Thursday, October 30, 2014

Jiwa jantan Farid dan Bront

ANAK JANTAN yang banyak menjalani penggambaran di wilayah Sadao, Thailand memasuki pagawam di seluruh negara bermula hari ini.


FARID KAMIL dan Bront Palarae, dua aktor yang sering menjadi sandaran kepada retorik sesebuah filem. Populariti, kredibiliti lakonan dan kuasa tarikan milik dua nama itu merupakan pakej dan tuntutan yang harus ada dalam sesebuah karya komersial. Berikan mereka apa sahaja karakter dan hasil yang dipersembahkan, jarang mengecewakan.
Watak hero sudah menjadi makanan buat Farid dan Bront. Watak jahat, ganas dan dibenci juga permainan mudah buat mereka. Tidak hanya karakter berat dalam filem-filem drama, aksi atau romantis, waima Bront sendiri pernah diangkat sebagai Pelakon Komedi Terbaik dalam Anugerah Lawak Warna 2014 menerusi filem Sejoli.
Lantas apa lagi janji Farid dan Bront menerusi filem terbaharu mereka, Anak Jantan yang mula menyerang pawagam hari ini. Berseteru dan bertentangan personaliti, dua pelakon itu ternyata protagonis dan antagonis kacak dalam filem yang meminjam kisah kegiatan pengganas di negara jiran sebagai penggerak plot.
Banyak bermain konsep imbas kembali, filem arahan Faizul A. Rashid itu menjalani penggambaran kebanyakannya di wilayah Sadao, Thailand. Sesuai dengan kepakaran yang ada dalam industri perfileman di Thailand, Anak Jantan sendiri banyak diperkuatkan dengan aksi pertarungan. Filem cetusan idea oleh Latiff Mohaideen yang bertindak selaku penerbit itu turut memuatkan isu tanggungjawab seseorang lelaki sejati dalam mempertahankan maruah dan keselamatan orang tersayang.
Atas permintaan Farid dan Bront, Anak Jantan menjanjikan suatu kelainan apabila kesemua aksi lagak ngeri dalam filem dilakukan sendiri oleh mereka dan kebanyakan pelakon lain. Hadir pada majlis pratonton filem itu di Mutiara Damansara, Damansara, baru-baru ini, Kosmo! mendekati kedua-dua pelakon tinggi lampai tersebut bagi menyingkap perihal penjiwaan dan peranan karakter mereka dalam naskhah Anak Jantan.
Farid teruja
Walaupun cukup terkenal dengan keberkesanan pembawakan watak utama dalam filem-filemnya sebelum ini, Farid Kamil, 33, tetap tidak mengambil mudah peranannya dalam menjayakan perjalanan filem Anak Jantan.
Ilmu dan pengalaman aksi lagak ngeri yang pernah ditimba ketika menuntut di Australia Stunt Academy sebelum ini digunakan sebaik mungkin oleh Farid dalam menterjemahkan perjalanan karakternya dengan baik.
“Selepas sahaja selesai penggambaran, sememangnya saya sendiri mengakui teruja dan tidak sabar untuk menonton filem ini. Bukan apa, cuma saya tidak sabar mahu menonton perjalanan sebuah filem yang penuh dengan aksi-aksi berat. Tambahan pula, semua aksi itu dilakukan sendiri oleh saya dan Bront.
“Jika diikutkan, perasaan suspen itu sangat tinggi dalam jiwa saya kerana penggambaran filem ini sangat menguji mental dan fizikal sebagai seorang pelakon. Babak-babak aksi lagak ngeri dalam filem ini sangat banyak. Ini termasuklah babak berlawan yang memerlukan tenaga yang sangat banyak.
“Dari segi aksi, apa yang saya boleh katakan di sini adalah, secara keseluruhannya memang saya berpuas hati dan ternyata filem ini mempunyai kelainannya dengan filem-filem saya yang lain,” ujar Farid yang sekali lagi digandingkan dengan pelakon cantik Nora danish dalam filem berkenaan.
Retak rusuk kiri
Mengakui melakonkan aksi lagak ngeri tidak akan terlepas daripada bahana kemalangan kecil atau besar, pelakon yang pernah membintangi filem Anak Halal itu menambah, kecelakaan yang menimpanya semasa penggambaran merupakan salah satu cabaran yang perlu diterimanya sebagai anak seni.
“Antara cabaran yang saya perlu tempuh ialah pada ketika melakukan satu babak dalam filem ini, saya mengalami keretakan tulang rusuk kiri. Insiden ini berlaku ketika penggambaran diadakan hujung tahun 2012. Ketika itu, tarikh pernikahan saya begitu hampir.
“Jika diikutkan, banyak lagi cabaran dalam filem ini yang sukar. Contohnya, dalam satu babak melibatkan letupan bom. Perasaan takut memang terasa kerana letupan itu adalah letupan sebenar,” ujar suami kepada pelakon Diana Danielle itu dengan bersungguh.
Bront puas hati
Pembawaan wataknya yang begitu menjadi bagi mana-mana filem atau drama lakonannya membuatkan kredibiliti Bront Palarae atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 35, cukup disegani.
Diketahui umum sebagai aktor Melayu yang fasih berbahasa Siam, itu juga merupakan satu kelebihan yang ada kepada pelakon yang bakal muncul dengan sebuah lagi filem baharu yang berjudul Terbaik Dari Langit itu.
Berpeluang bertemu dengan pelakon tinggi lampai yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu, memberi peluang yang lebih khusus untuk berkongsi perasaan serta pandangannya mengenai filem Anak Jantan.
“Sejujurnya, selepas menonton filem ini, saya sangat berpuas hati. Pertamanya, sebab mesej yang terkandung dalam filem ini sampai kepada penonton dengan baik. Mesej kasih sayang dan pengorbanan seorang lelaki dalam berjuang mempertahankan haknya. Kedua, saya juga sangat berpuas hati dengan keberhasilannya apabila semua jalan cerita yang kami usahakan sebelum ini berjaya dinukilkan menjadi satu bentuk penceritaan yang penuh emosi.
“Sejujurnya, melakonkan filem yang sarat dengan aksi bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi, saya akui sangat seronok ketika berlakon filem ini. Bergandingan pula dengan Farid, jadi segala kerjasama berjalan lancar,” ujarnya tersenyum menutup bicara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: