik kami.
Mungkin anda boleh ceritakan sedikit mengenai perkembangan terbaharu kalian?
Kami kini masih sibuk dengan promosi album terbaharu yang berjudul Impian. Alhamdulillah, sejak dilancarkan pada bulan Jun lalu maklum balas daripada peminat amat memberangsangkan. Pada masa yang sama, kami juga kini sibuk dengan persiapan konsert jelajah Hyperact ke seluruh negara bermula di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 2 November ini. Persembahan yang akan bermula pukul 10 malam tersebut akan berlangsung selama satu setengah jam dengan bayaran masuk sebanyak RM50.
Bercerita mengenai pengumuman pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21). Adakah anda berpuas hati dengan satu pencalonan sahaja pada AIM kali ini?
Kami telah tercalon sebagai finalis dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Kayangan. Tidak ada sedikitpun rasa tidak puas hati malah kami bersyukur kerana masih lagi mendapat kepercayaan daripada pihak juri. Ia juga menjadi satu penanda aras baharu bagi kami untuk terus maju dalam industri muzik pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: