|
SEORANG pemuda, Ahmad Hazuan Hasmi yang lengkap berpakaian seperti seorang pendekar kelihatan begitu khusyuk mengikir dan menajamkan sebilah pisau belati.
Selepas berpuas hati dengan ketajaman pisau tersebut, Ahmad Hazuan, 29, mengeluarkan pula beberapa senjata lain hasil kerja tangannya sendiri seperti parang dan pedang.
Bagaimanapun, senjata yang paling mencuri tumpuan para pelancong adalah keris kerana setiap keris mempunyai perbezaan dari segi saiz, keluk dan pamor.
Meskipun terdapat keris yang tidak memiliki ciri-ciri seperti itu, ia tetap dianggap unik kerana dicipta secara berpasangan bersama sarungnya.
Anak kelahiran dari Kampung Datuk Kayaman, Perlis itu kemudiannya melakukan demonstrasi untuk menguji ketajaman senjata-senjata tersebut dengan menghiris sehelai surat khabar lama hanya dengan satu hirisan.
Selain itu, beliau turut mendemonstrasikan proses-proses membuat keris seperti menempa, membentuk, mengikir dan menyepuh.
Senjata tradisi
Ahmad Hazuan berkata, proses untuk menghasilkan sebilah keris sangat berbeza kerana bergantung kepada saiz, keluk dan pamor. Malah, anggaran masa untuk menghasilkan sebilah keris mungkin memakan masa lebih daripada lapan bulan.
“Pembuatan keris ini bukan satu kerja yang mudah kerana keris ialah sejenis senjata tradisi dan cara pembuatannya pula memerlukan seni.
“Senjata lain seperti pisau dan parang lebih mudah untuk dihasilkan kerana ia merupakan senjata bagi kegunaan harian,” ujarnya yang telah menceburkan diri dalam bidang pembuatan keris selama lapan tahun.
Menurutnya, harga keris berbeza-beza bergantung kepada saiz dan ukiran seninya. Sebilah keris berharga antara RM1,000 hingga RM5,000.
Ahmad Hazuan turut menerima tempahan daripada pelancong dari dalam dan luar negara terutama dari Perancis dan Belanda.
Mengimbas perjalanan karier Ahmad Hazuan, beliau dahulunya merupakan seorang ahli perbankan sebelum menceburkan diri sepenuhnya dalam pembuatan keris pada tahun 2006.
Menurutnya lagi, mengumpul senjata merupakan sebahagian daripada hobinya sejak remaja lagi. Oleh kerana minatnya yang mendalam, beliau sanggup mencari pakar membuat senjata.
Beliau juga berasa bertuah kerana berpeluang mempelajari ilmu pembuatan senjata daripada seorang tok guru yang dikenali sebagai Sahabudin Bakar.
Tambahan pula, beliau tidak hanya belajar membuat keris tetapi lengkap dengan pembuatan hulu dan sarung keris daripada tok gurunya yang berasal dari Perlis.
Empat tahun kemudian, Ahmad Hazuan mula menghasilkan senjata buatan sendiri secara berperingkat bermula dengan parang dan pisau sebelum mempamerkan kemahiran tinggi menghasilkan keris.
Bekas pelajar Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pentadbiran Perniagaan itu kini dianggap sebagai ‘orang pandai besi’ iaitu seseorang yang mahir dalam penghasilan belati.
Setakat ini, antara senjata buatannya terdiri daripada pisau, parang, keris, pedang, sundang, lembing dan tumbuk lada.
Berdasarkan kemahirannya itu, beliau dijemput untuk menunjukkan hasil kerja tangannya buat pertama kali di Muzium Negara bersempena dengan Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia baru-baru ini.
Sejarah
Pameran itu turut mempamerkan artifak-artifak senjata sejak zaman prasejarah sehingga ke zaman moden. Lebih-lebih lagi, pameran tersebut tidak hanya mempamerkan artifak tetapi turut membongkar sejarah dan kegunaan senjata yang digunakan untuk tujuan peperangan.
Senjata-senjata yang dipamerkan dalam pameran itu termasuklah pedang, pistol, meriam serta peralatan pelindungan seperti baju besi, baju wafak dan perisai.
Seorang pengunjung, Ahmad Amir Shahizan berkata, pameran senjata itu tidak hanya menarik perhatian tetapi memberikan pelbagai ilmu yang tidak pernah diperolehnya sebelum ini.
Ilmu pengetahuan
“Kita hanya tahu bahawa senjata lazimnya digunakan untuk tujuan peperangan tetapi banyak lagi kegunaan senjata yang tidak ketahui.
“Muzium merupakan salah satu tempat untuk kita meningkatkan ilmu pengetahuan dan program ini sangat membantu kami untuk berfikir secara lebih rasional,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Ahmad Amir berkata, kehadiran ramai pengunjung terutama yang membawa anak-anak untuk menyaksikan pameran itu merupakan satu langkah yang baik.
“Pendedahan ini sangat baik untuk anak-anak kita supaya mereka tahu tentang kegunaan senjata dan menggunakannya untuk tujuan yang betul,” ujarnya.
Pameran senjata kali ini menghimpunkan lebih daripada 1,000 artifak terpilih daripada Jabatan Muzium Malaysia, Muzium Polis Diraja Malaysia, Muzium Tentera Darat serta muzium-muzium dari luar negara seperti Indonesia, Korea dan United Kingdom.
Antara senjata yang mencuri tumpuan utama pada pameran ini ialah Pedang Al-Ma’thur atau dikenali sebagai pedang milik Rasulullah SAW. Namun, pedang itu hanya replika kerana pedang asal tidak dapat dibawa keluar dari Turki atas sebab-sebab tertentu.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail berkata, Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia itu merupakan pameran yang terbesar pernah diadakan dan menghimpunkan kepelbagaian artifak dari pelbagai muzium.
“Tujuan pameran ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang sejarah senjata dan perkembangan evolusinya,” katanya pada majlis pembukaan pameran bulan September lalu.
Ibrahim berkata, ramai orang beranggapan bahawa senjata ialah sejenis alat pemusnah yang digunakan untuk peperangan semata-mata tetapi mereka juga lupa bahawa senjata merupakan simbol ketamadunan manusia.
“Kini, nilai-nilai kemanusiaan penggunaan senjata sudah hilang, maka pameran ini secara tidak langsung dapat membantu meluaskan pengetahuan pengunjung tentang penggunaan senjata,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: