![]() |
DARI luar, bangunan berwarna coklat dan kelabu yang tertera tulisan biru Marina Putrajaya hanya kelihatan biasa-biasa sahaja.
Namun, sebaik sahaja melangkah masuk, siapa sangka pihak pengurusan rupa-rupanya menawarkan pelbagai aktiviti dan pakej menarik pada harga murah demi melihat Marina Putrajaya (yang dahulu dikenali sebagai Pusat Maritim) di Presint 5, Putrajaya menjadi tumpuan pelancong apabila bertandang ke pusat pentadbiran kerajaan.
Sesuai dengan taglinenya, Its More Than Just A Marina (Ia lebih daripada Sebuah Marina) keadaannya yang tenang dan berhawa dingin pasti membuatkan sesiapa sahaja yang bertandang ke situ merasa damai apatah lagi ia terletak bersebelahan tasik yang begitu mempesona. Kepada yang datang dengan menaiki kereta, tempat letak kenderaan disediakan. Marina Putrajaya ditubuhkan pada tahun 2008.
Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya Sdn. Bhd., Zaharah Salamat berkata, antara tawaran menarik yang menjadi taruhan pihaknya sebagai produk panas ialah pakej perkahwinan.
Katanya, Marina Putrajaya sentiasa membantu bakal pengantin untuk menjadikan hari bahagia mereka sebagai kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan.
Terdapat tiga jenis taman yang boleh disewa iaitu Laman Indera Kayangan, Indera Sari dan Indera Puri.
“Menjadi trend sekarang ini mengadakan majlis perkahwinan di taman atau dewan. Sehubungan itu, kami menawarkan pakej perkahwinan berkonsep taman di tepi tasik termasuk makanan, kerusi dan meja serta pelbagai lagi berkaitan perkahwinan serendah RM55 seorang.
“Makanan pula boleh dibawa dari luar jika pihak pengantin mahu menggunakan khidmat katering sendiri. Kita juga mempunyai kolam untuk dewasa dan kanak-kanak pada harga antara RM3 dan RM5 satu sesi dan parti persendirian pada harga harga RM150 seorang,” jelasnya ketika ditemui.
Seorang selebriti dan penyanyi kegemaran remaja, Alif Satar telah melangsungkan perkahwinannya di sini dengan pasangannya, Sha Dila Halid pada 20 September lalu. Selain itu tambah Zaharah, Marina Putrajaya juga menawarkan pakej bulanan bagi mereka yang berminat untuk ke gimnasium, sauna, snuker dan pool serta squash hanya RM150 berbanding harga asal iaitu RM1,800. Karaoke turut disediakan bagi yang gemar menguji suara.

ZAHARAH (kanan) mengalu-alukan orang ramai yang ingin menggunakan kemudahan di Marina Putrajaya.
Mercu tanda
Bagi yang membawa tiga rakan, mereka boleh mendapatkan khidmat tersebut secara percuma.
Menurut Zaharah, kepada penggemar sukan air, mereka boleh berkayak, kanu, meluncur, menaiki perahu naga, kapal layar, ski dan sebagainya di tasik yang berada bersebelahan bangunan tersebut.
“Kami juga mempunyai tempat untuk pembinaan pasukan (team building) dengan mengadakan modul keselamatan dan keyakinan air merangkumi jurulatih, minuman, makan tengah hari, minum pagi dan sijil pada harga RM85 seorang,” katanya.
Ujar Zaharah, pihaknya juga menyediakan dewan seminar pada harga RM95 seorang termasuk minum pagi dan petang serta makan tengah hari selain pertunjukan air pancut berwarna pada sebelah malamnya. Pertunjukan itu diadakan setiap hari.
Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan Marina Putrajaya sejak awal tahun ini, Zaharah optimis dengan hasratnya untuk menjadikan kompleks tersebut sebagai mercu tanda Putrajaya.
“Pelbagai rancangan lain untuk menarik perhatian orang ramai sedang dibincangkan termasuk menjalinkan kerjasama dengan pihak pengurusan sebuah pusat peranginan untuk membuat taman tema mini bagi merancakkan lagi aktiviti sukan air di sini,” katanya.
Ujar Zaharah, selain gimnasium, pihaknya juga akan mengadakan kelas senamrobik tarian zumba bagi yang ingin menguruskan badan dengan cara yang sihat.

PENYANYI, Alif Satar dan pasangannya, Sha Dila telah melangsungkan majlis resepsi perkahwinan mereka di Marina Putrajaya.
Lokasi ideal
“Kita mahu menjadikan Marina Putrajaya sebagai gerbang pelancongan kerana ia tidak sesak seperti di Kuala Lumpur dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti tidak senonoh seperti bercumbuan.
“Apa yang membezakan kami dengan yang lain ialah pelanggan mendapat layanan kelas pertama sesuai dengan harga yang ditawarkan,” katanya.
Pemandangan tasik yang cantik menjadikan Marina Putrajaya sebagai lokasi yang ideal bagi perlangsungan sesebuah majlis perkahwinan.
Sementara itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Lelaki Seperti Aku, Muhammad Alif Mohd. Satar, 24, atau lebih dikenali sebagai Alif Satar yang melangsungkan majlis resepsi perkahwinannya di Marina Putrajaya, pada bulan September lalu menjelaskan, dia memilih Marina Putrajaya sebagai lokasi majlis resepsinya kerana tertarik dengan keindahan pemandangan tasik Putrajaya itu.
Menurut Alif, Marina Putrajaya merupakan kawasan yang ideal dan strategik kerana persekitarannya yang kondusif untuk tetamu yang datang ke majlis resepsinya.
“Pada awal perancangan, saya bercadang untuk melangsungkan majlis saya di sebuah kawasan yang terbuka tetapi apabila memikirkan keadaan cuaca yang tidak menentu, saya memilih Marina Putrajaya.
“Saya juga mengetahui tentang tempat ini melalui ibu bapa dan mereka mencadangkan supaya melangsungkan majlis resepsi perkahwinan di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Penyanyi yang merupakan suami kepada pasangannya, Sha Dila Halid, 30, mengatakan majlis resepsinya itu berjalan lancar dan dia berasa sangat berpuas hati.
“Majlis saya sangat sederhana dan Marina Putrajaya merupakan satu tempat yang bagus untuk sesiapa yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan.
“Dewan di Marina Putrajaya tidak terlalu besar bahkan tidak terlalu kecil, makanan yang disediakan juga enak dan lokasi juga sangat strategik,” ujarnya lagi.
Alif sempat memberitahu bahawa selain pemandangan tasik yang cantik, Marina Putrajaya juga mempersembahkan pertunjukan air pancut yang berwarna-warni pada waktu malam untuk pasangan pengantin itu.
“Kesemuanya berjalan dengan sempurna dan ia merupakan satu pengalaman indah yang tidak dapat kami lupakan,” ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: