Sunday, October 26, 2014

Dendam orang mati: Seram, mendebarkan


  • Dendam orang mati: Seram, mendebarkan

SEJAK dahulu lagi, terdapat bermacam-macam jenis kepercayaan karut, mitos dan legenda yang dipegang atas alasan kepercayaan dari nenek moyang.

Ada di antaranya adalah kepercayaan terhadap angka 4 (di Asia) dan 13 (di Barat) yang dianggap sebagai angka yang membawa malapetaka.

Sebagai contoh banyak bangunan di negara-negara di Asia Timur dan Asia Tenggara, mengelak menggunakan tingkat 4 tetapi dinamakan sebagai tingkat 3A dan sebagainya.

Mengikut kepercayaan sesetengah orang Cina di Malaysia, nombor 4 adalah angka yang harus dihindari kerana hampir dengan sebutan yang membawa maksud “mati”.

Kepercayaan sebegini dinamakan sebagai “Tetraphobia” dan diangkat menjadi tema di dalam filem terbaru terbitan KRU Studios yang diberi judul “Dendam Orang M4ti”.

Jason Chong (pengarah filem Belukar dan Ular) telah diberikan kepercayaan bagi menggarap filem ke-20 keluaran Kumpulan Syarikat KRU ini yang juga merupakan filem seram kedua terbitan KRU Studios (selepas Karak).

Dengan lakonan mantap Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Miera Liyana dan ramai lagi, “Dendam Orang M4ti” menjanjikan satu kelainan bagi genre filem seram yang pasti membuat penonton rasa berdebar dari babak ke babak sehingga ke akhir.

Misteri gangguan tingkat empat

Seram dan mendebarkan. Itu gambaran yang dapat penulis berikan mengenai filem terbaru terbitan KRU, Dendam Orang Mati atau dieja dengan “Dendam Orang M4ti”.

Filem yang mengisahkan Lena tersedar dari koma selama dua tahun dan hilang ingatan akibat kemalangan.

Keadaan bertambah mengelirukan apabila diperkenalkan kepada isteri baru Shahrul, Min di flat lamanya di tingkat 4 yang kini menjadi tingkat 3A.

Lena mula mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku flat tersebut dan mula berdepan dengan kejadian-kejadian aneh yang menyeramkan.

Gangguan seram ini memberikan lebih tekanan terhadap Lena yang terasa diabaikan oleh suaminya, Shahrul yang berbelah bahagi antara isteri mudanya dan Lena.

Dengan mengangkat tema kepercayaan kaum Cina terhadap angka empat, tidak keterlaluan untuk mengatakan, filem Dendam Orang Mati berjaya digarap lebih seram dan mendebarkan daripada beberapa filem antarabangsa.

Pendek kata, dari mula lagi, Jason telah berjaya 'menangkap' perhatian penonton dengan misteri seorang budak kecil yang akhirnya memberi ketakutan kepada Lena ketika dia terjaga dari koma.

Menariknya mengenai filem ini, ia digarap dengan penuh tanda tanya dari awal filem hingga membuatkan anda terfikir, siapa kanak-kanak tersebut? Mengapa Lena koma? Apa kaitan Lena dengan flat tersebut? Siapa Sharul dan sebagainya.

Persoalan demi persoalan yang ditimbulkan pada permulaan cerita inilah yang akan membuatkan anda berasa teruja untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya dan seterusnya.

Penyusunan plot yang cukup teratur menyebabkan ia memberi satu dimensi baru terhadap filem seram di Malaysia.


Lisa 'hidupkan' Lena

Selain dari jalan cerita yang mantap, antara faktor lain yang menarik perhatian penulis adalah kelainan dalam lakonan aktres cantik, Lisa Surihani.

Jika selama ini Lisa dilihat lebih selesa menjayakan watak lembut, antagonis, kali ini, Lisa keluar dari zon selesanya dengan membawa watak psiko.

Tanpa solekan, berjalan tempang dan diselubungi pelbagai misteri dan tanda tanya, Lisa berjaya 'menghidupkan' watak Lena dengan begitu baik sehingga membuatkan orang simpati terhadap dirinya pada awal.

Namun misteri-misteri yang dihadapi dan siapa Lena yang sebenarnya hanya diketahui pada pertengahan filem sehingga membuatkan anda terfikir, siapa yang jahat sebenarnya?

Selain itu, lakonan Miera sebagai Min juga tidak perlu dipandang enteng. Mengemudikan watak antagonis dengan baik, percubaan Miera sebagai seorang isteri yang menggoda berjaya menarik perhatian penonton, biarpun Miera sendiri pertama kali membawakan watak
sebagai isteri.

Manakala Fizz pula, pada pandangan penulis, lakonannya seperti biasa, tidak ada kekurangan, namun tidak ada pula sebarang kejutan.

Pendek kata, beri apa sahaja watak pada Fizz, dia berjaya membawanya dengan baik.


Kekurangan sudut teknikal


Dari sudut teknikalnya pula, biarpun cantik dari sudut sinematografi dan pencahayaan yang cukup sesuai dengan mood seram, namun kekurangan dapat dilihat jelas dari sudut teknik janaan komputer (CGI).

Apatah lagi, dengan filem-filem hebat KRU sebelum ini yang pernah dihasilkan dengan CGI, sentuhan CGI dalam filem Dendam Orang Mati ini agak mengecewakan.

Kekurangan ini sekali gus menjejaskan sedikit mood tatkala melihat roh orang mati dan perubahan suasana di tingkat empat yang menggambarkan betapa misteri, dan penuh dengan dendam.

Namun, pujian boleh diberikan kepada krew terlibat dan Jason sendiri yang berjaya membina set tingkat empat yang sebenarnya di bina dalam sebuah gudang.

Biarpun nampak kurang realistik, namun tetap berjaya memberi satu kelainan tanpa perlu berada di lokasi sebenar.

Jadi bagi anda yang ingin mengetahui siapa Lena dan apakah jawapan kepada soalan-soalan yang menghantui Lena, jangan lupa menyaksikan filem Dendam Orang Mati yang sudah bermula sejak 23 Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: