Sunday, October 12, 2014

Jerami padi jana pendapatan petani


  • Keadaan jerami padi disimpan di sebuah gudang bagi mengekalkan mutu kualiti.Keadaan jerami padi disimpan di sebuah gudang bagi mengekalkan mutu kualiti.

ALOR SETAR – Proses kitaran semula sisa buangan tanaman padi, khususnya jerami padi mampu menangani masalah pencemaran dan gangguan ekologi.

Usaha tersebut lebih bermakna jika jerami padi dikumpulkan dengan menggunakan mekanisme moden untuk penghasilan makanan ternakan, produk kraf tangan, bahan utama dalam penghasilan baja kompos dan sumber pelet bahan bakar.

Penghasilan produk hiliran dan industri bahan bakar daripada jerami padi adalah alternatif baharu untuk mengurangkan masalah pembakaran terbuka.


Potensi sisa buangan

Pemprosesan sisa buangan pertanian daripada industri padi berpotensi untuk berkembang memandangkan pengeluaran sisa buangan daripada industri padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dianggarkan mencecah sehingga 300,000 tan.

Pembangunan aktiviti hiliran kerajaan dan swasta dalam perkara ini dapat membantu menambah pendapatan petani dan penduduk sekitarnya.

Di Malaysia, pemprosesan kelapa sawit menghasilkan lebih 100 juta tan metrik sisa buangan setiap tahun.

Manakala, pembuangan gula daripada tebu pula menghasilkan lebih daripada sejuta tan metrik hampas setahun.

Ini bermakna kitar semula bahan buangan mampu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncingkan.

Menerusi projek-projek baru dan kajian daripada pelbagai pihak, bahan buangan pertanian boleh dijadikan sebagai bahan asas bagi menghasilkan suatu komposisi yang setanding dari segi ciri-ciri mekanikalnya dengan bahan yang sedia ada di pasaran.

Dianggarkan bahawa Malaysia menjana sehingga 80 juta tan sisa buangan setiap tahun daripada ladang kelapa sawit yang sebahagian besarnya adalah tandan kosong kelapa sawit, pelepah, tempurung dan dedak isirung sawit.


Seminar kesedaran

Itu antara topik akan dibincangkan bersama pelbagai agensi kerajaan menerusi seminar From Waste to Wealth yang akan diadakan hari ini dan esok di Hotel Grand Alora, di sini.

Seminar terbabit dianjurkan bersempena mempromosikan program Malaysia Agriculture, Holticulture and Agrotourism Shows (Maha) yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 30 November nanti.

Ia akan menjadi platform pertemuan antara penggiat utama sektor pertanian, pengilangan, pekebun kecil, usahawan, pendidik, pegawai kerajaan, pelajar serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia.

Difahamkan, program itu turut memberi penekanan khusus kepada pengurusan sisa buangan pertanian dan juga biomas (sisa buangan dari sumber asli) seperti kelapa sawit, hampas jagung, jerami padi yang selama ini dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah global.

Objektif penganjuran seminar itu adalah bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat berkenaan pengurusan sisa buangan pertanian.

Selain itu, ia juga bertujuan memartabatkan industri sisa buangan melalui pendedahan dan peluang perniagaan.

Antara topik utama yang bakal dibincangkan pada seminar itu adalah potensi sisa buangan berasaskan pertanian, teknologi terkini pengurusan sisa buangan pertanian, hala tuju Malaysia ke arah memartabatkan industri dan perkongsian pengalaman pengeluaran produk komersial berjaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: