Sunday, October 12, 2014

Ikan eksotik cecah ribuan ringgit



SEBUT sahaja nama ikan empurau, pasti ramai kaki pancing di negeri Sarawak mula terbayang-bayang rezeki lumayan yang bakal dituai.
Ini kerana, habuan yang diperoleh daripada ‘raja ikan sungai’ itu pasti memberi pulangan lumayan kepada mana-mana kaki pancing yang bertuah mendaratkan ikan bernilai tinggi tersebut.
Tidak cukup dengan itu, ada kaki pancing menyifatkan kejayaan menangkap ikan empurau yang membiak dalam habitat tersendiri iaitu di lokasi terpencil di hulu-hulu sungai diibaratkan sebagai baru lulus lesen sebagai pemancing tegar.
Justeru, tidak dapat disangkal lagi empurau atau nama saintifiknya tor tambroides merupakan ikan eksotik yang sememangnya cukup terkenal dalam kalangan kaki pancing disebabkan nilainya yang tinggi.
Situasi ini menyebabkan ikan empurau kini menjadi buruan ramai, malah ada yang berani mencuba nasib untuk mem­biaknya secara komersial keran­a ia mampu menjana pendapatan lumayan.
Empurau merupakan ikan daripada spesies kelah, namun yang membezakannya dengan kelah di Semenanjung adalah terdapat lebihan cuping panjang di bawah mulutnya.
Bukan omongan kosong, ikan empurau mempunyai nilai komer­sial yang tinggi dengan harga antara RM500 hingga RM1,000 sekilogram di pasaran tempatan pada masa kini.
Saintis Alam Se­kitar, Dr. Elli Luhat berkata, empurau bukan calang-calang ikan kerana ia bukan sahaja dianggap sebagai ‘raja ikan sungai’, malah dilabel sebagai ikan untuk orang kaya sahaja.

ELLI memberi makanan untuk ikan empurau yang diternaknya.


Habitat
Katanya, kaki pancing yang bernasib baik menangkap empurau sanggup menjual ikan itu daripada memakannya kerana mereka pasti menuai ‘durian runtuh’ hasil daripada jualan ikan tersebut.
“Habibat utama ikan empurau di Sarawak ialah di Kapit, Belaga, Limbang dan Lawas. Ikan ini lazimnya membiak di dalam air tawar yang bersih tanpa keladak dengan dasar sungai yang berbatu.
“Ikan ini juga memerlukan habitat yang sunyi untuk membiak disebabkan ia begitu sensitif terhadap pencemaran. Pembiakannya juga akan terjejas sekiranya terdapat unsur-unsur pencemaran sungai,” katanya ketika ditemui kru Jurnal di kediamannya di Taman Satria Jaya, Kuching baru-baru ini.
Elli yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam dunia penternakan ikan empurau memberitahu, hidupan spesies air tawar itu boleh hidup dan membiak sekiranya memenuhi tiga syarat ketat.
Pertama katanya, suhu air mesti antara 19 dan 33 darjah Celsius. Kedua, kadar larut oksigen dalam air ialah antara 3.5 dan 9 miligram seliter serta air yang bersih.
“Walaupun mesti memenuhi syarat-syarat tersebut, saya yakin pembiakan ikan empurau di dalam persekitaran tiruan (tangki konkrit) tetap boleh dilakukan.
“Sebagai testimoni, saya sendiri memulakan proses penghasilan anak-anak ikan empurau menggunakan empat induk yang ditangkap di Kapit dan Limbang di sebuah tangki konkrit.
“Selepas menjalankan proses pembiakan ke atas dua pasangan ikan itu, saya dapati seekor daripadanya bersedia untuk membiak. Hasilnya, kira-kira 2,000 anak empurau berjaya dihasilkan dalam uji kaji pertama tersebut,” katanya.
Menceritakan pengalamannya, Elli berkata, beliau telah memperkenalkan satu teknologi yang dinamakan Doktor Luhat Teknologi (DLT) dalam usaha memacu proses pembiakan empurau di Sarawak.
Katanya, proses inovasi menerusi DLT itu penting bagi memastikan kemapanan dan kualiti ikan empurau yang dihasilkan sekali gus memenuhi permintaan pembeli dari dalam mahupun luar negara.
“DLT merupakan salah satu jenis inovasi yang kita mahu lihat, satu inovasi yang dapat memastikan ikan empurau dibiak secara sistematik dan bersepadu.
“Tanpa prosedur operasi standard pembiakan yang betul, kelangsungan spe­sies ikan ini pasti tidak lagi terjamin pada masa hadapan,” katanya sambil memberitahu, menerusi DLT, seekor induk ikan empurau boleh menghasilkan 10,000 hingga 20,000 anak ikan, tetapi ia tidak termasuk bilangan yang mati.

ELLI menunjukkan ikan empurau yang diternak di rumahnya.


Buah engkabang
Berbicara lanjut, Elli memberitahu, ikan empurau hanya memakan buah-buahan engkabang yang gugur ke dalam sung­ai.
Pokok engkabang atau nama saintifiknya shorea macrophylla ialah sejenis tumbuhan yang tumbuh di tebing hulu sungai.
Tumbuhan itu banyak tumbuh di kawasan pedalaman Sarawak termasuk di sekitar Sungai Rajang.
Menariknya, engkabang mempunyai keunikan tersendiri kerana berbuah tiga hingga lima tahun sekali.
Pun begitu, ujar Elli, banyak perkara harus diselidik seperti mengkaji jenis makanan yang sesuai untuk ikan tersebut memandangkan proses pembesarannya yang agak lambat.
“Sudah pasti anda pernah terdengar ada orang menangkap ikan empurau seberat 20 hingga 30 kilogram (kg) yang hidup liar di kawasan sungai yang bebas daripada unsur pencemaran.
“Namun begitu, kita sebenarnya tidak tahu berapa tempoh yang diperlukan oleh ikan terbabit untuk membesar sebesar saiz itu,” katanya sambil menambah, berat ikan yang dapat dihasilkan menerusi DLT ialah antara 1.5 hingga 2kg dalam masa lima tahun.
Dalam pada itu, Elli membe­ritahu, terdapat tiga spesies ikan empurau iaitu putih, merah dan hitam dengan spesies berwarna putih lebih laris dan mahal di pasaran.
Katanya, harga pasaran ikan empurau bergantung kepada saiznya dan boleh mencecah sehingga RM1,000 sekilogram jika saiznya besar dan bagi yang lebih kecil atau sederhana ialah sekitar RM500 sekilogram.
“Harga ikan empurau yang saya tawarkan sedikit berbeza dengan tiga pakej harga iaitu pakej eksekutif, pakej VIP dan pakej di raja.
“Harga bagi pakej eksekutif ialah RM850, RM1,000 untuk pakej VIP dan RM1,200 bagi pak­ej diraja. Harga ini adalah termasuk daun gaharu bagi masakan istimewa ikan itu,” katanya.
Elli turut mengakui, ikan empurau bukan sahaja menjadi kegilaan masyarakat tempatan, malah sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha restoran di Hong Kong dan China.
Khasiat
Katanya, permintaan tinggi terhadap empurau antara faktor yang menyebabkan spesies itu semakin sukar diperoleh serta jarang dijual selain yang diternak di dalam tangki konkrit.
“Selain rasa yang enak dan boleh dimasak dengan pelbagai cara, empurau turut digemari kerana sisiknya boleh dimakan tidak seperti ikan-ikan air tawar lain.
“Tekstur dagingnya juga begitu berbeza dengan spesies ikan air tawar lain seperti ikan semah, lampam, tilapia, lais dan baung.
“Cara terbaik untuk menikmati kelembutan isinya adalah dengan mengukusnya bersama sos soya cair, halia dan daun bawang muda. Isinya tercerai dengan mudah dari tulang dan esen halia serta daun bawang akan meningkatkan rasa ikan air tawar itu,” tambahnya.
Apa yang pasti katanya, khasiat ikan empurau sememangnya diakui kerana memiliki kan­­­du­ngan asid lemak omega-3 yang berfaedah membantu merembeskan asid eikosapentaeonik (EPA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) dalam tubuh manu­­sia.
Elli memberitahu, kandungan omega-3 yang terdapat dalam ikan eksotik itu juga dapat membantu mengurangkan tahap kolesterol dalam darah, melawan keradangan dan pelbagai penyakit lain.
“Antara lain, pengambilan asid lemak omega-3 bagi kanak-kanak yang sedang membesar didapati dapat membantu dalam proses pembelajaran mereka.
Dalam perkembangan lain, Elli memberitahu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta kepada Jabatan Pertanian negeri bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan ikan empurau di Stesen Pertanian Tarat, Serian.
Katanya, fokus utama dana tersebut adalah untuk menternak ikan empurau memandang­kan potensi besar ikan ber­kenaan yang bernilai tinggi bagi tujuan komersial.
“Meskipun ikan ini berjaya diternak di dalam persekitaran tiruan, namun penyelidikan lanjut masih diperlukan bagi mendapatkan teknologi yang berdaya maju sekali gus me ningkatkan pengkomersialan empurau,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: