Saturday, October 18, 2014

Medan anjakan industri motosikal



KOMPLEKS Koelnmesse yang terletak di Cologne, Jerman kembali sunyi pada petang 5 Oktober 2014. Bangunan yang terletak kira-kira 580 kilometer (km) dari bandar Berlin itu menjadi tuan rumah kepada pameran motosikal antarabangsa Intermot edisi 2014.
Intermot adalah sebuah pameran dan program dagangan dwitahunan yang menjadi sebuah platform menemukan ratusan pengeluar motosikal dan para pelabur dari serata dunia di Eropah. Tahun ini menadakan ulang tahun ke-50 penganjuran Intermot.
Acara edisi 2014 berjaya menghimpunkan sebanyak 960 syarikat dari 35 buah negara di ruang pameran seluas 118,000 meter persegi dalam Kompleks Koelnmesse. Inilah medan yang menjadi saksi kepada ketibaan pelbagai model motosikal baharu untuk pasaran dunia.
Antara jenama antarabangsa yang membuat penampilan ialah BMW, Ducati, Honda, Kawasaki, KTM, Suzuki, Kymco, Yamaha, Piaggio, Triumph, Victory, Indians dan Husqvarna.
Di sudut lain, kelihatan beberapa pempamer daripada industri sokongan dan aksesori mengambil bahagian dalam acara kali ini. Antara jenama yang terlibat ialah Daytona, Held, iXS, Nolan, Rukka, Schuberth, Alpha Technik, Rizoma, Ohlins, Akrapovic, Bridgestone, Kabuto, Metzeler, Rev’It dan Yuasa.
Intermot bukannya satu pameran dagangan statik. Ia sebenarnya menawarkan solusi interaktif dengan adanya sebuah tapak aktiviti seluas 70,000 meter persegi yang disediakan khas untuk sesi tunggang uji bagi para pengunjung, pameran modifikasi motosikal dan demonstrasi produk-produk berkaitan industri motosikal.
Pameran itu berjaya merekodkan ketibaan lebih daripada 201,000 pengunjung dari 105 buah negara sepanjang tempoh lima hari penganjurannya.
Daripada jumlah pengunjung itu, 30 peratus adalah komuniti pelabur yang sedang mengintai peluang pelaburan dan perniagaan baharu.
Apa yang menariknya, pameran Intermot kali ini menyaksikan pelancaran lebih 20 buah model motosikal baharu merangkumi pelbagai segmen dalam industri. Setiap ruang pempamer ada sahaja menyediakan kejutan buat para pengunjung.

Ducati Scrambler menjadi antara model popular yang berjaya menarik perhatian peminat dan pengamal media di Intermot 2014.


Himpunan model unik
Di kawasan Kawasaki, peluang yang ada digunakan untuk menayangkan kepakaran dan kehebatan teknologi kejuruteraan Kawasaki Heavy Industries (KHI) menerusi model motosikal Kawasaki Ninja H2R.
Siapa sangka syarikat Jepun itu menzahirkan produksi sebuah superbike dengan padanan teknologi turbin (supercharger) yang mampu mengekstrak tenaga lebih daripada segelintir jentera-jentera perlumbaan MotoGP.
Bukan sekadar hamburan kuasa, KHI juga mempersembahkan kreativiti binaan komponen penutup badan dan fairing daripada material gentian karbon bersama sayap lawi untuk memastikan tayar hadapan Ninja H2R tetap melekat di jalan raya biarpun paras kelajuan tunggangannya mencecah 322km sejam.
Tidak terhenti di situ, KHI juga mendedahkan siri motosikal touring baharu Versys 650 dan 1000 yang bakal menemui para peminatnya tidak lama lagi. Motosikal kembara itu diberi solekan baharu dengan tambahan beberapa inovasi terkini.
Penulis difahamkan, Kawasaki Malaysia akan membawa masuk model Ninja H2R, Versys 650 dan Versys 1000 ke pasaran domestik selewat-lewatnya pada akhir bulan hadapan.
Di sudut berlainan, BMW menyambut ketibaan Kawasaki Ninja H2R dengan senjata terbaharunya iaitu BMW S1000RR edisi 2015.
Motosikal superbike buatan Jerman itu didakwa lebih pantas, berkuasa dan ringan tetapi sarat dengan pelbagai teknologi bantuan tunggangan baharu. Model S1000RR hanya kurang satu kuasa kuda jika dibandingkan dengan Ninja H2R.
Ducati pula menggamit memori tahun 1970-an apabila memperkenalkan siri Scrambler kepada khalayak ramai. Model yang mengimbangi konsep rekaan retro dengan teknologi moden itu memberi fokus kepada elemen ekspresi, fesyen, keupayaan dan warisan Ducati untuk golongan pembeli muda.
Sebanyak empat varian diperkenalkan iatu Ducati Scrambler Icon, Urban Enduro, Full Throttle dan Classic. Ducati Malaysia dijangka membawa masuk salah sebuah varian Scrambler untuk tonton umum tidak lama lagi.

Piaggio tampil dengan beberapa model motosikal unik.


Yamaha Motor muncul tayangan motosikal konsep tiga roda yang dinamakan sebagai 01GEN dan mendakwa jentera itu menawarkan pengalaman tunggangan unik.
Motosikal dengan skema warna biru perak itu mampu meredah pelbagai jenis permukaan bumi dengan tetapan dua mod tunggangan.
Tidak cukup dengan itu, Yamaha Motor memperkenalkan model XJR1300 dan XJR1300 Racer serta jentera street MT-07 edisi Moto Cage.
Selain majlis pengenalan model-model motosikal baharu, Intermot juga mencipta rekod tersendiri apabila mencatat lebih daripada 25,000 sesi tunggang uji dalam tempoh lima hari.
Sesi itu merangkumi pelbagai jenis motosikal untuk kanak-kanak sehingga jentera kembara berkuasa tinggi. Tidak lupa model-model motosikal mesra alam yang menggunakan elektrik sebagai tenaga penggerak.
Rata-rata peserta Intermot 2014 mengakui penganjurannya semakin matang dan memainkan peranan penting untuk menganjakkan industri motosikal global.
Presiden Persatuan Industri Motosikal Jerman, Heiner Faust berkata, Intermot 2014 berjaya menetapkan standard baharu dengan catatan jumlah pengunjung dan pelancaran pelbagai model motosikal baharu.
Turut senada dengan Faust ialah Pengarah Pemasaran Triump Motorcycles Jerman iaitu Lissa Herr. Dia berpendapat, peningkatan jumlah pengunjung antarabangsa mencerminkan pertumbuhan minat dalam industri motosikal dan Intermot itu sendiri.
Bagi Ketua Jualan dan Pemasaran Kawasaki Motors Europe Jerman, Ingolf Zekalle pula, penyertaan Kawasaki dalam pameran kali ini adalah wajar kerana ia membantu memacu jualan motosikal syarikat bagi tahun 2015.
Apa yang menariknya ialah ada pengkritik industri mendakwa Intermot 2014 sudah mampu menggugat populariti Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA di Itali sebagai pameran motosikal nombor satu dunia.
Sejauh mana kebenarannya, nantikan sahaja sejauh mana hebatnya persembahan EICMA 2014 yang dijadualkan berlangsung pada November ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: