Wednesday, October 29, 2014

Gabungan idea Skuad Terfaktab

Sebahagian daripada penulis Skuad Terfaktab memegang buku Do-It yang diterbitkan hasil karya penulisan mereka di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


BERMULA daripada sebuah laman blog, terfaktab.blogspot.com, Terfaktab Media melebarkan sayap dalam industri penerbitan buku sejak dua tahun lalu. Himpunan cerpen dan puisi hasil nukilan penulis tempatan dalam blog tersebut telah dibukukan menerusi judul Kitab Terfaktab selepas mendapat permintaan hangat daripada pengikut dan pembaca.
Terfaktab Media juga merekrut pasukan penulis khas yang diberi nama Skuad Terfaktab bagi menghasilkan karya penulisan untuk diterbitkan di bawah label tersebut. Skuad Terfaktab terdiri daripada 33 orang penulis yang telah menyumbangkan karya penulisan cerpen, puisi dan novel dalam lima buah buku sebelum ini.
Antara karya yang dihasilkan daripada kolaborasi penulis Skuad Terfaktab ialah Kitab Terfaktab Nakal Tapi Halal, Kitab Terfaktab Sarkastik Cinta, Kitab Terfaktab Konotasi Rasa dan Korban Cinta Remaja.
Terbaharu, Skuad Terfaktab telah bergabung sekali lagi untuk menerbitkan sebuah antologi 13 cerpen yang berjudul, Do-It. Sebelum ini, Skuad Terfaktab hanya mengetengahkan tema cinta sesama manusia dalam karya mereka. Namun, naskhah Do-It tampil dengan tema yang berkisar mengenai aspek kewangan dalam kalangan belia.
Ketua Editor Terfaktab Media, Syazrul Aqram Iman Sulaiman, 27, memberitahu, seramai 13 orang penulis Skuad Terfaktab dipilih untuk menyumbangkan karya mereka dalam buku Do-It.
Jelasnya, Do-It merupakan salah satu cara Terfaktab Media berkongsi maklumat mengenai masalah kewangan, skandal pinjaman, penipuan insurans dan kecurian wang kebiasaannya berlaku dalam kalangan belia yang dinukilkan oleh penulis sebagai pengajaran kepada pembaca.
"Idea asal konsep kewangan dicetuskan oleh Pegawai Pengurusan Kewangan Terfaktab Media iaitu Reeney Zulkifli. Selain itu, kesemua penulis Skuad Terfaktab terdiri daripada golongan belia. Mereka mempunyai kenalan, sahabat handai dan ahli keluarga yang merupakan golongan belia tetapi mempunyai pelbagai masalah kewangan.
"Kesemua cerpen yang ditulis dalam Do-It merupakan pengalaman penulis sendiri apabila mendengar masalah kewangan daripada kenalan mereka. Berdasarkan cerpen itu, pembaca dapat menilai bahawa wang merupakan punca dalam pelbagai permasalahan sekiranya ia tidak diurus dengan betul," ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Fizik Tulen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu.
Kategori
Dari aspek lain, Do-It juga memberi panduan mengenai kaedah pengurusan wang mengikut tiga kategori taraf hidup belia iaitu mereka yang mempunyai masalah kewangan, sedang meningkatkan sumber pendapatan dan golongan berada.
Kaedah penulisan yang diterjemahkan oleh setiap penulis dalam setiap cerpen amat santai dan bersahaja. Penulis juga menyampaikan mesej pengurusan kewangan seperti seorang rakan menasihati dan bercerita pengalaman mereka kepada kenalan rapat.
Antara cerpen yang dimuatkan dalam Do-It ialah Journey Jamal hasil nukilan Dimadimana, Zuriat Jutaan & FFL (M. Faiz Syahmi), Insurans (Azraie Mohd.), Kerana 25,000.00 (Amirul Idham), Kesayangan Mama (Lord Zara) dan Manpurse (Ain Nadhirah).
Penulis juga menekankan banyak senario baik dan buruk perihal kewangan dalam kalangan belia seperti rasuah, kaedah mengumpul wang untuk berkahwin, prosedur sekiranya beg duit dicuri serta duit menjadi punca seseorang lupa niat asal mereka dalam karya-karya itu.
Jika dilihat pada tajuknya , Do-It seakan-akan sebuah buku motivasi kerana mesejnya jelas bermaksud lakukan apa sahaja dalam bahasa Melayu. Namun, pada hakikatnya, sebutan Do-It bersamaan dengan istilah duit dan ia selari dengan konsep buku tersebut. Idea penghasilan kulit buku itu juga merupakan konsep minimalis pertama dalam karya-karya Skuad Terfaktab.
Tambah Syazrul Aqram, penulis juga mengatur emosi pembaca dengan menerapkan elemen sedih, kelakar, serius dan anti-klimaks sehingga ke akhir setiap karya mereka.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: