Thursday, October 30, 2014

Nurul Wahab Kecil Hati Kandungannya Ditegur


Nurul akui lebih sensitif ketika hamil anak kedua.
PETALING JAYA: Penyanyi Nurul Wahab memberitahu perasaannya mudah tergores dan emosi terganggu sejak hamil anak kedua hasil perkahwinannya bersama Eric Daniel Depp, 49.

Nurul atau nama sebenarnya, Noorul Huda Abdul Wahab, 37, berkata, dia mudah terasa hati dengan kata-kata terutama apabila menyentuh soal kandungannya yang semakin membesar.

"Kandungan sudah masuk enam bulan dan memang saya rasa kali ini saya cepat sangat terasa hati terutamanya dengan orang yang rapat di sekeliling saya.

"Mereka menegur tentang perkara-perkara yang sememangnya dilalui oleh seorang ibu mengandung apabila ditegur berkaitan perut yang kelihatan membesar atau sukar untuk melahirkan jika bayi terlalu besar.

"Kata-kata itu sangat menguris hati bukan sahaja pada saya tetapi pada ibu-ibu mengandung yang lain. Kalau boleh janganlah cakap perkara begitu kepada orang yang sedang mengandung," ujarnya kepada mStar Online.

Nurul kecewa apabila segelintir rakan-rakannya tidak memahami perkara tersebut dan menjadikan ia sebagai satu gurauan.

Bagaimanapun, bagi mengatasi masalah tersebut, Nurul berkata, dia sentiasa memerlukan seorang rakan yang mendengar luahan perasaannya bagi menghilangkan tekanan.

Dia juga tidak boleh tinggal bersendirian di rumah berikutan sering melayan emosi terutama ketika suami bekerja.

"Biasanya jika berkecil hati saya akan luahkan rasa itu kepada orang lain supaya perasaan sedih itu hilang. Saya tidak boleh duduk sendirian di rumah sebab saya akan fikir perkara-perkara yang emosi," ujarnya kepada mStar Online.

Nurul bersama Eric dan anaknya Zachary.

Sementara itu, Nurul berkata, setakat ini dia masih aktif dengan aktiviti seni termasuk mengambil tawaran-tawaran untuk persembahan nyanyian.

Malah, dia juga bakal menganjurkan program jualan yang diberi nama An Intimate Bazaar of Health & Fashion bersama beberapa rakan artis pada 9 November depan di Regency Tower Apartment, dekat sini.

"Saya mungkin akan berehat pada bulan Disember nanti, sekarang sibuk lagi dengan aktiviti seni dan persembahan nyanyian.

"Pada 9 November depan juga saya akan anjurkan sebuah program jualan bersama beberapa artis seperti Dynaz Mokhtar, Daphne Iking dan Ning Baizura," katanya.

Nurul dan Eric yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis telah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2012 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Zachary Depp, berusia setahun.

Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil perkahwinan dengan suami pertama, komposer, Ajai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: