DUKA yang terpalit dalam hati Remy Ishak sememangnya tidak boleh dibilang dengan jari.
Sarat dengan kekecewaan terbesar dalam hidup, jejaka itu akhirnya membawa diri sejauh beribu-ribu kilometer ke bumi Sarajevo.
Dalam hati yang tidak keruan, tidak pernah sekali pun terdetik di hati kecil Remy bahawa dia akan bertemu cinta baharu di ibu negara Bosnia-Herzegovina itu.
Keletah comel dan misteri sikap yang dimiliki si gadis, Sara Ali akhirnya membuka pintu hati Remy untuk bercinta kembali, namun dia masih terikat dengan memori silam.
Selepas terpaksa pulang semula ke tanah air, kesetiaan hati Remy kemudian diduga apabila kembali ditagih cinta lama. Adakah Remy kembali menyulam kenangan lalu atau kekal bersama cintanya bersama Sara yang ditinggalkan di Sarajevo? Apakah kesudahan kisah cinta mereka?
Segala-galanya bakal terjawab dalam drama bersiri 14 episod Satu Hari yang bakal menemui penonton menerusi slot Ratu di saluran TV9 pada setiap Selasa dan Rabu pukul 8.30 malam bermula 2 Disember depan.
Drama arahan Jamal Khan terbitan produksi Primeworks Studio Sdn. Bhd. itu yang buat julung-julung kalinya menggandingkan Remy dan Sara sebagai hero dan heroin di kaca televisyen kini sedang menjalani penggambaran kira-kira tiga minggu di negara yang pernah dilanda peperangan itu.
Bersama Sensasi Bintang, kedua-dua figura itu berkongsi sesuatu mengenai drama berkenaan, selain suka-duka mereka sepanjang bergelar artis.
SENSASI BINTANG: Boleh ceritakan sedikit mengenai watak kalian dalam drama Satu Hari?
REMY ISHAK: Saya membawakan watak Isfahan yang membawa diri ke Sarajevo kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya, Lia (lakonan Rita Rudaini) curang dengan sahabat baiknya sendiri, Moez (Miller Khan) biarpun telah berkahwin selama sembilan tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Puteri. Saya kemudiannya bertemu Sabrina (Sara Ali) di sana sebelum terpaksa pulang semula ke tanah air gara-gara kematian Puteri. Konflik mula timbul apabila Lia kembali menagih cinta saya selepas diceraikan Moez.
SARA ALI: Dalam drama ini, saya merupakan seorang penganalisa air mentah di Sarajevo. Sabrina seorang yang berdikari dan sering merantau ke negara orang kerana ingin mengenali dunia.
Peluang menjejakkan kaki di bumi Sarajevo pastinya sukar dilepaskan. Komen kalian?
REMY ISHAK: Kita semua tahu negara itu pernah bergolak sebelum ini kerana peperangan. Kini, saya mahu menyaksikan sendiri di depan mata berbanding mengetahui sesuatu mengenai negara itu menerusi bahan bacaan. Saya juga ingin berkongsi pengalaman dengan pelakon di sana termasuk bagaimana cara mereka menjalani penggambaran.
SARA ALI: Sudah tentu saya teruja apabila dapat mengetahui bagaimana kehidupan mereka selepas perang. Saya ada membuat sedikit penyelidikan di internet dan apa yang saya tahu, ada tempat yang boleh dilawati dan ada juga tidak.
Nama kalian bukan lagi satu jenama baharu yang perlu diperkenalkan dalam industri. Adakah ia satu tiket untuk berasa selesa?
REMY ISHAK: Saya selalu fokus dan enggan menganggu konsentrasi setiap karakter yang dibawa. Sesi fotografi pun lebih baik beri kepada mereka yang memerlukan. Malas ada yang kata belakang-belakang apabila terpaksa menunggu lama nanti. Bukan maksud saya sesi fotografi tidak penting tetapi banyak hati yang saya kena jaga sebagai Remy Ishak. Saya bukan pentingkan diri sendiri, ini semua rezeki hasil kerja keras selama ini. Jadi apabila sudah ada, saya harus hargai. SARA ALI: Saya jarang ambil dua tawaran dalam satu masa, nanti saya sendiri penat badan, jadi bergantung pada situasi. Selama empat tahun dalam industri, saya sedar bahawa saya perlu lebih matang.
Alang-alang dah berbual, nak tanya sikit. Bukan apa, industri tempatan kini semakin meriah dengan kehadiran pendatang baharu. Apa pandangan anda berdua mengenai situasi ini?
REMY ISHAK: Sejujurnya, saya dah muak dengan pendatang baharu. Majoriti menjadikan lakonan sebagai batu loncatan untuk popular. Harus diingat bahawa industri kita kecil, bila jadi macam ini langsung orang yang betul-betul berbakat tiada tempat. Namun, saya menganggap itu semua hak masing-masing. Cuma satu pesan saya, bersyukurlah kerana segala-galanya lebih mudah sekarang berbanding zaman saya dulu.
SARA ALI: Rezeki masing-masing, saya bukan bersaing dengan orang baharu. Sebaliknya, saya mahu bekerja bersama-sama mereka kerana industri kita bukan besar mana.
Bunyinya macam ada sedikit perasaan kecewa dengan industri kita. Cuba komen sikit.
REMY ISHAK: Produk kita nak pergi seberang pun bukan mudah. Saya bukan nak salahkan sesiapa tetapi inilah yang berlaku sekarang. Ada yang ambil pelakon Filipina yang nak cakap Bahasa Melayu pun tak reti. Senang-senang saja kita bagi orang luar masuk. Kita yang bunuh industri sendiri. Apapun, saya menganggap ini satu cabaran positif.
SARA ALI: Percaturan kini berbeza, kalau nak berjuang macam 10 tahun lepas tidak akan sama. Saya sedih benda macam ini terjadi tetapi tidak boleh marahkan industri. Ramai yang berbakat, namun kenapa nak bising-bising. Sampai satu tahap saya tidak tahu hendak letak diri di mana. Industri muzik kita semakin bersatu tetapi industri filem memenatkan saya. Sepatutnya saya jadi penyanyi sejak dulu. Jadi, saya perlu ada pengaruh untuk mengubah segala-galanya.
Ada sebarang perbezaan mengenai anda berdua sekarang berbanding ketika mula-mula terjun ke dalam industri sebelum ini?
REMY ISHAK: Umur sudah meningkat, kena matanglah. Kalau masih macam umur belasan tahun, nanti tiada orang hormatkan kita. Dah nak 10 tahun dalam industri takkan nak bawa watak sama. Bukan skrip tak bagus tetapi tak sesuai dengan usia, jadi lebih baik beri orang lain. Walaupun watak lebih kurang sama, cara pembawakan berbeza, nak bercerita pun orang lain belum tentu faham. Pelakon tak pernah puas, kalau jadi gengster lima kali pun belum tentu sempurna. Susah nak terangkan benda ini.
SARA ALI: Saya kini berdepan dua kelompok peminat yang berbeza. Jika dulu, pengikut saya di laman Instagram mencecah 90,000, kini bertambah lagi 20,000 pengikut. Saya akui ia penangan drama slot Akasia, Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Peminat dulu mungkin boleh terima saya seadanya, mereka bukan sekadar minat tetapi memahami saya. Kini, saya pernah ditampar seorang mak cik yang cukup menyampah dengan watak saya sebagai Melina dalam drama itu. Ini cabaran baharu buat saya. Saya tidak mahu peminat saya berpuak-puak. Kalau yang lama boleh minat, kenapa yang baharu tidak? Saya tak nak paksa orang suka saya kerana tahu orang perlu masa untuk kenal siapa Sara Ali. Saya mahu mengenali peminat, baru peminat boleh mengenali saya.
Bagaimana pula dengan cinta? Boleh kongsikan sedikit bersama peminat?
REMY ISHAK: Buat masa ini, saya bercinta dengan kerjaya. Saya tak mahu terlalu memikirkan perkara ini. Apabila orang tanya, ia boleh menyebabkan saya terfikir.
SARA ALI: Saya baru berusia 24 tahun, banyak lagi benda yang saya kena fikir. Buat masa sekarang, saya mahu menjaga nama dan reputasi serta tidak terlibat dengan gosip. Ia tanggungjawab saya sama ada mereka percaya atau tidak.
Apa pula projek terbaharu kalian selepas ini?
REMY ISHAK: Ini tahun paling sibuk buat saya kerana terlibat dengan beberapa projek sehingga hujung tahun. Mengenai 2015, ada memang ada tetapi lebih baik saya simpan sendiri dulu. Bila sudah rasmi nanti saya akan umumkan kepada semua. Saya memang seorang yang bekerja keras sampai terlupa bila kali terakhir bercuti gara-gara bekerja tanpa henti.
SARA ALI: Saya tidak tahu. Dulu saya fikir satu-satu apa yang patut saya buat, cuma sekarang saya nak tengok sejauh mana saya boleh pergi. Saya pernah memasang impian untuk ke sekolah filem di luar negara satu ketika dahulu sebelum akhirnya sedar masih banyak yang harus saya lakukan di sini.
Kini saya tengah belajar untuk mengendalikan banyak perkara dan tidak mahu cepat melatah. Permainan kini berbeza buat saya tetapi ini pilihan saya sendiri, jadi kena terima.
Saya kini tengah membiasakan diri dengan solekan, pakaian, kasut dan sebagainya. Ini Sara Ali yang baharu tetapi sekurang-kurangnya saya mahu belajar. Percaya atau tidak, saya sendiri terkejut boleh menyolek wajah saya sendiri sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: