SAMA seperti bakal pengantin lain, pasangan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Halina Mohd Yunos berdebar menanti majlis perkahwinan mereka pada 10 Oktober tahun ini.
Tidak sah sekiranya bakal mempelai tidak menerima usikan tentang perkahwinan mereka lebih-lebih lagi kedua-duanya di alam cinta.
Biarpun begitu, Sheikh Muszaphar dan Halina menganggap perkahwinan mereka akan datang sebagai sesuatu yang dinanti-nantikan lebih-lebih lagi ‘mendirikan masjid’ memang amat digalakkan dalam Islam.
“Perkahwinan suatu yang sangat sihat dan amat digalakkan. Saya tak sabar menantikan tarikh itu (10 Oktober),” kata Sheikh Muszaphar sambil tersenyum saat diusik pada sidang media perkahwinan mereka di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Sementara Halina pula bagaikan mengerti usikan itu dan selamba menjawab: “Saya rasa semua orang yang nak kahwin akan berdebar.”
Keramahan dan senyuman manis Halina amat menyenangkan sesiapa sahaja. Lantas, sengaja diduga tentang persediaan pakar bius di Hospital Selayang itu untuk bergelar isteri kepada angkasawan negara tersohor itu.
“Saya rasa serupa sahaja dan tiada perkara yang akan berubah selepas ini. Alhamdulillah, dia sangat memberikan sokongan moral kepada saya.
“Insya-Allah, saya tidak akan meninggalkan kerjaya sebagai doktor sebab saya memang tak boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa,” ujarnya.
Kehadiran pasangan itu turut disertai oleh kedua-dua ibu bapa Sheikh Muszaphar iaitu Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraida Datuk Sheikh Ahmad.
Dalam pada itu, ibu Sheikh Muszaphar turut menumpang gembira dengan perkahwinan anak ketiganya yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Saya seronok sebab dah lama menunggu dengan sabarnya. Mereka bukannya baru kenal, dah berkawan selama lapan tahun. Semua adik-beradiknya yang lain sudah berkahwin dan tinggal dia seorang yang belum.
“Semasa ke angkasa lepas, dia tidak dibenarkan berkahwin selama dua tahun. Jadi, sekarang dia dah bebas.
“Selagi mereka belum berkahwin, lagi macam-macam fitnah yang akan timbul. Saya berharap semuanya berjalan dengan lancar,” kata Zuraida, 65.
Majlis perkahwinan Sheikh Muszaphar dan Halina akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, pukul 10 pagi manakala majlis resepsi pula akan dibuat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pukul 8 malam pada hari yang sama.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 1 Januari lalu dan memilih tarikh 10 Oktober 2010 untuk majlis perkahwinan sempena ulang tahun ketiga Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: