BUNKFACE sudah menjadi jenama yang tidak asing lagi dalam genre punk rock. Lapan tahun sudah cukup untuk tiga anak muda itu menapak kukuh dalam industri muzik tempatan.
Tampil dengan album studio terbaharu terbitan Sony Music Malaysia, album berjudul Malam Ini Kita Punya (MIKP) disifatkan Bunkface sebuah produk yang membawa makna besar sepanjang perjalanan menjelajah peminat dengan irama dan melodi acuan sendiri.
Vokalis kumpulan tersebut, Shamsul Annuar Mohd Baharom, 27, atau lebih dikenali sebagai Sam, menjelaskan, MIKP merupakan rangkuman keseluruhan elemen muzik yang diamalkan mereka sama ada melibatkan cara kerja mahupun ideologi yang dipegang selama ini.
“Tajuk MIKP merupakan single pertama kami daripada album ini. Judul itu juga dipilih sebagai judul kami kerana ia satu ekspresi yang berkait rapat dengan cara kerja kami. Kami mahu peminat dekat dengan kami melalui muzik yang kami sampaikan.
“Setiap perancangan yang diaplikasikan pada hari persembahan bertujuan menjadikan pentas itu kami yang punya. Apabila penonton dan peminat memberikan maklum balas yang baik, mereka terhibur dan gembira. Daripada situlah kepuasan sebenar buat kami sebagai pemuzik.
“Album MIKP juga simbolik kepada perjuangan kami. Walaupun pasaran industri muzik seperti penjualan album berada pada paras yang lemah, Bunkface tetap meneruskan perjuangan,” kata Sam ketika ditemui usai pelancaran album MIKP yang diadakan di The Bee, Publika Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tercatat sebagai album studio ketiga, namun yang pertama diterbitkan bawah naungan syarikat rakaman gergasi, Sony Music Malaysia, MIKP memuatkan lagu-lagu seperti Malam Ini Kita punya, Orang Kita, Rentak Lagu Ku, Darah Muda, Anugerah Syawal, Goyang dan Kembali.
Bercerita mengenai proses pembikinan album, Sam berkata, album berkenaan agak berbeza berbanding daripada album sebelumnya. Banyak eksperimental tercetus misalnya daripada segi susunan muzik.
“Tidak ada perubahan yang besar dalam muzik kami, cuma kali ini kesemua lapan lagu yang terdapat di dalam album ini disuntik dengan pelbagai elemen baharu terutamanya daripada segi melodi dan susunan muzik.
“Kami juga banyak melakukan eksperimentasi termasuk menyelitkan beberapa instrumen termasuk keyboard dalam lagu Kembali yang sememangnya merupakan sesuatu yang baharu untuk kami,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan kumpulan tersebut mengambil keputusan untuk menerbitkan album walaupun menyedari penjualan album kini merundum. Sam memberitahu, mereka telah mengkaji terlebih dulu elemen yang dapat melonjakkan penjualan album.
“Saya tertarik dengan penjualan album oleh artis Korea yang seakan-akan tidak terjejas. Apabila dikaji strategi promosi dan pemasaran mereka, terdapat banyak foto atau poskad menarik yang dimuatkan dalam album.
“Sama ada kita sedar atau tidak, besar dan tebalnya sesebuah album artis Korea sudah kelihatan seperti buku. Itulah antara sebab kenapa peminat masih mahu membeli album artis Korea. Kami cuba aplikasikan konsep sebegitu untuk album kali ini, tetapi dalam pendekatan yang lebih ringkas,” ujar Sam lagi.
Ditanya mengenai perancangan promosi album berkenaan pada masa akan datang, Sam berkata, mereka merangka untuk mengadakan konsert jelajah ke universiti di seluruh Malaysia.
Pendekatan itu dilakukan kerana program sebegitu merupakan salah satu daripada strategi Bunkface untuk menghargai peminat, sekali gus membawa mesej kepada anak muda untuk terus menyokong industri muzik tempatan.
“Sempena promosi album ini, kami akan adakan konsert jelajah di universiti-universiti seluruh Malaysia. Insya-Allah, acara itu akan dijalankan dalam masa terdekat. Kami sedar, peminat Bunkface terdiri daripada generasi muda. Sebab itu kami pilih untuk buat persembahan di lokasi orang muda,” ujar Sam lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: