![]() |
SEBELAH tangannya berpaut pada birai perahu. Harun Muhammad mula menyelam, namun mata dan telinga ditumpukan sepenuhnya ketika di dalam air untuk mendengar punca bunyi ikan dari kedalaman laut yang biru itu.
Harun merupakan salah seorang yang masih memiliki kemahiran sebagai pendengar ikan dan mungkin yang terakhir. Namun anak lelakinya, Zuraini, 44, menjadi satu-satunya perantis yang masih aktif mengamal seni tempatan yang hampir pupus itu.
“Apabila kamu mendengar, ia seolah-olah melihat menerusi kaca dan kamu boleh melihat ikan kembung dan sardin,” kata Harun, 68, yang sudah menangkap ikan di perairan Setiu, Terengganu iaitu kawasan pantai timur dan di luar bandar sepanjang hidupnya.
“Bagi kami, hanya ikan gelama (jenis ikan raja) yang dicari. Bagaimanapun, dalam sekumpulan gelama akan ada ikan yang lain tetapi gelama adalah raja ikan.”
Pendengar-pendengar ikan lain telah ramai yang meninggal dunia, bersara atau beralih kepada kaedah moden iaitu teknologi pengesan ikan menyebabkan amalan tradisional itu kian pupus.
Selain itu, faktor tangkapan yang semakin menurun dan kekurangan pembiakan ikan menyebabkan amalan seumpama itu mula dipinggirkan.
Kajian mendedahkan perairan Malaysia telah kehilangan sekitar 92 peratus sumber perikanan antara tahun 1971 hingga 2007 akibat penangkapan ikan yang berlebihan.
“Kamu tidak boleh meniru kaedah kami. Kamu perlu ada kemahiran dan belajar mengenai permukaan air terlebih dahulu sebelum mampu menghayati amalan ini,” kata Harun.
Menurut Harun, ada pemborong memberitahunya, jika dia ke laut, tidak akan ada gelama yang boleh dijual pada harga sehingga 10 kali ganda bagi ikan yang sama saiz.
Dalam kalangan penduduk tempatan, Harun lebih mesra dengan panggilan Pak Harun.

DUA beranak ini Pak Harun (belakang) dan Zuraini menjadikan laut sebagai sumber mata pencarian mereka.
Bunyi ikan
Ditanya mengenai gambaran ketika mendengar bunyi ikan, Pak Harun memberitahu, agak sukar untuk menggambarkan dengan tepat bunyi ikan.
Bagaimanapun dia menjelaskan, bunyinya seperti batu-batu kecil yang jatuh ke dalam air.
“Ikan-ikan itu mempunyai bunyi dan ikan lain, beza pula bunyinya. Apabila seseorang yang baharu dalam bidang ini, mereka tidak boleh membezakan jenis ikan hanya berdasarkan bunyi,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Pak Harun bersama 12 anak buahnya boleh turun ke laut hampir seminggu lamanya, namun mereka tidak lagi mendengar bunyi ikan gelama. Disebabkan itu, ia mengundang keraguan mengenai keupayaan mereka mendengar bunyi ikan se-
perti yang didakwa.
Bagaimanapun, pakar-pakar dalam bidang sonifery (bunyi ikan) me-
nyatakan bahawa pelayar sememangnya telah lama mendengar bunyi ikan paus menerusi badan kapal mereka.
“Penyelam skuba yang kerap menyelam juga tidak dapat mendengar apa-apa kerana mereka bernafas di bawah menggunakan kelengkapan menyelam selain air mengeluarkan bunyi yang dihasilkan oleh gelembung-gelembung udara.
“Bagaimanapun, penyelam yang bebas menggunakan sebarang peralatan atau menyelam menggunakan alat pernafasan yang senyap boleh mendengar dengan lebih baik,” kata ekologi marin yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Rodney Roundtree.
Sementara itu, seorang bekas pendengar bunyi ikan menerangkan terdapat pelbagai teknik mendengar bunyi ikan. Malah, segelintir daripada mereka mendakwa dapat merasakan perubahan pada suhu air.

Kekurangan bekalan ikan di negara ini dipercayai kerana sebahagian besar rakyat di meyakini bahawa ikan merupakan sumber protein yang menyihatkan.- Gambar hiasan
Bagaimanapun pada Pak Harun, ia memerlukan pengalaman yang luas untuk memastikan deria lebih peka dan perlu membuka mata seluas-luasnya untuk mendengar bunyi ikan.
“Selepas beberapa ketika, kamu seolah-olah boleh melihatnya. Meskipun keberadaan ikan itu sangat jauh, kamu boleh dapat rasakan arahnya sekali gus membawa kamu ke sana.
“Apabila kamu telah mendekatinya, kamu boleh mendengar bunyi ikan itu dengan jelas sekali,” ujarnya.
Walaupun dia kelihatan sedikit buncit, berkulit gelap dan sudah beruban, Harun masih kekal ceria dan gembira pada usianya, cekap ketika melompat masuk dan keluar dari perahu untuk mendengar bunyi ikan.
Daratkan ikan
Apabila dia telah menemui lubuk sekumpulan gelama, anak-anak buahnya yang telah mematikan enjin bot akan bergerak ke hadapan lalu menurunkan jaring sambil menguak air di sisi bot supaya kumpulan ikan itu terperangkap dalam jaring.
“Mesti kamu fikir bahawa ikan ini bodoh tetapi ia boleh melihat kamu datang. Apabila ikan mendengar bunyi bot, ia akan melarikan diri. Ini akan memberi ‘amaran’ kepada rakan-rakan ikan lain supaya berenang melarikan diri.
“Mendaratkan ikan yang banyak adalah mudah jika sumber ikan itu banyak,” kata Pak Harun.
Bagaimanapun, selepas berdekad melakukan penangkapan ikan, kini dia terpaksa mendengar sehingga beberapa kali di bawah terik matahari sebelum dapat mengesan coretan lagu gelama.
Faktor pemodenan termasuk pengorekan pasir, akuakultur, kilang-kilang dan nelayan pukat tunda telah mengubah bencah di kawasan Setiu yang kaya dengan sumber. Malang-nya, ekosistem pantai sepanjang 14 kilometer di Laut China Selatan itu kini terancam.
Kerajaan negeri Terengganu telah melakukan permohonan untuk menjadikan kawasan pantai Setiu sebagai Tanah Bencah Setiu, sebuah Taman Negeri dilindungi kerana keunikan ekosistem di kawasan itu yang menjadi habitat populasi terakhir tuntung laut.
Bagi Pak Harun pula, tangkapan semakin hari semakin tidak menentu dengan purata kasar kira-kira RM2,000 seminggu, hanya sedikit yang tinggal selepas ditolak bayaran untuk kru kapal, bahan api, penyelenggaraan dan kos lain.
“Setiap tahun, hasil tangkapan semakin berkurangan dan saya pula tidak begitu mahir melakukan kerja lain, jadi saya masih perlu meneruskan pekerjaan ini,” kata anaknya, Zuraini.
Dalam pada itu, Zuraini memberitahu, suatu hari nanti dia akan melatih salah seorang daripada anak-anaknya untuk mewarisi kemahiran mendengar bunyi ikan.
“Saya tidak mahu melihat kemahiran dan amalan ini hilang begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Malaysia merupakan negara yang tinggi mengambil makanan laut di dunia.
Penyelidik Industri Perikanan menyatakan, rakyat Malaysia memakan purata 56.5 kilogram (kg) makanan laut seorang setiap tahun, malah ada yang lebih daripada Jepun. Purata makanan laut global ialah 20kg.
Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Hidupan Liar Malaysia, Datuk Dr. Dionysis Sharma berkata, penangkapan ikan yang berlebihan dijangka mengancam perairan Malaysia dan berisiko untuk menjadikan lautan luas dan tandus.
Organisasi itu juga memberi amaran bahawa perairan Malaysia boleh kehabisan makanan laut menjelang tahun 2048.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: