SUDAH hampir dua dekad berkecimpung dalam bidang muzik, biduanita negara, Datuk Siti Nurhaliza membuktikan beliau masih menduduki carta penyanyi nombor satu negara apabila mendapat lapan pencalonan pada Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) yang akan diadakan pada 6 Disember depan.
Dalam satu pengumuman finalis yang diadakan oleh penganjur AIM21, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) di Hotel Istana baru-baru ini, sebanyak 17 kategori telah dipertandingkan dan penyanyi tersohor negara itu mendominasi separuh daripada kategori yang dipertandingkan menerusi album terbaharunya, Fragmen.
Siti dicalonkan dalam kategori Kulit Album Terbaik (Fragmen), Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu – Wanita (Lebih Indah), Rakaman Album Terbaik (Fragmen), Lagu Pop Terbaik (Jaga Dia Untukku) dan Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu (Lebih Indah).
Menariknya pada tahun ini, penyanyi tersebut juga turut tercalon dalam kategori Pop Etnik menerusi lagu Popaleh Weh dan bersaing bersama empat penyanyi lain termasuk Noraniza Idris, Azmir Arif, Fauziah Suhaili dan Ahmad Fedtri Yahya.
Selain Siti, penyanyi hip-hop Joe Flizzow dilihat turut mendominasi pencalonan apabila mendapat enam pencalonan pada AIM21 menerusi album solonya, Havoc dan kolaborasi bersama kumpulan Sleeq, Ila Damiaa dan SonaOne.
Havoc juga turut dicalonkan dalam kategori Video Muzik Terbaik menerusi lagu Apa Khabar dan ia turut menerima pencalonan dalam Lagu Hip Hop Terbaik.
Lagu Havoc dan Tepi Sikit kolaborasi bersama Sleeq turut dicalonkan dalam kategori sama. Joe juga turut mendapat pencalonan dalam kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik menerusi lagu duet bersama Illa Damiaa iaitu Di Sebalik.
Selain itu, bagi kategori lain termasuk Album Terbaik, calon yang mencuba nasib ialah kumpulan Wings melalui album terbaharu mereka berjudul Menakluk Kosmos!, Salamiah Hassan (Aku) dan Stacy (#1).
Bagi kategori Artis Baharu Terbaik, lima artis yang tercalon adalah Azmarul Azuan, Fakhrul Razi, Poova, Russell Curtis Project dan SonaOne. SonaOne turut dicalonkan dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik iaitu No More. Antara calon lain yang bertanding adalah Liza Hanim, Akim Ahmad, Forteen, Azhael, Noraniza Idris, Nora dan Spider.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim memberitahu, tahun ini menyaksikan peningkatan pencalonan sebanyak 20 peratus atau 670 calon yang menghantar penyertaan berbanding hanya 564 pencalonan pada AIM sebelumnya.
“Peningkatan ini disifatkan sebagai cukup baik kerana ia membuktikan industri muzik kita masih berkembang serta anak seni masih mempercayai kredibiliti penganugerahan ini,” jelasnya.
Rosmin menambah, pihaknya melantik 67 orang juri profesional untuk menilai dan memberi markah kepada semua pencalonan untuk 20 kategori dipertandingkan.
Antara juri yang terlibat dalam pemilihan calon ialah Datuk Adnan Abu Hassan, Acis, Aubrey Suwito, Helen Yap, Joe Wings dan Sharon Paul.
AIM21 dijadualkan berlansung pada 6 Disember depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: