Sunday, October 12, 2014

Pokok berusia 200 tahun masih wujud


  • Abdul Rahim (kanan) menunjukkan pokok asam kumbang.Abdul Rahim (kanan) menunjukkan pokok asam kumbang.

BAGI masyarakat luar, nama Kampung Asam Kumbang di Benut, Pontian sesuatu yang asing, namun bagi penduduk tempatan, kampung yang terletak dalam Mukim Sungai Pinggan ini cukup dikenali kerana berasal dari sebuah pokok iaitu pokok asam kumbang.

Lebih menarik, pokok terbabit yang berusia hampir 200 tahun terletak berhampiran kawasan tanah perkuburan.

Tidak seperti kebanyakan kampung lain, nama asal Kampung Asam Kumbang yang diambil daripada sebuah pokok masih dapat dilihat di kampung tersebut.

Ketua Kampung, Abdul Rahim Laberahimah, 52, berkata, penduduk di sekitar Pontian tidak mengetahui kewujudan pokok asam kumbang tersebut.

Katanya, ramai beranggapan nama Kampung Asam Kumbang diambil hanya sekadar nama yang digunakan generasi terdahulu yang kemudiannya dikekalkan sehingga sekarang.

“Ramai tidak mengetahui kewujudan pokok asam kumbang yang masih hidup di sini dengan ketinggian hampir 300 meter,” katanya.

Menurutnya, pokok tersebut masih mengeluarkan buah asam seperti pokok asam lain, namun kini buah yang dihasilkan tidak banyak.

“Pokok ini cukup besar sehingga memerlukan lima orang untuk memeluk bahagian batang pokok,” katanya.

Katanya, meskipun tidak ada sebarang kajian dilakukan terhadap pokok terbabit, namun beliau percaya pokok tersebut sudah hidup hampir 200 tahun di situ berdasarkan cerita-cerita penduduk lama di situ.

“Dahulu, kawasan ini mempunyai banyak pokok asam kundang atau asam kumbang, namun bilangan semakin berkurangan dan sehingga ke hari ini hanya tinggal sebatang sahaja,” katanya.


Akan terus jaga pokok

Katanya, ada pihak menawarkan RM1,000 untuk tebang pokok ini dan ramai berminat mendapatkan kayu pokok ini, namun sebagai salah satu warisan di kampung ini, pokok terbabit akan terus dikekalkan dan tidak boleh ditebang.

Katanya, ini kerana bagi memastikan generasi akan datang dapat melihat pokok yang menjadi nama kampung terbabit.

“Penduduk kampung akan menjaga pokok sebaik yang mungkin bagi tatapan generasi akan datang memandangkan ia merupakan satu-satunya pokok asam kumbang yang masih wujud,” katanya.


Kolam air tidak pernah kering

Bercerita mengenai keunikan Kampung Asam Kumbang, terdapat sebuah kolam air didakwa penduduk tidak pernah kering dan sentiasa jernih.

Menurutnya, kolam tersebut pernah digunakan suatu masa dahulu oleh jemaah surau mengambil wuduk dan membersihkan diri selepas selesai urusan pengebumian di tanah perkuburan yang terletak bersebelahan surau.

“Suatu ketika dahulu, pernah terjadi kemarau di sini, namun air kolam tidak pernah kering dan sentiasa dipenuhi air.

“Selain itu, air kolam ini juga tidak keruh dan berbau seperti kolam tadahan air hujan yang lain,” katanya.

Difahamkan, kolam terbabit telah wujud sebelum surau dibina di situ dan tidak dipastikan usia sebenarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: